saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 10/08/2010

Terperangkap dalam kerangka 'psyops' musuh?

RAKYAT Malaysia yang sayangkan negara tentu mahu Malaysia kekal bebas dan merdeka menikmati iklim nyaman seperti hari ini dan bebas mencorakkan masa depannya mengikut cita rasa tempatan. Sayangkan negara tentulah sayangkan keseluruhannya. Tidaklah seseorang itu sayangkan negara jika dia hanya sayang cebisan-cebisan daripada negara ini.

Sayanglah kepada tanah air, penduduk dan budayanya, pemerintah dan kedaulatannya yang menjadi simbol kemerdekaan. Sebuah watan yang sempurna disusun bermula daripada tanah dan airnya. Di atas tanah ada penduduk dan budayanya, di atas penduduk ada pemerintahnya dan di atas pemerintah ada kedaulatan dan simbol kemerdekaannya.

Rakyat yang sayangkan negaranya, apabila berurusan dengan pihak luar, tidak akan sekali-kali mengatakan negaranya tidak subur dan airnya kotor, tidak akan berkata penduduk dan budayanya bobrok, pemerintahnya zalim, dan kedaulatannya palsu.

Jika tanahnya tidak subur, dia akan baja dan suburkan. Jika airnya kotor, dia akan bersihkan. Jika penduduknya bobrok, dia akan atur dan harmonikan. Jika pemerintahnya zalim, dia diinsafkan atau gantikan dengan teratur, dan jika kedaulatannya palsu, dia akan kembalikan keasliannya.

Semuanya akan dilakukan di dalam negaranya secara bersama dalam semangat yang dinamakan kenegaraan. Tidaklah sempurna sifat orang sayangkan negara yang memilih untuk sayangkan tanah dan khazanahnya sahaja, sedangkan dia memburuk-burukkan penduduk dan budayanya. Cacatlah cinta seseorang terhadap negaranya jika dia mengadu kepada orang lain mengenai buruknya mana-mana juga tiang negara itu, termasuklah mengadukan hal pemerintahnya.

Demikianlah sifat-sifat yang perlu disemak jika seseorang itu mengaku sayangkan negara dan berjuang untuknya. Jauh sekalilah, seseorang itu daripada sifat sayangkan negaranya jika dia sanggup bekerjasama atau diperalatkan orang lain yang secara sedar atau tidak sedar, mereka telah melafazkan tingkahlaku yang kesannya negara menjadi hina dan hodoh pada kaca mata luar.

Tidak mengapalah kepada mereka yang sememangnya tidak sayangkan negaranya sendiri dan mahu menyerahkannya kepada orang lain demi kepentingan diri.

Namun, bagi mereka yang niatnya bersih dan suci menyayangi negara tetapi tidak menyedari dirinya diheret ke arah lain, elok juga kita mempelajari beberapa tanda atau isyarat bagi membolehkan dia menyukat sejauh mana negaranya bakal kehilangan kemerdekaan yang selama ini menentukan kebahagiaan mengikut acuannya sendiri?

Bagaimanakah caranya untuk dia beringat jika negaranya sedang diperangkap oleh penjajah yang tiada siapa tahu dengan jelas siapakah bakal penjajah itu. Jika sudah diketahui siapa, tidaklah perlu masa yang panjang untuk mengambil sesuatu keputusan. Mungkin boleh diputuskan berperang dengan musuh itu atau dihukum tali barut mereka yang sudah berada di dalam negara.

Tetapi, apabila perang yang dilancarkan adalah perang psikologi yang memakan seperti api di dalam sekam yang hanya dilihat adalah suatu campuran corak seperti sebuah kolaj. Kolaj itulah yang perlu dibaca supaya dapat diterangkan maknanya.

Antara tanda-tanda pertama dalam langkah-langkah penjajahan melalui perang psikologi adalah mempengaruhi pemikiran penduduk sesebuah negara bahawa kehidupan mereka sedang diganggu bibit kecelaruan, ketidakteraturan dan keganasan di dalam negara.

Matlamat serta merta perancang itu pada peringkat ini ialah supaya pemerintah sedia ada akan dilihat sebagai tidak berupaya menyusun dan mengatur masyarakat, mengurus khazanahnya dan menyediakan keadaan yang selamat untuk penduduknya. Hari demi hari, rasa tidak selamat itu terus dipertingkatkan keupayaan suaranya.

Peringkat kedua adalah pihak yang melancarkan perang psikologi itu akan menambah satu lagi tekanan iaitu melemahkan keupayaan kuasa mengawal pemerintah yang dipilih dan diberi mandat oleh rakyatnya untuk memerintah. Segala kebaikan yang dibuat oleh pemerintah hendaklah ditenggelami dengan kebanjiran hal-hal keburukan seperti penyalahgunaan kuasa, rasuah, penipuan, tidak menunaikan janji dan apa sahaja yang boleh menjadikan pemerintah yang dipilih itu 'kebuluran' kepercayaan.

Cara begini akan mengalihkan tenaga, sumber dana dan kebijaksanaan pemerintah daripada program memajukan rakyat yang bakal membahagiakan mereka kepada menumpukan usaha mengurus persepsi.

Peringkat ketiga, sesudah rakyat merasa tidak selamat, satu lagi tekanan dikenakan iaitu mencabar status quo institusi yang mengatur rakyat dan pemerintah iaitu Perlembagaan dan undang-undang bertulis negara termasuk pihak yang menjadi penjaga institusi itu seperti badan kehakiman, pasukan penjaga keamanan, jentera pentadbiran dan institusi pembuat Perlembagaan dan perundangan seperti dalam konteks Malaysia adalah Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.

Pihak tersebut akan mengusahakan supaya institusi-institusi itu dan penjaga-penjaganya dilihat sebagai tidak lagi mempunyai kredibiliti yang menjamin negara berada dalam satu sistem yang teratur. Justeru, proses politik dan perundangan sedia ada tidak diberi kerjasama. Ini dilakukan bagi mengemukakan hujah bahawa pemerintah sedia ada tidak mempunyai legitimasi memerintah kerana institusi dan jenteranya tidak mempunyai kredibiliti.

Kesannya, anggota jentera institusi-institusi itu turut mengambil pendekatan populis dan menjadi sangat takut dilihat memihak pemerintah walaupun dalam keadaan yang legitimasinya cukup jelas.

Peringkat keempat, perancang perang psikologi ini akan menyemaikan rasa takut bertindak kepada setiap anggota pasukan keamanan.

Polis akan takut bertindak terhadap penjenayah, manakala tentera akan takut kehilangan nyawa di medan perang. Ini sangat kritikal iaitu apabila berlaku pemberontakan dalam negara, polis tidak akan dapat mengawalnya dan apabila ada serangan dari luar, tentera tidak akan melawan.

Peringkat kelima, pihak terbabit akan membuat provokasi terhadap pemerintah supaya pemerintah bertindak balas dengan keras. Apabila tindakan keras diambil, pasukan keselamatan enggan mempertahankannya, institusi yang lemah dan jentera institusi yang tidak lagi memihak pemerintah menjurus kepada satu keadaan anarki. Ketika itulah propaganda besar-besaran akan dilancarkan supaya kuasa alternatif dicari dan diberi kuasa.

Demikianlah yang telah terjadi sejak zaman berzaman dalam sejarah pengambilalihan sesebuah negara, masyarakat dan institusi iaitu melalui operasi perang psikologi. Ia sebenarnya telah berulang kali berlaku di mana-mana. Oleh kerana ia berlaku dengan sangat beransur-ansur dan secara tidak dirasai oleh rakyat, maka banyak kuasa dan kerajaan jatuh kerananya.

Apa yang disebutkan ini hanyalah suatu panduan umum atau tips untuk rakyat Malaysia yang sayangkan negaranya supaya beringat. Sama ada tanda-tanda itu telah ada di Malaysia, ia bukanlah isu yang hendak didebatkan.

Namun, jika ada yang terfikir bahawa mungkin telah ada tanda-tanda demikian di dalam negara tercinta ini, elok juga perlahan-lahan kita menyemak iaitu sudah berada di peringkat mana? Setiap rakyat Malaysia yang telah baligh wajar mempunyai panduan untuk mempertahankan negara yang dicintainya agar kedaulatan negara tidak diserahkan kepada orang lain.

Bukankah sudah lama, guru-guru di sekolah memberitahu bahawa sayangkan watan itu sebahagian daripada iman.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:18
Asar 4:44
Maghrib 7:27
Isyak 8:43



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.