saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 12/07/2010

Meneruskan 'semangat bola' selepas Piala Dunia 2010

SEMALAM, Presiden UMNO, Najib Tun Razak sekali lagi membangkitkan kerjasama berpasukan yang perlu ditunjukkan seperti pasukan bola sepak. Mungkin disebabkan demam Piala Dunia serta tumpuan masyarakat yang diberikan sejak 11 Jun lalu dan berakhir awal pagi ini. Jika sebelum ini Najib menyentuh mengenai pasukan Jerman yang mampu mengalahkan Argentina atas semangat berpasukannya tetapi semalam di Johor, beliau bangkitkan pula perlawanan suku akhir di antara Brazil dan Belanda. Katanya, kelonggaran semangat berpasukan mengakibatkan Brazil tewas 1-2 di tangan Belanda. Mesej penting Najib ialah bekerja sebagai satu pasukan. Dan inilah yang perlu diamalkan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Najib dalam ucapannya di Pulai semalam, yakin Johor akan terus menjadi kubu kuat UMNO dan BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang. Tetapi dengan syarat mengukuhkan perpaduan dan kesetiaan di kalangan pemimpin dan ahli serta tidak ada 'cerita sumbang'. Johor memang dikenali sebagai 'tiang seri' UMNO yang menjadi idaman pembangkang. Mengikut rekod, BN menunjukkan kecemerlangan di Johor pada tahun-tahun 1964, 1982, 1995 dan 1999 apabila menyapu bersih kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Pada 2004, 'pintu gol' BN DUN Johor 'bocor' akibat jaringan 'gol sendiri'. Pas menang tanpa bertanding di DUN Senggarang. Isunya kerana masalah yang berlaku pada borang pencalonan.

Dan semasa tsunami politik 2008, Pas sekali lagi berjaya membolosi 'pintu gol' BN apabila 'menjaringkan dua gol' bagi kerusi DUN dan DAP pula 'menyumbat empat gol' di DUN dan satu Parlimen. Begitulah senario di Johor sebelum ini. Jika diselak kembali keputusan-keputusan lalu, tahun 2008 paling teruk kerana sebelum ini, pembangkang hanya menang empat kerusi DUN (1959 dan 1990) manakala satu kerusi DUN pada 1969, 1974 tetapi pada 1978 satu kerusi DUN dan satu Parlimen. Nampaknya keputusan PRU macam bola juga. Bulat. Bola boleh ditendang tinggi dan jatuh bergolek, terpulang kepada pemainnya bagaimana mahu membawa bola itu hingga ke pintu gol. Dan tugas itu bukan mudah.

Mana mungkin hanya seorang pemain mampu menggelecek bola bersendirian hingga ke pintu gol. Persefahaman antara pemain amat penting. Maka sebelum turun ke padang, mesti ada semangat berpasukan atau perpaduan di kalangan pemain yang disokong pula oleh para penonton yang menyokong pasukan. Setiap pemain perlu meyakinkan penyokong mereka mengenai keupayaan pasukan itu setiap kali turun ke gelanggang.

Berbalik ke Johor, mampukah UMNO mengekalkan kegemilangannya? Baru-baru ini penulis ada menerima e-mel daripada seorang sahabat, kebetulan pula dari Johor. Mungkin ini boleh dianggap sebagai cerita sumbang. Kata sahabat itu, sejak 34 tahun lalu, beliau adalah ahli UMNO. Bagaimanapun disebabkan penjawat awam kumpulan A, beliau sekadar menjadi ahli yang tidak aktif sama ada di peringkat cawangan atau bahagian. Tetapi dalam setiap 'perdebatan' sama ada di kedai kopi, pejabat atau di mana sahaja, beliau tetap mempertahankan UMNO walaupun ada masanya apa yang dikatakan kumpulan pembangkang itu ada benarnya. Setiap kali PRU pula, beliau tetap mengundi BN.

Disebabkan tergolong dalam kumpulan pendidik, beliau juga menawarkan diri sebagai penceramah motivasi kepada ibu bapa dan guru-guru berhubung pendidikan Melayu yang dianjurkan UMNO. Malangnya sumbangan itu hanya bersifat sementara kerana beliau tidak lagi dihubungi untuk memberi ceramah selepas beberapa kali berbuat demikian. Dalam biro pula, namanya disenaraikan sebagai ahli jawatankuasa tetapi tidak pernah dijemput bermesyuarat.

Katanya: ''Begitulah seksanya jika kita ingin menyumbang khidmat bakti kepada UMNO. Saya rasa sudah puas dan berbuih mulut Presiden dan Timbalan Presiden UMNO mengingatkan ketua- ketua bahagian dan ahli jawatankuasanya supaya menerima tanpa banyak syarat kepada ahli-ahli yang ingin menyumbang tenaga dan buah fikiran untuk kebaikan UMNO. Namun mereka masih takut jika si pendatang baru ini akan menggugat kedudukan mereka''.

Begitulah ceritanya. Perkara seumpama ini pernah berlaku dalam UMNO dan masih berlaku. Ketua-ketua bahagian dan cawangan boleh menjawabnya. Tetapi yang menariknya, sahabat itu berkata:

''Saya tidak memerlukan apa-apa jawatan dalam UMNO tetapi ingin menaburkan bakti kerana sudah 34 tahun saya mendapat rezeki hasil perjuangan UMNO dan 58 tahun hidup di bawah pemerintahan kerajaan Perikatan dan BN, yang benar-benar mengubah nasib keluarga saya seperti langit dengan bumi. Masakan saya lupa jasa UMNO?''.

Sebagai penutup, beliau berkata: Transformasi yang diuar-uarkan oleh Presiden UMNO agak sukar terlaksana sekiranya kepimpinan peringkat bahagian dan cawangan masih gila kuasa sehinggalah mereka dihukum sekali lagi pada PRU Ke-13.

Demikianlah keluhan seorang ahli UMNO yang ingin menyumbang bakti tetapi seolah-olah disekat. Sikap seperti inilah yang akhirnya akan menyebabkan ahli-ahli 'merajuk'. Dan seperti dalam pasukan bola sepak, ketika kekalutan berebut 'bola' di tengah padang inilah, akhirnya ada 'pemain' yang tersilap - sama ada sengaja atau tidak - menjaringkan bola ke dalam gol sendiri.

Justeru UMNO terutama pemimpinnya perlu memastikan tidak ada ahli-ahli parti yang sanggup membawa bola ke pintu gol sendiri disebabkan masalah yang sebenarnya boleh diselesaikan lebih awal.

Contohnya isu pendaftaran pengundi. Isu ini seringkali dibangkitkan. Tetapi kenapa tidak pernah selesai? Setiap tahun ada saja isu ini dicetuskan. Disember lalu, penulis sudah menyelak isu ini. Saban tahun kenapa DAP menjadi juara dalam pendaftaran pengundi?

Dianggarkan empat juta generasi muda layak mengundi tetapi belum mendaftar. Banyak alasan diberikan. Maka parti politik yang mahu menagih undi mereka semasa PRU perlu bekerja keras mendekati kumpulan ini. Merekalah 'pemain-pemain' baru yang diharapkan mampu 'menyumbangkan gol' pada PRU akan datang. Semoga semangat Piala Dunia yang baru berakhir akan meninggalkan banyak pengajaran.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:00
Zohor 1:22
Asar 4:25
Maghrib 7:25
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.