saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 16/08/2010

Merdekakan diri daripada hutang menjelang hari raya

DUA minggu pada bulan Ogos sudah berlalu. Maknanya tinggal dua minggu lagi untuk rakyat Malaysia menyambut Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Ke-53.

Hari ini juga masuk hari keenam umat Islam di Malaysia menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadan.

Seperti tahun lalu, sambutan ulang tahun kemerdekaan jatuh pada bulan Ramadan. Tahun ini 31 Ogos akan disambut pada hari ke-21 umat Islam berpuasa.

Mungkin kali ini lebih meriah berbanding sambutan kali ke-52 yang jatuh pada 10 Ramadan dan ketika negara malahan dunia bergelut melawan wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1). Pada 2009, sambutan ringkas diadakan di pekarangan Parlimen.

Kali ini, sambutan secara sederhana tetapi penuh bermakna akan diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil.

Seperti biasa, menjelang sambutan itu, Kempen Kibarkan Jalur Gemilang dilancarkan. Tetapi setakat mana sambutannya? Kempen itu ditenggelami dengan promosi membeli-belah menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Malahan sebelum berpuasa, promosi jualan hari raya sudah berlangsung. Pendek kata ramai yang lebih ghairah dengan promosi juadah berbuka puasa dan hari raya. Tidak ada keghairahan untuk mengingati hari kemerdekaan.

Nasib baik sambutan hari kemerdekaan tidak dibatalkan kerana masing-masing sibuk nak sambut hari raya.

Mungkin disebabkan terleka dengan hari raya, maka semangat mengibarkan Jalur Gemilang kurang. Tidak ramai yang berebut-rebut membeli bendera berbanding keghairahan menempah baju, langsir, alas meja, karpet, lampu berwarna-warni dan macam-macam lagi yang semuanya baru.

Tidak dinafikan, ada juga yang begitu kreatif malahan sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk menunjukkan kecintaan mereka kepada negara menjelang ulang tahun kemerdekaan ini.

Apa pun kita mengharapkan menjelang dua minggu lagi detik bersejarah itu, kibaran Jalur Gemilang lebih meriah, megah dan bersemangat.

Memang benar cinta kepada negara bukan terletak kepada bendera tetapi keikhlasan kita untuk menghargai kemerdekaan yang dikecapi hasil perjuangan mereka yang terdahulu daripada kita.

Tetapi apa salahnya kita sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang? Pada masa yang sama kita juga bertanggungjawab mengisi kemerdekaan ini. Apa maknanya selepas 53 tahun merdeka, masih ada warganegara yang tidak tahu bercakap bahasa Melayu sehingga menyulitkan petugas-petugas Banci 2010 yang sedang mencari maklumat mengenai penduduk di negara ini.

Apa maknanya merdeka jika masih ada warganegara yang enggan bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk merancang pembangunan pada masa depan.

Merdekakanlah 'kehidupan' kita di negara yang bertuah ini. Berikan sedikit 'sumbangan' untuk menghargai kemerdekaan.

Insaflah bahawa di sebalik kemerdekaan yang sudah melepasi usia emas, selain masih ada yang 'miskin' bercakap bahasa rasmi negara, ramai yang mengharapkan bantuan dan sumbangan dalam pelbagai bidang kehidupan mereka.

Maka dalam keghairahan berbelanja semasa berbuka puasa dan menjelang hari raya, ingatlah sama mereka yang memerlukan. Bulan ini bulan yang baik untuk amal jariah.

Bagi keluarga peneroka Felda, tentunya lega apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah mengumumkan akan memberi duit raya.

Kuranglah sedikit beban mereka membuat persiapan menyambut hari lebaran nanti. Tetapi bagi kakitangan kerajaan, swasta dan sebagainya, harus lebih berhati-hati kerana gaji paling hampir dengan hari raya adalah dua minggu sebelum 1 Syawal.

Jika boros, maka pertengahan bulan September, iaitu beberapa hari selepas hari raya masing-masing terpaksa 'gigit jari'.

Silap haribulan terpaksa pinjam duit raya anak-anak.

Biar apa pun, janganlah dalam keghairahan berbelanja besar menjelang hari raya, ada yang terperangkap dengan tawaran pinjaman.

Ketika ini banyak pihak menawarkan pinjaman untuk hari raya. Kenapa harus meminjam atau berhutang untuk berhari raya? Kata orang, cakap memang mudah tetapi hanya yang menanggung terasa bebannya.

Ya... banyak kos yang diperlukan untuk hari raya. Bagi yang tidak membuat persiapan lebih awal, ketika inilah sibuk membeli pakaian untuk anak-anak di samping bajet menghias rumah, kuih-muih dan macam-macam lagi.

Paling penting tentunya kos balik kampung. Duit minyak dan tol sudah menjadi kemestian sama ada yang mahu balik ke utara, selatan, timur atau barat. Itu tidak kira kos penyelenggaraan kereta di bengkel sebelum perjalanan jauh.

Tidak hairanlah apabila semua kos ini dikeluarkan serentak, wang gaji tidak cukup. Tetapi yang bijak mengatur belanja, awal-awal lagi sudah membelikan anak-anak pakaian raya.

Mereka tahu hari raya akan tetap muncul. Mereka tahu jualan murah ada sepanjang masa walaupun kadang-kadang harga yang ditawarkan itu tidaklah murah. Tulis harga tinggi, kemudian potong harga dikatakan harga murah. 'Tawar-menawar' semasa jualan murah ini terpulanglah kepada kebijaksanaan penjual dan pembeli.

Namun sikap menunggu saat akhir inilah yang menyebabkan poket cepat kosong.

Ada yang berpendapat, saat akhir akan mendapat harga lebih murah. Mungkin yang murah hanyalah kuih raya pada malam raya. Tetapi kalau pakaian, harganya lebih kurang.

Membeli pada saat akhir juga berlaku menjelang penggal persekolahan. Berebut-rebut ibu bapa memenuhi pusat membeli-belah untuk mendapatkan pakaian sekolah.

Keadaan inilah sebenarnya menyumbang kepada wang sentiasa tidak cukup sehingga terpaksa menunggu 'durian runtuh' sama ada bonus atau imbuhan lain.

Lebih parah apabila mereka terperangkap dengan pemberi pinjaman berlesen serta ah long.

Tidak kurang juga yang belanja ikut suka menggunakan kad kredit. Akhirnya mereka terperangkap. Bukan mudah 'memerdekakan' diri daripada hutang kad kredit. Kebanyakan institusi kewangan menyediakan pakej 'membebaskan' diri daripada kad kredit melalui pemindahan baki. Kaedah ini tidak menyelesaikan masalah.

Adalah lebih baik institusi kewangan menawarkan pinjaman dengan kadar faedah berpatutan bagi yang sudah 'terlanjur' dengan kad kredit. Bimbinglah mereka kembali ke pangkal jalan. Membayar jumlah minimum tidak akan menyelesaikan hutang kad kredit. Selagi kad di tangan, masalah tidak akan selesai. Kad kredit bagaikan ah long dalam poket. Hutang akan terus meningkat. Akhirnya, pemegang kad kredit tidak mampu memerdekakan diri mereka.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:19
Asar 4:31
Maghrib 7:24
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.