saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 26/07/2010

Mencari pengangkutan awam menjelang ‘pesta balik kampung’

BEGITU pantas masa berlalu. Lebih kurang dua minggu lagi, umat Islam akan memulakan ibadah puasa bulan Ramadan.

Bagi menghidup dan mengimarahkan Ramadan yang datang hanya sekali dalam setahun itu, surau dan masjid di seluruh negara sibuk mengatur pelbagai program.

Malahan Surau Al Huda Utusan Melayu juga siap menyusun programnya seperti tahun-tahun sebelum ini. Menurut Pengerusinya, Kamsari Nor, seperti biasa akan diadakan solat sunat tarawih dan witir, tazkirah, majlis ilmu, tahlil arwah, tadarus al-Quran, membuat bubur lambuk dan derma kepada anak-anak yatim.

Pada masa yang sama, pihaknya turut mengalu-ngalukan sumbangan kakitangan Utusan untuk menaja moreh dan wakaf am surau. Begitulah saban tahun, aktiviti mengimarahkan Ramadan di surau Utusan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

Penulis percaya aktiviti yang sama malahan mungkin lebih daripada itu sudah siap diatur oleh jawatankuasa surau dan masjid di seluruh negara. Orang perseorangan juga ghairah mengatur program kebajikan. Begitulah meriahnya menyambut Ramadan pada saban tahun.

Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan untuk menambah pendapatan dengan menjalankan perniagaan di bazar Ramadan. Ribuan peniaga mahu mendapatkan lesen niaga. Promosi jualan murah juga sudah kedengaran. Iklan-iklan promosi makanan dan minuman sempena bulan puasa sudah muncul. Tidak ketinggalan promosi kuih raya sudah bermula.

Menjelang Ramadan juga, sudah kedengaran cerita nak balik kampung mana pada hari raya? Ibu bapa sendiri atau mertua. Naik kereta sendiri, menumpang kereta rakan, naik bas, kereta api, kapal terbang tambang murah atau berkonvoi motosikal. Balik kampung bagi warga kota merupakan sesuatu yang wajib walaupun kos semakin tinggi - tol, minyak dan sebagainya.

Bagi yang tidak ada kenderaan, sudah tentu pengangkutan awam - bas dan kereta api atau kapal terbang tambang murah – menjadi pilihan.

Tetapi bagaimana jika bas yang disediakan tidak mencukupi? Ketika ada insan yang baru mencongak cuti lulus atau tidak, bonus ada ka tidak, tiket dah habis dijual. Nak mengharapkan bas tambahan belum pasti.

Konsortium Transnasional Berhad (KTB), pengusaha terbesar pengangkutan bas awam yang menawarkan perkhidmatan bas henti-henti dan ekspres di Semenanjung Malaysia, awal-awal lagi menyatakan tidak akan menawarkan bas tambahan bagi musim Hari Raya Aidilfitri akan datang.

Menurut Pengerusi dan Pengarah Urusannya, Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh, syarikat itu akan mengekalkan jumlah penumpang hariannya sebanyak 24,000 sebagai langkah mengurangkan kos operasi. Maknanya, bas tambahan merugikan.

Lazimnya, pada musim hari raya, syarikat itu, yang turut mengendalikan bas Nice, Plusliner, Transnasional dan Cityliner, akan menambah 16,000 lagi tempat duduk setiap hari bagi memenuhi peningkatan penumpang semasa musim perayaan.

Menyelak kembali tradisi balik kampung sebelum ini, bas tambahan amat diperlukan bagi menampung jumlah penumpang yang meningkat. Lebih-lebih lagi jika cuti hari raya serentak dengan cuti sekolah. Semuanya nak balik kampung tak kira Melayu, Cina atau India. Tahun lalu 300 hingga 400 bas tambahan disediakan.

Apakah dengan penarikan diri KTB, jumlah bas akan berkurangan? Mungkin persatuan bas ekspres dapat melakukan sesuatu supaya orang ramai tidak susah hati apabila tiket perjalanan mengikut jadual biasa habis dijual sebelum Ramadan. Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) juga perlu memantau keadaan ini.

Kita tunggu dan lihat apabila kaunter tiket balik kampung dibuka menjelang Ramadan atau pada awal puasa nanti.

Mungkinkah penumpang terpaksa bersedia dengan kenaikan tambang bagi bas-bas tambahan yang disediakan?

Tidak dinafikan bas tambahan pada musim perayaan akan mengalami kerugian apabila hanya mampu membawa penumpang satu hala. Contohnya dari Kuala Lumpur, bas mampu membawa ‘muatan penuh’ ke Kangar, Alor Setar, Butterworth, Ipoh, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuantan dan Johor Bahru. Tetapi apabila pulang semula ke Kuala Lumpur, kemungkinan jumlah penumpang berkurangan atau tidak ada langsung. Ini realiti. Siapakah penumpang dari kampung nak balik ke Kuala Lumpur menjelang hari raya? Mungkin pelancong.

Justeru, beberapa kelonggaran perlu diberikan kepada pengusaha bas bagi menampung kos yang meningkat lebih-lebih lagi bagi perjalanan jauh yang terpaksa menempuh bayaran tol.

Bagi perjalanan dekat ke Seremban atau Ipoh, pengguna mempunyai pilihan iaitu komuter. Malahan untuk ke Ipoh, mereka berpeluang menggunakan perkhidmatan tren elektrik (ETS). Dengan kelajuan 140 kmj, perjalanan ETS Kuala Lumpur - Ipoh hanya mengambil masa dua jam berbanding tiga jam bagi perkhidmatan biasa.

Mungkin Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dapat menambah perkhidmatan itu pada musim perayaan berbanding 16 perjalanan pergi balik pada hari-hari biasa.

Walaupun terpaksa membayar harga yang tinggi tetapi dengan kepantasan serta ‘layanan mesra’ oleh ETS, sudah tentu ia berbaloi. Diharapkan KTMB tidak menjadikan alasan ‘rugi’ untuk turut mengurangkan perkhidmatannya.

KTMB dan syarikat bas juga boleh bekerjasama mengadakan perkhidmatan transit bagi laluan utara. Ini bagi mengatasi kekurangan bas atau mengurangkan kerugian syarikat bas yang membuat perjalanan dari Kuala Lumpur.

KTMB boleh menambah kekerapan ETS ke Ipoh pada musim perayaan dan penumpang yang mahu meneruskan perjalanan ke utara – Butterworth, Alor Setar dan Kangar dapat menyambung perjalanan dengan bas di stesen KTM Ipoh.

Sekali lagi SPAD yang dibentuk oleh kerajaan untuk melihat sistem pengangkutan awam perlu memainkan peranan bagi melancarkan perjalanan rakyat untuk pulang berhari raya.

Jangan menyusahkan rakyat setiap kali musim perayaan. Jika rakyat disukarkan untuk balik kampung, maka ia akan jadi cerita lain apabila mereka menemui ibu bapa dan saudara mara. Kesannya sudah tentu kepada kerajaan.

Maka bersedialah untuk menyediakan pengangkutan awam yang cekap kepada rakyat supaya selari dengan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:19
Asar 4:32
Maghrib 7:24
Isyak 8:35



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.