saya nak baca ..

KELUARGA


ARKIB : 19/09/2010

Romantik atau kewajipan

APABILA suami tak romantik' kisah yang dipaparkan 22 ogos lalu menarik perhatian ramai wanita untuk memberi pandangan mereka. Antaranya saya pilih pandangan dari dua orang wanita, seorang daripadanya menetap di salah sebuah negara di Scandinavia. Masing-masing mempunyai pandangan tersendiri tentang suami romantik ini.

Jane dalam e-melnya memberitahu walaupun suaminya mat salleh, tetapi tidaklah romantik seperti yang ramai mendakwa sepatutnya suami mat salleh romantik sakan. Sebaliknya katanya suaminya lebih mengamalkan hidup berhemat dan tidak membazir.

''Suami saya JJ dari mula bercinta hinggalah anak kami dah anak dara sekarang tak kisah pun pasal hadiah untuk valentine ke, birthday mahupun anniversary. Katanya kalau nak beli barang tak payah tunggu hari-hari tersebut. Beli kalau mustahak. Or just tell me what you want, or if realy urgent go get it your self asal jangan membazir.

''Katanya lagi card is just a card, flower bila kering hanya penuhkan tong sampah, buat apa? Jadi kami beli hadiah bila kami rasa perlu. Bila saya lihat dia perlukan minyak wangi, baju mahupun jam baru. Saya akan belikan untuknya. Dan saya lihat dia akan senyum kerana dia memang memerlukan.

''Jadi saya faham perangainya. Kadang tu bila ada masa dia akan hadiahkan saya peralatan computer atau photography kerana dia tahu saya memang suka. Biasanya dia belikan dekat-dekat tarikh birthday saya. Tak tahulah sama ada dia sengaja atau tak sengaja. Tapi yang penting saya tak pernah merengek untuk dibelikan barang kegemaran saya untuk hari kelahiran saya atau sebagainya.

''Perangai orang lelaki ni mereka tak suka kita meminta-minta atau merengek kerana perangai itu akan membuat mereka benci dan tidak selesa. Seperkara lagi jangan suka mengungkit-ungkit apa yang telah diberikan.'' Demikian nasihat Jane.

Nasihat

Sementara itu Puan Marsela dalam e-mel pula berkata dia bukan bertujuan memberi nasihat kepada Puan Norjaslina sebaliknya ingin berkongsi pandangan, kalau baik jadikan panduan jika tidak jadikan hiburan.

''Memang benar sebagai wanita kita suka dibelai, dimanja dan dipeluk oleh seorang lelaki bergelar suami, malangnya saya tak dapat rasakan semua itu kerana itu bukan perangai suami saya kerana dia jauh lebih tua dari saya.

''Kalau duduk menonton tv dia langsung tak pedulikan saya, nak sentuh, pegang tangan apatah lagi nak peluk saya. Kadang tu dia baca surat khabar kita duduk depan dia pun dia tak nampak kerana terlalu khusuk. Masalah saya lebih teruk lagi kerana suami saya ada masalah kesihatan menyebabkan dia terlalu dingin di tempat tidur.

''Memang saya memendam rasa, tertekan perasaan tiada kawan nak berbual, tiada gelak ketawa apa lagi gurau senda. Apabila perasaan terlalu tertekan syaitan mulalah datang menghasut, maka timbulkan perasaan kesal berkahwin dengannya.

''Tetapi suami saya seorang yang baik segala keperluan saya disediakan, sebut saja yang diinginkan dia akan berikan. Makan minum cukup, dia penyabar tidak pernah meninggi suara, berjalan ke mana sahaja dia akan menamani saya, ini yang membuatkan saya rasa bertuah dan sayang padanya. Kebaikannya inilah buat saya muhasabah diri.

''Saya lihat kiri kanan ada kawan-kawan saya yang mempunyai suami sangat kedekut walaupun bergaji besar hinggakan dia terpaksa berniaga sambilan untuk mencari duit poket sendiri. Ada suami jenis yang lepas tangan segalanya diserahkan kepada isteri untuk menanggung keluarga. Ke pasar, menghantar anak sekolah dan bekerja untuk sara diri sendiri, sedangkan saya ke pasar pun tak pernah. Semua tersedia nak apa lagi?

''Tak kurang juga ada suami kawan saya kaki judi, kaki minum, kaki pukul dan kaki perempuan. Bila memikirkan ini saya rasa diri saya amat bertuah, walaupun suami saya pendiam dan langsung tidak romantik, malah selalu tidak dapat memenuhi keperluan batin saya. Namun saya tidak mengharapkan kesempurnaannya seratus peratus.

''Akhirnya saya buat keputusan tidak mahu melayan perkara yang remeh temeh yang dihasut syaitan, sebaliknya saya mesti bertindak mencari kebaikan yang ada dalam diri suami saya. Kalau dia tak romantik, saya akan buat dia romantik, saya akan pelok dia, bergurau senda, kalau dia duduk di sofa saya akan menghimpit dan menggeselkan badan saya padanya. Paling kurang dia akan melayan saya dan meletakkan tangannya memeluk saya. Pada saya itu sudah memadai sebagai tanda dia sayangkan saya.

''Kadang-kala suami saya takut bila saya dekat dengannya, tapi saya pandai mencari kelemahannya, akhirnya keraguannya bertukar menjadi gelak ketawa. Bagi saya kita tidak boleh mengharapkan suami melakukan segalanya untuk kita, sebaliknya kita juga patut berusaha untuk mencapai kebahagian yang kita ingini.

''Kita patut bersyukur dengan pemberian Allah dan tidak meminta lebih. Jangan hanya melihat keburukan suami kita dan membesar-besarkannya. Sebaliknya bersyukur dengan mencari kebaikannya yang ada dalam dirinya.

''Saya nasihatkan kaum wanita kalau suami tak romantik, janganlah sekali-kali terfikir cari jalan mudah mencari gantinya, kerana belum tentu kita mendapat apa yang kita cari itu lebih baik daripada yang ada di depan mata, kadang-kala yang baru itu lebih buruk lagi. Setiap manusia ada kelebihan dan kekurangannya. Sebagai isteri kita mestilah berusaha mengatasinya bukan memburukkan keadaan.

''Jangan sesekali terfikir nak jadi ibu tunggal semata-mata kerana suami tak romantik. Jangan cuba mencari atau memperbaiki keadaan atau pemberian Allah kepada kita, kerana Dia lebih mengetahui dan kita tidak, akhirnya pilihan kita tidak akan berakhir dengan kebaikan, sebaliknya akan mendatangkan lebih banyak bala bencana.

Suami

''Bersyukurlah dengan suami yang kita ada, kalau dia baik, romantik bukanlah segala-galanya, bukan boleh memberi kita kebahagian seratus peratus. Ada kalanya boleh menghancurkan hidup kita, jika dia hanya berpura-pura romantik, sedangkan dalam hatinya dia mempunyai hasrat lain untuk merosakkan kita.

''Sebagai insan yang lemah kita boleh berdoa untuk suami berubah mengikut selera kita, tetapi jika tidak mendapat apa yang dihajati, jangan keciwa, terimalah suami kita seadanya, mungkin dialah pemberian Allah yang terbaik untuk kita.

''Kalau bercerai dan berkahwin lain pun belum tentu akan dapat seorang suami yang sempurna sebab lumrah manusia itu sendiri mana ada manusia yang sempurna. Malah jika kita renung ke dalam diri kita mungkin kita akan menyedari hakikat bahawa diri kita sendiri juga bukanlah isteri yang cukup sempurna segala-galanya.

''Kepada Norjaslina berfikirlah dengan lebih matang, cari kelebihan dan kebaikan yang ada dalam diri suami anda, mungkin dia lebih baik daripada anda sendiri. Lupakan pasal suami tak romantik, tetapi carilah suami yang jujur, ikhlas membina rumahtangga dengan aman harmoni dan menjaga keluarganya dengan baik.

''Apa yang penting, kepala anda bebas daripada berfikir ke mana suami anda pergi hingga pagi tak balik, ke mana duit di habiskan setiap bulan, sedangkan anda terpaksa tanggung makan minum keluarga, lupakan pasal hadiah jambangan bunga, kad Valentine kerana itu semua tidak semestinya datang dari hati yang ikhlas, sebaliknya paksaan yang membuatkan suami menanam bibit-bibit kebencian terhadap anda.''

Demikian pandangan dua orang wanita tentang suami tidak romantik, berdasarkan pengalaman sendiri. Jadi sebagai isteri fikir-fikirkanlah mana lebih penting dalam hidup anda suami romantik atau suami bertanggungjawab?

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:18
Maghrib 7:00
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.