saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 22/07/2010

Pas-UMNO: Syukur, sudah ada nur cahaya

SEORANG pemanggil menelefon saya dan kemudian tersebak. Beliau ialah seorang profesional. Bertugas sebagai pengurus dana di sebuah dana Islam terbesar negara. Katanya, beliau pernah menganggotai sebuah jawatankuasa kerja pasaran modal Islam semasa cadangan pembentukannya kira-kira lapan tahun lalu.

Alhamdulillah saya dapat bercakap dengan saudara, katanya. Saya juga dapat bercakap dengan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan saya akan cuba menghubungi seorang pemimpin Pas pula.

‘‘Saya berdoa siang dan malam supaya orang Islam kita, UMNO dan Pas bersatu.’’

‘‘Saya mahu luahkan isi hati saya... Kerajaan membentuk sistem perbankan muamalat dan Pas dengan konsep hudud, biar mereka bentuk bersama. Saya menyahut gendang perpaduan itu,’’ katanya, dengan nada seperti orang yang terlalu insaf menadah tangan ke hadrat Ilahi.

Perasaan beliau, yang tidak saya kenal orangnya, datang dari hati yang cukup suci. Pedulikan siapa yang menentang gesaan itu. Ia harus dibuat dengan niat yang ikhlas demi agama, bangsa dan negara.

Sekali lagi saya juga ingin menyiarkan suara hati ikhlas ustaz Zaidi Hassan, seorang pemikir Islam dari Kota Bharu, Kelantan yang sejak akhir- akhir ini sering kami berhubung melalui e-mel, tetapi belum sempat ketemu.

Begini bunyi emelnya: ‘‘Saya sangat menyokong usaha untuk menolong anak-bangsa kita. Saya memang menyokong usaha mempersatukan anak-bangsa kita (beliau meletak sengkang bagi perkataan anak bangsa). Saya memang impikan yang saya dapat menyumbang ke arah memartabatkan maruah bangsa kita.

‘‘Saya percaya semua usaha ini hendaklah dibuat secara jujur, tanpa niat untuk memenangkan mana-mana pihak kecuali pihak yang paling sesuai dan paling dapat mendatangkan manfaat kepada bangsa.

‘‘Manfaat terbesar kepada bangsa ini untuk patuh kepada perintah Tuhan, mengikut sunah Rasul, menyuburkan budaya ilmu, menyemai nilai dan akhlak yang baik serta ke depan dalam kemajuan.

‘‘Impian kita akan tercapai dengan rahmat Allah sekiranya wujud di kalangan kita usaha yang mengajak kepada kebajikan dan melarang kemungkaran, berusaha untuk memahami dan menilai warisan ilmu silam serta bersedia untuk menguasai kemahiran semasa dan mendatang.

‘‘Usaha ini akan lebih berkesan sekiranya terdapat kerjasama semua pihak.”

Petikan kata-kata Zaidi itu juga cukup ikhlas. Beliau turut membetulkan tulisan saya bertajuk Islam dan Perjuangan Melayu apabila saya menyebut beliau sebagai ‘ahli Pas’. Beliau menjelaskan: ‘‘Saya tidaklah ahli Pas… Saya menulis mengikut perspektif saya sendiri, tanpa sebarang kepentingan mana-mana parti.

‘‘Dan saya terpaksa bertanggungjawab tentang tulisan saya di depan Allah di hari yang tiada manfaat harta-benda dan anak-pinak kecuali mereka yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera.”

Seperti juga ustaz Zaidi, saya juga menulis tanpa sebarang kepentingan mana-mana parti.

Sebagai insan yang kerdil marilah kita doakan pelan damai UMNO-Pas itu akan berjaya.

AMERIKA Syarikat ialah negara besar. Pergerakan ekonominya akan mempengaruhi seluruh dunia. Kini negara itu sedang berada dalam keadaan ekonomi yang teruk.

Newsweek edisi 19 Julai menceritakannya. Rupa-rupanya masalah di sana lebih gawat daripada di Malaysia. Kita cuma naik harga minyak 5 sen dan gula yang membawa banyak penyakit.

Di Amerika sehinggakan nak menjadi pengikut agama pun susah. Kolumnis Lisa Miller menulis artikelnya bertajuk Kos untuk menjadi seorang Yahudi. Beliau menulis bagaimana kemelesetan ekonomi Amerika mempengaruhi agama di sana.

Beliau berkata, satu kajian pada 2005 menunjukkan yuran untuk menjadi ahli jemaah sebuah kuil Yahudi (synagogue) setahun ialah AS$1,100 - tetapi yurannya dua atau tiga kali ganda di bandar-bandar yang lebih besar. Di sebuah kuil di Manhattan‘s Upper West Side, seorang rabinya memberitahu yuran keahliannya ialah AS$3,100 setahun.

Lisa menulis lagi, satu keluarga Ortodoks Yahudi dengan tiga anak dianggarkan membelanjakan antara AS$5,000 dan AS$110,000 setahun untuk yuran sekolah, yuran kuil, kem musim panas dan makanan ‘halal’ kosher.

Tekanan hidup memaksa penganut agama Yahudi menjauhi agamanya sendiri. Pada 2008, dianggarkan 2.7 juta warga Amerika yang menganggap mereka sebagai Yahudi yang bersembahyang; angka itu jatuh berbanding 3.1 juta pada 1990.

Satu lagi kolumnis Robert J. Samuelson menulis mengenai bagaimana kemelesetan mengubah cara hidup rakyat Amerika. Dalam tulisannya bertajuk Ketidaktentuan semakin membimbangkan, beliau menggambarkan kemelesetan yang dialami sekarang lebih teruk daripada 11 kemelesetan negara itu sejak Perang Dunia Kedua.

Ia berlaku dalam banyak keadaan, menyentuh setiap kelas sosial melalui kehilangan kerja, pemotongan gaji, nilai kekeluargaan yang semakin tertekan, pegangan saham yang semakin merosot, simpanan persaraan semakin nipis, dan anak-anak besar yang kembali semula ke rumah ibu bapa.

Beliau menulis lagi kepada satu bancian pendapat terhadap 3,000 rakyat Amerika pada Mei lalu mendapati: 71 peratus mengurangkan pembelian barang berjenama, 57 peratus mengurangkan dan menghentikan percutian. Pendek kata, pelan keluarga telah diubah; 11 peratus berkata mereka menangguhkan perkahwinan atau mempunyai anak, sementara sembilan peratus telah berpindah ke rumah ibu bapa masing-masing.

Samuelson menulis lagi bagaimana teruknya kadar kehilangan kerja di sana. ‘‘Pengangguran adalah yang terburuk sejak Perang Dunia Kedua.”

Kolum yang ditulis oleh Ezra Klien juga menulis mengenai soal wang dan hidup. Tulisannya bertajuk Ia selalunya mengenai ekonomi, bodoh (Untuk menang pilihan raya pada November ini, fokus kepada gaji, bukan undi).

Petikan yang diletakkan di muka surat 20 itu cukup menarik: “Kita harus memberi sebanyak mungkin wang (ekonomi) di dalam tangan pengundi secepat mungkin sebelum tibanya pilihan raya.”

Jadi, pembaca Cuit sekelian apa yang dihairankan apabila kerajaan menaikkan minyak 5 sen dan gula 25 sen?

Ubahlah cara hidup kita – sebelum ada lagi yang dengarnya akan naik!

SUARAM atau nama penuhnya Suara Rakyat Malaysia ialah aktivis kononnya mewakili rakyat Malaysia. Ia sedang memperjuangkan soal kapal selam yang tak boleh tenggelam.

Suara rakyat Malaysia itu tidak langsung menyentuh mengenai soal alam sekitar yang diriuhkan oleh rakyat Malaysia sekarang.

Saya cukup-cukup hairan dengan mereka ini. Kita tahu selepas pilihan raya umum lalu ramai juga aktivis jenis ini yang kini menjadi wakil rakyat PKR dan DAP. Rupa-rupanya mereka menggunakan platform NGO mereka itu untuk menjadi wakil rakyat.

Amat memalukan, apabila kawasan lecah (wetlands) kini dijadikan kuari pasir dan alam sekitar diganyang semahu-mahunya dan tidak ada aktivis yang bersuara. Mana perginya suara rakyat Malaysia -- Suaram?

Tapak korek pasir itu yang berada bersebelahan dengan Paya Indah Wetlands dan menjadi habitat (rumah) kepada pelbagai jenis burung dan ikan itu kini mulai hancur. Ia juga menjadi kawasan yang boleh menyejukkan Lembah Klang yang semakin panas ini.

Mana, kamu semua? Semasa saya menulis mengenai isu kemusnahan Bukit Cerakah di Shah Alam dulu ramai juga aktivis alam sekitar yang ikut serta membelasah Menteri Besar pada ketika itu, Dr. Khir Toyo. Kini semua mereka senyap. Khalid Ibrahim kini membuat pelbagai kenyataan yang cukup menjengkel kita semua. Blog-blog mereka menyalahkan Kerajaan Pusat pula?

Mereka sedang menukar isu depan mata kepada isu lain. Mereka ini rupa-rupanya cukup hipokrit.

  • Cuit akan keluar seperti biasa Rabu depan. – Pengarang
  • Kongsi Konten di :

    Waktu Solat Kuala Lumpur
     
    Subuh 5:47
    Zuhur 1:09
    Asar 4:14
    Maghrib 7:11
    Isyak 8:20



     

    Dengar SuriaFM
    Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
    Riuh Rio Brazil 2014
    Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
    Tragedi Pesawat MH370
    Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
    KE7B Greenland 2014
    Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






    MENARIK
    Ruang iklan percuma hartanah, produk
    Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
    Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
    Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
    Aduan sukar dapat naskhah akhbar
    Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
    Gambar kahwin Album Raja Sehari
    Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
    Mari baca Utusan Melayu Mingguan
    Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
    SMS News Alert Utusan Malaysia
    Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.