saya nak baca ..

PAHANG


ARKIB : 19/07/2010

Lubuk Yu: Antara tahyul dan kekotoran

SEBELUM ini, nama Hutan Lipur Lubuk Yu di Maran mungkin kurang dikenali di kalangan penduduk luar daerah itu, apatah lagi pengunjung luar Pahang.

Kawasan rekreasi itu memang dikenali oleh penduduk Maran untuk beristirehat selepas penat bekerja pada hujung minggu.

Kedudukannya yang berdekatan dengan tanah rancangan Felda Jengka dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Khazanah Alam, Jengka menjadikan kawasan rekreasi ini agak sesak pada setiap hujung minggu apabila ia dikunjungi golongan peneroka dan pelajar universiti itu.

Sebuah lagi kawasan rekreasi yang agak terkenal bagi penduduk daerah itu ialah Hutan Lipur Teladas.

Nama Hutan Lipur Lubuk Yu agak unik kerana ia mungkin diambil berikutan kesan air terjun yang berbentuk huruf U.

Namun untuk ke Hutan Lipur Lubuk Yu agak leceh sedikit apabila pengunjung terpaksa melalui kawasan kebun getah sejauh dua kilometer dari jalan utama.

Pengunjung dari luar daerah Maran juga boleh melalui Jalan Maran-Jerantut atau Jalan Bandar Jengka-Felda Hulu Jempol untuk ke Lubuk Yu.

Berdekatan dengan kawasan rekreasi itu terdapat sebuah Loji Air Hulu Jempol di kaki Gunung Berantai.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba nama Hutan Lipur Lubuk Yu menjadi bualan utama orang ramai dari seluruh pelosok tanah air.

Semuanya disebabkan kematian misteri enam lelaki selepas mereka terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang lemas di kawasan rekreasi itu pada 26 hingga 30 Jun lalu.

Mereka yang meninggal dunia ialah Azizam Abdullah, 58, Timothy Hoo Seng Heng, 29, Lim Sin Lai, 55, Mohd. Ali Abdullah, 60, Zakaria Ayub, 52, dan Zainal Abidin Ismail, 56. Kesemuanya terlibat dalam operasi mencari mangsa lemas, Mohd. Azhar Azizam, 28. sebelum itu.

Berikutan kematian mengejut itu, pelbagai andaian timbul hingga kepada perkara yang di luar kemampuan akal untuk berfikir.

Ada yang mempercayai bahawa kematian tersebut berpunca daripada kawasan rekreasi itu yang dikatakan agak 'keras.'

Keenam-enam lelaki terbabit dikatakan mengganggu kawasan terbabit sehingga menyebabkan kemarahan penunggunya.

Kononnya, kawasan itu dijaga oleh seorang wanita berambut panjang yang dikatakan ditemui oleh salah seorang mangsa yang meninggal dunia itu.

Apa pun telahan orang ramai berhubung kejadian itu, Kementerian Kesihatan mengenal pasti punca kematian kesemua mangsa disebabkan jangkitan bakteria melioidosis' dan leptospirosis (air kencing tikus).

Selain enam kematian itu, 83 orang lagi turut dijangkiti virus kencing tikus menyebabkan pihak berkuasa mengambil tindakan drastik menutup pusat perkelahan itu serta-merta selama dua bulan bagi tujuan pembersihan.

Penyebaran bakteria itu disedari penduduk selepas enam kematian bermula 3 Julai lalu dan terakhir pada 8 Julai lalu membabitkan penduduk tempatan yang berusia dalam lingkungan 29 hingga 60 tahun.

Kisah kematian enam sukarelawan itu menyaksikan pertembungan antara tahyul iaitu mengenai kewujudan wanita berambut panjang dengan alam nyata yang berkaitan aspek kebersihan.

Jika diambil dari sudut tahyul, mungkin ada kebenarannya apabila lokasi hutan lipur itu yang agak tersorok ke kawasan pedalaman dan menyeramkan pada waktu-waktu tertentu.

Namun, penulis lebih bersetuju jika aspek kebersihan yang terabai di Hutan Lipur Lubuk Yu menjadi punca kematian enam mangsa terbabit.

Penulis sendiri pernah berkunjung ke Lubuk Yu dan mendapati tahap kebersihannya amat mengecewakan.

Kebetulan kehadiran penulis ke kawasan rekreasi itu adalah pada musim durian, maka bersepah kulit durian di sana-sini.

Itu tidak termasuk dengan plastik dan kertas bungkusan makanan serta minuman selain polisterina yang dibuang merata-rata di bawah pokok dan sebagainya.

Tong sampah yang disediakan Majlis Daerah Maran (MDM) bagai tidak digunakan apabila ia tidak dimanfaatkan oleh pengunjung yang berkelah.

Pastinya kekotoran itu mengundang kehadiran 'pengunjung' seperti anjing dan tikus menyelongkar sampah sarap terbabit.

Justeru, kejadian yang berlaku di Lubuk Yu sewajarnya menjadi iktibar kepada semua pihak supaya mengutamakan kebersihan.

Nampaknya, kehadiran virus influenza A atau H1N1, tidak banyak menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan kebersihan.

Tidak salah dengan apa yang dinyatakan oleh Allah S.W.T bahawa kerosakan yang berlaku di muka bumi ini berpunca daripada tangan manusia itu sendiri.

Cukuplah dengan apa yang berlaku dengan musibah H1N1 dan misteri Lubuk Yu. Janganlah ditambah lagi ketakutan yang menimpa kita selama ini.

Tugas kita sebenarnya tidak sukar. Kita hanya perlu menjaga kebersihan untuk mencegah segala wabak dan virus membunuh ini.

DMKB - Tidak jemu sabun tangan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.