saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 28/06/2010

Cerita Satim Diman, P15 & Azmin Ali hangatkan politik Selangor

CERITA politik di Selangor memang menarik perhatian. Negeri yang jatuh ke tangan pakatan PKR-DAP-Pas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 khabarnya sedang bergolak. Jika dulu melibatkan wakil rakyat Pas tetapi kini giliran PKR. Dulu wakil rakyat DAP pun cemas seketika apabila timbul cerita tidak manis mengenainya. Tetapi cerita itu pakat-pakat dilupakan. Nampak DAP lebih relaks ketika ini dan mengambil pendekatan diam-diam ubi berisi. UMNO Selangor juga 'kecoh' dengan dakwaan kononnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Serdang, Satim Diman nak letak semua jawatan dalam parti termasuk sebagai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri dan wakil rakyat. Begitulah cerita yang menghidupkan politik di Selangor. Apakah benar semua cerita itu? Kata orang kalau tidak ada angin masakan pokok bergoyang. Tetapi ada juga tangan yang sengaja menggoyangkan pokok itu. Kalau setakat pokok yang baru membesar, tak perlu tunggu angin, tangan pun boleh menggoyangkannya sehingga habis luruh daun yang menghijau.

Maka dalam hal ini 'pokok bergoyang' bukan kerana angin tetapi manusia yang menyebabkan pelbagai spekulasi politik di Selangor.

Contohnya cerita Satim. Mereka yang mengenali Satim tentu terkejut dengan khabar angin itu. Kata seorang sahabat, Satim bukan jenis manusia seperti itu yang akan merajuk dan letak jawatan tak tentu pasal.

Dan kelmarin seorang sahabat memberitahu, pada satu majlis di Seksyen 3, Bandar Kinrara, Puchong, Satim menjelaskan segala-galanya. Menurut Satim, beliau tidak mengetahui tentang isu tersebut kerana mereka yang menyiarkan dalam blog mempunyai agenda tersendiri untuk memecahbelahkan kepimpinan UMNO khususnya dan Barisan Nasional (BN) amnya. Satim tidak mahu layan perkara remeh-temeh itu kerana yang penting baginya adalah 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' sebagaimana saranan Perdana Menteri, Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor.

Satim meminta rakyat Selangor khususnya tidak mendengar khabar angin yang boleh merosakkan perhubungan antara rakyat dan pemimpin. Katanya: ''Kita perlu bersatu padu dan mengambil iktibar dengan apa yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-12.''

Dan paling penting kata Satim: ''Saya sentiasa bersama UMNO dan menyokong kepimpinan BN di bawah teraju Perdana Menteri.''

Begitulah pendirian Satim. Maka diharapkan, penjelasan Satim akan menamatkan pelbagai spekulasi. Apa yang penting, pemimpin UMNO Selangor perlu mengukuhkan hubungan bagi menghadapi PRU akan datang dan mengganyang pembangkang di negeri itu. Tidak dinafikan, dalam politik, jika perpaduan kukuh akan ada pihak yang mencari jalan untuk menjatuhkan seseorang dengan menyebarkan berita karut-marut yang tidak ada asasnya. Itu mengenai Satim dan UMNO Selangor. Anggaplah isu Satim selesai! Tetapi ambillah iktibar mengenainya.

Berbalik kepada pemerintah negeri Selangor, tidak banyak yang dapat dicungkil. Maklumlah PKR dan Utusan Malaysia bukannya sahabat yang baik. Nak tulis banyak-banyak pun nanti dikatakan 'penulis tak diundang', menyibuk rumah tangga orang. Tetapi apa yang dapat dibaca dan didengar, pada Pemukiman PKR yang diadakan di Shah Alam kelmarin, isu mengenai 'Pakatan 15' (P15) yang dikatakan mendesak Khalid Ibrahim letak jawatan tidak dibincangkan. Malahan Presiden PKR, Dr. Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan sebagai berkata, beliau tidak tahu apa-apa dan tiada perbincangan ke arah itu. Sebaliknya tumpuan pemukiman adalah persiapan menghadapi PRU akan datang dan pemilihan jawatankuasa tertinggi PKR pada November ini.

Sementara Naib Presiden PKR, Azmin Ali juga dilaporkan tidak tahu menahu P15 itu. Mengenai Khalid, beliau dilaporkan berkata: ''Kita tegur, kita bukan minta Tan Sri Khalid digugurkan, kami tak pernah kata Tan Sri Khalid mesti dipecat, tak ada Pakatan 15 ahli Parlimen, yang ada Pakatan Rakyat sahaja,''.

Azmin dilaporkan berkata, sebenarnya ada segelintir Ahli Parlimen PKR tidak berpuas hati dengan pentadbiran Abdul Kalid mengenai masalah birokrasi yang masih membelenggu pentadbiran kerajaan negeri dan sistem penyampaian yang masih lembap. Nampaknya ada masalahlah tu! Tetapi tak apa. Isu mengenai Khalid sebagai MB ini bukanlah baru. Dah beberapa kali ia dibangkitkan. Macam-macam cerita mengenai Khalid. Dulu Azmin desak Khalid melakukan rombakan Exco. Isu itu senyap begitu sahaja. Kini timbul pula P15 yang dikatakan mahu Khalid berundur. Lama kelamaan selesailah isu ini. Malahan 17 daripada 22 ketua bahagian PKR Selangor yang hadir pada satu mesyuarat tergempar berikrar menyokong Khalid. Maka Khalid tidak perlu bimbang untuk meneruskan kepimpinan di Selangor walaupun ada yang berkata kepimpinan PKR di Selangor sedang 'sakit'.

Dan semalam, di tengah-tengah kekalutan mengenai P15 yang dikatakan tidak wujud itu, Khalid akhirnya memohon 'berundur'. Bukan sebagai Menteri Besar tetapi sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor. Tempat beliau diisi oleh Azmin. Tidak pasti ini negeri ke berapa Azmin ditugaskan. Tetapi pada 25 Oktober 2009, Azmin dipindahkan dari mengetuai PKR Sabah ke Wilayah Persekutuan dan semalam memimpin Selangor. Tujuannya tentulah untuk memantapkan parti dan memberi ruang kepada Khalid menumpukan kepada pembangunan negeri. Dalam erti kata lain, tidak ada masalah melanda PKR Selangor. Kepada 'musuh' PKR lupakan sahaja jika pelantikan baru itu dianggap perpecahan dalam PKR. Tetapi kalau itu berlaku dalam UMNO, riuh rendahlah musuh UMNO mencanangkannya sebagai masalah besar. Masalah parti politik ada di mana-mana sahaja. Ini perkara biasa. Ada yang bertanya, bolehkah bangkai gajah ditutup dengan nyiru? Mana boleh... kalau ditutup dengan nyiru masih nampak bangkai gajah tu... paling tidak bau busuk menusuk ke hidung. Maknanya sebarang pergolakan dalam parti sukar dilindungi. Tak kiralah parti mana sekali pun. Sama sahaja.

Cuma selepas P15, siapa pula yang akan 'mengganggu' Khalid?

Menurut Anggota Parlimen PKR dari Teluk Kemang, Kamarul Baharin Abbas, P15 hanya sekadar nombor yang tidak membawa makna.

"Kenapa 15, kenapa tidak 20 ke... 29? Semua itu hanyalah nombor yang didakwa oleh seseorang," kata Kamarul Baharin baru-baru ini.

Memang betul kata wakil rakyat itu. Kenapa 15? Kalau merujuk kepada ahli Parlimen, PKR kini hanya mempunyai 25 ahli selepas empat orang angkat kaki meninggalkan PKR untuk menjadi wakil Bebas, seorang lagi disingkirkan dan satu kerusi lagi dimenangi BN dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor. Kalau P15 yang 10 lagi ke mana? Kenapa tak ikut serta? Tentu menarik juga kalaulah orang yang membawa cerita mengenai P15 ini dapat menyenaraikan 15 yang dimaksudkan itu. Kalau setakat di Selangor, PKR hanya ada sembilan ahli Parlimen dan 14 ADUN. Siapa baki enam lagi yang menyertai pakatan itu jika benar-benar P15 wujud? Memang menarik politik di Selangor. Cuma bagaimana pula dengan DAP? Mungkin DAP dalam keadaan tenang dan sedang memerhati 'pergolakan adik- adiknya' yang sedang berlaku. Untuk rekod, di Selangor, BN mempunyai 21 kerusi DUN (19 UMNO, 2 MCA), PKR 14, DAP 13 dan Pas 8.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.