saya nak baca ..

DALAM NEGERI


ARKIB : 05/08/2010

Rakyat Norway gubal DEB antara penerima Anugerah Merdeka

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Pakar ekonomi antarabangsa dari Norway, Tan Sri Just Faaland yang terbabit secara langsung dalam penggubalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) diumumkan sebagai salah seorang daripada empat penerima Anugerah Merdeka 2010.

Beliau menerima anugerah berprestij itu bagi kategori Sumbangan Ulung Kepada Rakyat Malaysia menerusi DEB yang dilaksanakan dari 1970 hingga 1990 dan berjaya membantu membasmi kemiskinan serta menyusun semula masyarakat.

Faaland, 88, yang kini bertugas sebagai Perunding Kanan Chr Michelsen Institute (CMI) Norway memberikan idea itu ketika berkhidmat membantu Majlis Gerakan Negara (Mageran) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk mewujudkan DEB selepas rusuhan kaum pada 1969.

Beliau telah menulis buku yang diterjemah ke bahasa Melayu bertajuk Dasar Ekonomi Baru: Pertumbuhan Negara dan Pencapaian Ekonomi Orang Melayu terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. pada 2003 mengenai peranan DEB untuk mewujudkan masyarakat yang adil dan seimbang dalam usaha pembentukan sebuah negara bangsa yang bersatu-padu.

Faaland merupakan penerima kedua kategori berkenaan selepas rakyat Britain, Datuk Leslie Davidson pada 2008 kerana sumbangannya terhadap pembangunan ladang kelapa sawit berskala besar di negara ini manakala tiada pemenang pada tahun lalu.

Senarai penerima Anugerah Merdeka 2010 diumumkan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanahnya yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas di sini hari ini.

Presiden Seumur Hidup Persatuan Pure Life (PLS), Datin Paduka Mother Mangalam Iyaswamy Iyer turut menerima Anugerah Merdeka kategori Pendidikan dan Komuniti.

Ia bagi mengiktiraf sumbangan Mangalam, 84, yang berkhidmat untuk kanak-kanak serta masyarakat tidak mengira bangsa dan agama yang memerlukan bantuan, perhatian dan kasih sayang.

Beliau yang sering memakai sari putih ialah individu yang gigih berjuang supaya rakyat di negara ini bersatu-padu tanpa mengira kaum, agama dan budaya.

Mangalam yang dilahirkan di Singapura pada 1926 turut menjadi penasihat kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persahabatan Kerohanian Antara Agama (Insaf) yang mempunyai wakil penganut enam agama utama di negara ini.

Anugerah Merdeka bagi kategori Pencapaian Ulung Akademik pula dimenangi secara bersama oleh dua saintis iaitu Profesor Emeritus Dr. Yong Hoi Sen dan Profesor Dr. Harith Ahmad yang kedua-duanya dari Universiti Malaya (UM).

Hoi Sen, 63, yang merupakan seorang pakar dalam bidang zoologi dan botani kini berkhidmat sebagai Profesor Emeritus di Institut Sains Biologi UM.

Antara sumbangannya ialah menyelesaikan misteri fenomena titisan air berwarna kekuningan yang sering didapati melekat pada tumbuh-tumbuhan di negara ini yang sebenarnya berpunca daripada najis lebah madu.

Beliau juga adalah individu yang memperjuangkan penggunaan bahasa Melayu bagi menamakan spesies baru termasuk menggunakan nama Trypanosoma Raksasa bagi merujuk kepada sejenis parasit baru yang ditemuinya.

Harith, 46, pula menerima anugerah itu berikutan penyelidikan yang dibuatnya dalam bidang fotonik iaitu kajian mengenai cahaya termasuk lampu, menghasilkan, mengukur dan memanipulasi cahaya, laser, optik serta gentian optik.

Beliau kini ialah profesor dalam bidang fotonik di Jabatan Fizik, Fakulti Sains UM dan Penganalisis Utama Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT).

Antara ciptaan pasukan penyelidik yang diketuainya yang kini digunakan oleh Telekom Malaysia Berhad membabitkan produk komunikasi optik seperti kapler gandingan, penguat optikal dan gentian optik.

Dua lagi kategori iaitu Alam Sekitar serta Kesihatan, Sains dan Teknologi tiada penerima.

Setiap kategori anugerah yang diasaskan Petronas, ExxonMobil dan Shell itu menawarkan hadiah wang tunai RM500,000, piala dan sijil manakala penerima bersama pula menerima RM250,000 setiap seorang.

Hadiah berkenaan akan disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Oktober ini di Dewan Filharmonik Petronas di sini.

Shamsul Azhar sewaktu berucap pada majlis pengumuman itu berkata, beliau berharap anugerah berkenaan akan memberikan inspirasi kepada semua pihak untuk mencari idea baru bagi membangunkan Malaysia.

Selain itu katanya, anugerah itu juga akan terus memberi penghargaan kepada generasi terdahulu yang telah banyak berjasa kepada negara.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi ExxonMobil Malaysia, Hugh W. Thompson dan Pengerusi Shell Malaysia, Mohd. Anuar Taib.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.