saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 15/07/2010

'Mengembalikan' Masjid Cordoba


Siling pada bahagian kubah Masjid Jamek Cordoba yang kini merupakan gereja Kristian yang sangat memukau dengan mengekalkan motif hiasan bercirikan Islam.


KEBELAKANGAN ini sering terdengar mengenai gereja Kristian yang telah bertukar fungsi menjadi masjid. Kebanyakan tapak dan bangunan gereja tersebut dibeli oleh umat Islam apabila mendapati rumah ibadat Kristian itu kosong sekian lama dan tidak lagi digunakan.

Daripada terbiar begitu sahaja, umat Islam sanggup membelinya sekalipun dengan nilai yang sangat tinggi bagi menampung keperluan untuk beribadat. Lebih-lebih lagi apabila didapati bilangan umatnya semakin bertambah di sesuatu tempat.

Namun perkara yang sama tidak berlaku kepada Gereja Besar yang dikenali sebagai Our Lady of The Assumption Catholic Cathedral. Sehingga kini ia kekal sebagai gereja walaupun pada hakikatnya pada suatu masa dahulu, ia pernah makmur selama beberapa abad sebagai sebuah masjid yang masyhur dan kedua terbesar di dunia yang pernah dibina.

Masjid tersebut adalah Masjid Jamek Cordoba atau The Mezquita (Mosque) of Cordoba yang terletak di bandar Cordoba Andalusia (Sepanyol). Sejak pembinaannya pada abad kelapan sehinggalah ke detik ini, ia merupakan permata seni bina yang paling bersinar di dunia.

Selain masjid-masjid di Mekah dan Madinah, Masjid Jamek Cordoba dahulunya yang paling bersejarah dalam dunia Islam. Sehinggalah Sepanyol menakluk Andalusia, menyebabkan masjid itu jatuh ke tangan Kristian.

Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat permintaan secara rasmi supaya gereja itu turut dibuka kepada umat Islam beribadat.

Sehingga kini umat Islam terutama di Sepanyol sedang berusaha keras untuk menggunakan gereja itu sekurang-kurangnya untuk solat Jumaat.

Satu surat permohonan rasmi dihantar kepada pihak Majlis Pontifical untuk Dialog Antara Agama di Vatican bagi membolehkan umat Islam dan Kristian menggunakan gereja itu secara bersama. Jika permohonan itu berjaya, pastinya satu sejarah tercatat kepada umat Islam jika bekas masjid itu dapat digunakan semula sebahagiannya untuk tujuan ibadat oleh umat Islam.

Malah jika gereja itu dibuka untuk umat Islam, ia pastinya satu sumbangan yang positif bagi meredakan hubungan tegang yang menjadi duri dalam daging antara Kristian dan Islam.

Pengarah Masjid Taqwa, Zakaria Maza yang terletak berdekatan dengan Granada, menyatakan harapan penduduk Islam Sepanyol agar Vatican memberikan persetujuan mereka. Sebabnya, ia bakal membawa satu visi ke arah sikap yang lebih terbuka dan semangat untuk berdialog.

"Cordoba telah menjadi satu simbol perpaduan kepada tiga jenis budaya selama berabad-abad lamanya. Malah sehingga kini pun, penduduk Yahudi dan Islam tinggal bersama dengan penduduk Kristian dalam satu kejiranan yang sama berdekatan dengan masjid," katanya.

Selepas penaklukan Cordoba oleh Raja Ferdinand III pada tahun 1236 Masihi, Masjid Jamek itu telah bertukar fungsinya menjadi gereja sehingga kini. Namun untuk umat Islam kembali beribadat di gereja itu tidak sewajarnya menjadi halangan. Ini berikutan faktor struktur atau kedudukan tempat untuk umat Islam untuk beribadat di gereja itu sendiri.

Ini apabila kedudukan ruang sembahyang dan mihrab yang terletak di bahagian tenggara gereja itu, iaitu yang mengadap arah kiblat ke Mekah masih terpelihara dengan baik.

kawasan zon ibadat Kristian

Lebih-lebih lagi kedudukan mihrab berada di luar atau terpisah dari kawasan zon ibadat Kristian. Jadi jika umat Islam dibenar menggunakan gereja itu, pastinya ia tidak menganggu penganut Kristian yang menjalankan ibadat.

Apabila jumlah Islam kian bertambah, termasuk ramai di kalangan mereka merupakan saudara baru, masjid-masjid di sekitar Cordoba dikatakan sudah tidak dapat menampung keperluan umat Islam beribadat.

Ini membawa kepada keperluan supaya gereja tersebut turut dibuka kepada umat Islam.

Pihak pentadbiran politik termasuk di Dewan Bandar Raya Cordoba yang merupakan anggota parti Left United dan Parti Sosialis Sepanyol (SSP) turut menyokong usaha di bandar bersejarah itu.

Jurucakap SSP, Antonia Hurtado berkata: "Kami berharap untuk melihat Bandar Cordoba menjadi medan pertemuan bagi semua jenis kepercayaan agama. Ia lokasi yang paling ideal bagi membolehkan semua agama saling menjayakan dialog dan seminar persefahaman," katanya.

Begitupun pengikut Katolik dikatakan marah dengan permintaan umat Islam itu sambil bertanyakan, jika umat Islam dibenarkan menggunakan gereja tersebut adakah ini turut bermakna penganut Kristian dibenarkan melakukan ibadat di masjid sama ada di Maghribi, Arab Saudi, Iran atau Kuwait.

Dalam satu temuramah dengan Asia News, Presiden Pontifical Council untuk Dialog Antara Agama, Archbishop Micheal Fitgerald berkata, permintaan umat Islam itu bakal mengundang satu masalah.

"Ini menyebabkan pertimbangan mengenainya tidak boleh diberi ketika ini," jelasnya.

Malah beliau lebih menasihatkan umat Islam supaya menerima hakikat sejarah yang telah berlalu itu berbanding menuntut kembali bangunan yang bukan milik mereka lagi.

Malah Fitgerald mendapati penganut Kristian sendiri tidak pernah cuba menuntut sebarang hak ke atas mana-mana gereja terutamanya di Timur Tengah atau Asia Barat.

Namun sesetengah umat Islam berpendapat, tiada kebenaran sama ada dari Rom atau mana-mana pihak berkuasa diperlukan bagi membolehkan mereka menggunakan gereja itu.

"Kita tidak perlukan campur tangan pihak Vatican lebih-lebih lagi gereja atau bekas masjid ini merupakan satu tapak warisan sejarah. Jadi ia terbuka kepada sesiapa termasuk jika umat Islam yang ingin melakukan ibadat di situ.

"Malah pemimpin Vatican, Pope Benedict dibenarkan untuk bersembahyang dalam Masjid Biru (Blue Mosque) ketika melawat Turki pada suatu masa dahulu.

"Ini jelas menunjukkan masjid itu boleh dibuka kepada penganut Kristian kenapa pula umat Islam dilarang bersolat dalam Masjid Cordova," kata Munir al Musiri dari Pusat Budaya Islam Madrid (ICCM).

Atas dasar itu, beliau tidak menyenangi ada usaha pihak tertentu atas nama Islam yang berusaha untuk mendapatkan kebenaran itu.

"Saya bimbang inisiatif yang seperti ini boleh menyebabkan akan terpercik api Islamofobia dalam keadaan yang agak sensitif sekarang ini.

"Media Barat gemar memutar-belitkan isu, yang boleh menambah memarakkan lagi api dengan membuat tuduhan kononnya umat Islam ingin menakluk semula Andalusia atau Sepanyol ini apabila cuba mendapatkan semula gereja ini," katanya.

Namun kita mendapati usaha untuk memakmurkan semula Masjid Cordoba telah memperlihatkan tembelang sebenar sesetengah pihak terhadap Islam.

Ini termasuk yang mendakwa seorang yang pakar dalam dunia Arab dan Islam, seorang Paderi Kristian yang berasal dari Mesir, Samir Khalil.

Beliau percaya permintaan umat Islam terhadap penggunaan Gereja Cordoba merupakan satu isyarat yang sangat jelas kepada satu rancangan yang hebat untuk menakluk semula Eropah.

"Ramai umat Islam di Sepanyol ini mempunyai idea untuk menakluk semula Eropah," katanya.

Menurutnya, jika kebenaran diberi kepada umat Islam, penganut Kristian juga hendak menuntut terhadap beratus-ratus gereja yang terdapat di negara Islam yang telah dijadikan masjid dan lain-lain kegunaan.

"Fikirkanlah mengenai Hagia Sophia di Istanbul Turki, Masjid Omayyad di Damsyik dan Masjid Ibnu Tulun di Kaherah yang kebanyakan masjid itu dibina atas runtuhan dan bekas gereja," katanya.

Tidak diketahui mengapa paderi itu mempunyai persepsi yang cukup negatif terhadap Islam malah beliau juga berpendapat perdebatan mengenai gereja itu tidak sahaja satu cita-cita aktivis Islam tetapi jelas menunjukkan kelemahan identiti bangsa Eropah itu sendiri.

"Kelemahan yang akan menggalakkan kepada bertambahnya aktiviti keganasan oleh pejuang atau militan Islam," katanya.

Namun tahukah anda, Rasulullah SAW sendiri pernah membenarkan umat Kristian melakukan ibadat mereka di dalam masjid, tanpa sebarang perasaan prejudis?

Dalam satu peristiwa, seramai 60 penganut Kristian penduduk Najran ketika mengunjungi Rasulullah di Madinah dibenarkan oleh baginda beribadat di sebuah masjid di bandar itu.

Walaupun baginda mengetahui mengenai akidah antara Islam dan Kristian berbeza tetapi jelas menunjukkan Rasulullah mempunyai sikap yang sangat terbuka dan diplomatik terhadap sesiapa sahaja walaupun berlainan bangsa dan agama.

Sehingga kini seluruh umat Islam masih menunggu berita kepada 'pembebasan' Masjid Jamek Cordoba tanpa perlu pihak Kristian melepaskan pegangan kerana pastinya mereka juga ingin terus berada dalam masjid itu.

Sementara dalam penantian ini, eloklah sekiranya umat Islam turut sama menziarah Masjid Cardoba ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:40
Zohor 1:13
Asar 4:36
Maghrib 7:21
Isyak 8:35



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.