saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 16/08/2010

Mencari tesis ilmiah terbaik

KAJIAN mengenai ilmu berkaitan Islam penting bagi menjana kecemerlangan umat. Apatah lagi jika ia meliputi pelbagai bidang kerana Islam bukan tertumpu kepada aspek keagamaan sahaja.

Menyedari hakikat tersebut, Yayasan Nurul Yaqeen sekali lagi tampil menganjurkan anugerah bagi mengiktiraf tesis-tesis terbaik berkaitan Islam dalam pelbagai bidang.

Yayasan yang ditubuhkan dengan matlamat menjadi antara wadah membantu proses melahirkan generasi Malaysia yang cemerlang ini yakin bahawa tesis mengenai Islam itu sangat penting untuk menjana keintelektualan umat.

Sehubungan itu, yayasan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak Mac 1991 ini yakin tesis-tesis bermutu tinggi perlu diberi perhatian dan dinobatkan menerusi anugerah berprestij.

Sejak tahun lalu, yayasan ini cuba mencari tesis terbaik antara yang terbaik. Namun ia meletakkan syarat iaitu tesis berkenaan perlu meliputi kajian mengenai kaitan Islam dalam bidang-bidang tertentu.

Pengarah Yayasan Nurul Yaqeen, Nor Zanah Jamari berkata, anugerah yang dianjurkan dengan kerjasama Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM) itu bertujuan memberi pengiktirafan kepada penghasilan tesis seperti itu.

Menurut beliau, sama seperti tahun lalu, Anugerah Tesis Tan Sri Muhyiddin Yassin kali ini turut menawarkan anugerah bagi kategori sarjana dan doktor falsafah.

"Kami menyediakan dua anugerah iaitu untuk kategori sarjana dan doktor falsafah. Selain memberi pengiktirafan, tesis-tesis terbaik akan diterbitkan untuk menjadi contoh dan panduan kepada sarjana lain.

"Ia merupakan antara tanggungjawab sosial yayasan dalam usaha mengiktiraf ilmu berkaitan Islam tetapi menjurus kepada pelbagai bidang seperti ekonomi, perubatan, sosial dan sebagainya,'' kata beliau.

Menurut Nor Zanah, yayasan itu memilih untuk mengiktiraf tesis berkaitan Islam kerana percaya umat Islam harus sentiasa memperkukuhkan hubungan vertikal dan horizontalnya iaitu "hablum minallah wa hablum minan nas".

Katanya, hubungan vertikal harus dipelihara dengan berbakti kepada Allah, manakala hubungan horizontal dipelihara dengan berbakti kepada ummah.

Menurut beliau, ia dijana menerusi menyuarakan pemikiran, perasaan aspirasi dan cita-cita umat lalu diterjemahkan dalam bentuk tindakan seperti sifat tolong-menolong, bantu-membantu mengikut jalan yang diredai-Nya.

Katanya hakikat itu telah termaktub di dalam al-Quran menerusi surah Al-Maidah ayat 2: "Dan hendaklah kamu tolong menolong dalam (mengerjakan) kebaikan dan takwa dan janganlah kamu tolong menolong pada dosa-dosa dan perseteruan."

Menyentuh mengenai anugerah tersebut, Nor Zanah berkata, penganjuran kali pertama pada tahun lalu berjaya mendapat penyertaan yang agak membanggakan.

"Tahun lalu kami menerima banyak penyertaan tetapi bagi setiap kategori setelah disaring, kami memilih enam calon bagi setiap kategori untuk pemilihan di peringkat akhir.

"Ini bermakna enam calon untuk kategori tesis peringkat sarjana dan enam calon untuk doktor falsafah telah disenarai pendek ke peringkat akhir,'' katanya.

Menurut beliau, setelah dipilih dengan teliti oleh panel hakim, maka majlis tahun lalu memutuskan tesis oleh Dr. Fadzila Azni Ahmad berjaya memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh yayasan itu bagi Anugerah Tesis Terbaik Tan Sri Muhyiddin Yassin peringkat Ijazah Kedoktoran.

Fadzila Azni merupakan Pensyarah Kanan di Bahagian Pengurusan Pembangunan Islam, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.

"Bagaimanapun kami mendapati tiada calon di peringkat sarjana yang benar-benar layak untuk menerima pengiktirafan tersebut. Kami tidak memberi hanya sekadar memenuhi kuota sahaja dan kerana itu kami memutuskan tiada pemenang untuk kategori itu.

"Kita mahu tesis yang terpilih benar-benar menepati kriteria yang ditetapkan iaitu berkaitan Islam dan mampu menjana ilmu ke arah peningkatan dan memanfaatkan masyarakat,'' tegasnya.

Kata Nor Zanah, pihaknya yakin tesis-tesis yang telah dan bakal diterima untuk dipertimbangkan bagi kedua-dua kategori sarjana dan doktor falsafah untuk Anugerah Tan Sri Muhyiddin kali ini adalah lebih baik dan berkualiti berbanding tahun lalu.

Menurut beliau, penerima Anugerah Tesis Sarjana Terbaik tahun ini bakal menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan pemenang Anugerah Tesis Doktor Falsafah Terbaik pula bakal membawa pulang wang tunai RM15,000.

"Kedua-dua kategori ini terbuka kepada warga Malaysia dan telah menamatkan pengajian masing-masing di mana-mana universiti seluruh dunia pada tahun 2009 dan 2010," ujarnya.

Kata Nor Zanah lagi, pencalonan boleh dibuat oleh pihak universiti atau individu itu sendiri dengan mengirimkan surat hasrat pencalonan dan borang pencalonan yang telah diisi.

"Calon juga perlu menyertakan bukti pengesahan bahawa telah lulus pengajian dengan jayanya selain menyertakan satu naskah tesis berkulit keras dan dua naskah tesis berkulit lembut," katanya.

Kesemua butiran itu boleh dihantar kepada Pengarah, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Kajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, 11800 Pulau Pinang.

Ia juga boleh dihantar kepada Pengarah, Yayasan Nurul Yaqeen, No. 4, Tingkat Bawah, Jalan 3/27F, Desa Setapak, Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur.

Semua tesis yang dihantar tidak akan dipulangkan dan tarikh akhir pencalonan ialah pada 31 Ogos ini sementara majlis penganugerahan yang dijadual disampaikan oleh Muhyiddin sendiri, akan diadakan pada November nanti.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman web ISDEV iaitu http://isdev.usm.my atau menghubungi 04-653 2124 atau 03-4142 2902.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.