saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 28/06/2010

Shima bukan pengganti Ella




SHIMA pernah mewarnai bidang seni pada akhir 1980-an sehingga tahun 2007 dengan suara lunaknya.Penyanyi kecil molek yang kekal dengan imej berambut pendek hadir ke dunia seni bukan setakat berbekalkan wajah yang menarik, malah suara lunaknya membuatkan dia mudah diterima peminat ketika itu.

Shima atau nama sebenarnya Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, 41, hadir dengan album pertamanya Kelkatu Hilang Sayap pada tahun 1989.

Ketika itu, penyanyi yang berasal dari Klang, Selangor itu membina populariti bersama kumpulan yang cukup popular ketika itu The Boys yang pernah dianggotai oleh Ella.

Biar ada dakwaan kononnya kehadirannya menumpang tuah The Boys, Shima tidak pernah terluka.

"Biar apa saja tanggapan terhadap saya saya tidak pernah kecil hati. Bagi saya, jika kehadiran kita sebagai nasi tambah kita tidak akan kekal lama. Lagipun saya ditawarkan oleh Lord.

"Mulanya memang berat untuk saya menerima tawaran itu tetapi setelah mereka memberi sebab mengapa memilih saya, saya terima.

"Saya ditawarkan menjadi penyanyi mereka bukan sebagai pengganti Ella tetapi sebagai penyanyi baru yang berbakat dan mereka yakin saya boleh mencipta nama bersama mereka," cerita Shima pada satu pertemuan di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Bagi Shima apa juga pandangan yang dilemparkan kepadanya tidak pernah menjadi kudis kerana dia datang bukan dengan tangan kosong.

Buktinya setelah setahun mencipta populariti bersama The Boys, Shima mengambil keputusan meninggalkan The Boys untuk bergerak secara solo.

Album solonya Di Sebalik Sejuta Wajah (1990), Setelah Aku Kau Miliki (1992) Teringin (1994) Apa Ku Rasa dan Aku Tetap Aku (1999) membuktikan Shima ketika itu bukan calang-calang penyanyi.

Bagaimanapun, setelah album terakhirnya diedarkan dan kontraknya tamat pada tahun 2000, Shima meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi di beberapa hotel di ibu negara.

"Kepuasan menghiburkan pengunjung di lounge dan kelab tidak sama menghiburkan ribuan peminat ketika mengadakan persembahan.

"Sebab itu setelah sekian lama tidak punya album dan apabila Syncrosound menawarkan saya membuat album penuh pada tahun 2007 saya terima kerana memang itu minat saya.

"Bayangkan setelah tujuh tahun tiada album sayangnya album Ke Pangkuanmu terbitan Johari Teh sepi begitu sahaja. Tanpa majlis pelancaran, sesebuah album itu tidak akan ke mana penyanyinya.

"Sebenarnya saya memang kecewa apabila album tersebut sepi begitu sahaja tetapi nak buat macam mana, saya terpaksa menerima hakikat album itu tidak menjanjikan apa-apa kepada saya," cerita Shima.

Menurut Shima, setelah album itu diedarkan tanpa pelancaran ia bagaikan noktah kariernya sebagai penyanyi rakaman.

Bukan itu sahaja, malah katanya, kecenderungan stesen radio swasta memutarkan lagu-lagu Indonesia juga menjadi punca penyanyi tempatan hilang peluang untuk diminati dan mengukuhkan nama mereka.

Suri rumah sepenuh masa

Setelah album Ke Pangkuanmu tidak dapat membantunya meneruskan kerjaya dalam bidang seni, Shima lebih banyak menumpukan perhatian pada rumah tangga.

Sejak berkahwin dengan jejaka berasal dari Kanada enam tahun lalu, Shima bersyukur kerana perkahwinan ketiga itu kekal sehingga hari ini.

"Saya sangat merindui bidang nyanyian kerana jiwa kita ke situ. Mujur ketika album terakhir gagal saya sudah berkahwin.

"Saya gembira dengan perkahwinan ini kerana ia memberi saya ketenangan. Bukan itu sahaja, malah sikap suami saya yang suka menghabiskan masa di rumah membuatkan saya begitu selesa," kata Shima.

Menurut Shima, walaupun suaminya bukan orang Melayu tetapi seleranya yang lebih Melayu dan suka makan di rumah membuatkan Shima teruja menjadi suri rumah yang memasak pelbagai resepi Melayu dan Barat.

"Suami saya paling suka makan lemak cili padi campur rebung dan ikan. Kalau saya masak lauk kegemarannya hilang penat bila tengok dia makan," cerita Shima mengenai rahsia kebahagiaan rumah tangganya.

Katanya, walaupun kadangkala dia ingin hidup seperti orang biasa tetapi sesekali dia akan memenuhi tawaran menyanyi untuk dinner show dan juga di hotel.

"Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar saya akan menyanyi di sebuah lounge hotel lima bintang selama empat bulan bulan depan.

"Walaupun suami tidak pernah menghalang saya menyanyi tetapi saya akan pastikan kontrak saya hanya hotel di sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur (KL). Jika ada kontrak luar KL walaupun bayarannya lumayan saya akan tolak.

"Sebabnya bagi saya, perempuan bila sudah kahwin walau di puncak mana pun dia berada, tempatnya tetap di sisi suami. Saya tidak mahu tinggalkan suami saya sendirian dan saya menyanyi hanya untuk memenuhi minat saya," cerita Shima.

Menurut Shima, menyanyi di lounge bukanlah mudah. Setiap malam dia harus menyanyi selama 180 minit yang dibahagikan kepada empat segmen.

Selain lagu-lagu permintaan pengunjung, antara lagu-lagu yang sering dinyanyikan Shima ialah lagu-lagu popular Frank Sinatra, Nat King Cole di samping lagu-lagu hitsnya.

Terkenang kisah dulu

Mungkin ramai yang tidak tahu Shima & The Boys pada tahun 1989 bukan sahaja telah mencatatkan sejarah dalam diari Shima sebagai anak seni, malah ia juga telah mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan peminat Ella & The Boys ketika itu.

"Saya tahu apabila saya muncul bersama The Boys ramai yang menganggap saya merampas kumpulan itu daripada Ella. Tetapi sebenarnya, The Boys menawarkan saya yang ketika itu menyanyi di sebuah kelab di Kelang untuk menjadi penyanyi utama.

"Selain saya, Bibiyana Layola Lee juga pernah menjadi penyanyi The Boys ketika itu. Namun sudah menjadi rezeki saya, The Boys menawarkan saya menjadi artis mereka untuk rakaman album seterusnya.

"Saya terima tawaran itu sebab saya tidak pernah kenal Ella dan saya tidak merampas The Boys daripadanya," kata Shima.

Kisah Shima bukan habis setakat itu, malah selepas kemunculan album pertamanya, muncul pula gosip kononnya Shima bergaduh dengan Ella gara-gara The Boys.

"Ada juga pihak wartawan yang bertanya mengenai gosip itu tetapi tiada jawapan daripada saya kerana kami tidak pernah berjumpa apalagi bergaduh.

"Namun selepas gosip itu reda, buat pertama kalinya saya dan Ella ditemukan dalam satu sesi gambar bersama yang diatur oleh sebuah majalah.

"Bukan itu sahaja malah kami pernah kongsi pentas dalam satu persembahan. Saya juga pernah keluar bersama Ella serta Jojie. Sebenarnya tidak ada apa antara kami berdua," cerita Shima.

Kini, kata Shima, walaupun dunia seni bagaikan sudah jauh dari hidupnya namun sebagai orang seni dia tetap merindui kawan-kawan lama.

Sepanjang kerjayanya, Shima juga pernah berlakon dalam tiga buah filem iaitu Kelisa, Red Haired Thumbler dan Sutera Putih.

Walaupun Shima ditawarkan berlakon kerana memiliki kelebihan dalam seni mempertahankan diri tae-kwan-do namun timbul juga cakap-cakap yang tidak senang dengan penglibatannya dalam bidang lakonan.

Semuanya kerana Shima didakwa mahu meniru Ella yang juga menjadi pelakon selepas ditawarkan oleh Datuk Yusof Haslam.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.