saya nak baca ..

SABAH & SARAWAK


ARKIB : 01/10/2010

Derita SMK Bandau, Langkon berakhir


Muhyiddin Yassin (kanan) mendengar keluhan Sharina Majimin (kiri) ketika melakukan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandau, baru-baru ini. -utusan/Ghazali Basri


KOTA MARUDU 30 Sept. - Tanggal 24 September lalu atau bersamaan 15 Syawal mungkin hari bahagia dan paling diingati pelajar dan seluruh warga kerja Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandau di sini.

Ini kerana, pada hari itu mereka bukan sahaja menerima kehadiran orang nombor dua dalam negara, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan orang nombor satu di negeri ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Apa yang istimewa, kehadiran kedua-dua tokoh penting itu membawa perkhabaran gembira apabila kerajaan bersetuju untuk membina sekolah baru bagi menempatkan SMK Bandau dengan kos RM34 juta.

Yang pasti, berita itu bukan sahaja menggembirakan pelajar dan guru, tetapi turut disambut penuh kesyukuran penduduk kampung sekitar daerah berkenaan.

Mereka berhak untuk meraikannya kerana sejak sekolah menengah berkenaan ditubuhkan lebih 10 tahun lalu, ia menumpang di Sekolah Kebangsaan (SK) Ongkilan.

Selain SMK Bandau, dalam lawatan itu Muhyiddin turut mengumumkan pembinaan bangunan baru SMK Langkon yang kini menumpang di SK Langkon.

Pengetua SMK Bandau, Sharina Majimin bersyukur kerana perjuangan semua pihak di sekolah itu termasuk pengetua terdahulu dan pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) akhirnya jadi kenyataan.

"Kita sudah lama memohon. Saya adalah pengetua ketiga sekolah ini dan kita memohon sejak 10 tahun lalu," katanya.

Beliau percaya dengan terbinanya sekolah baru itu akan memberikan seribu satu manfaat kepada kemajuan pendidikan pelajar di daerah ini.

Katanya, kemudahan dan keselesaan yang bakal dinikmati di sekolah baru akan memberi peluang kepada pelajar untuk bersaing lebih adil dengan pelajar sekolah lain.

Selain itu, katanya, program pendidikan dan pengajaran yang menghadapi banyak kekangan selama ini dapat dirancang dan dilaksanakan dengan lebih sempurna.

"Daerah ini juga akan mendapat manfaat kerana dengan terbinanya SMK Tandek yang baru serta SMK Langkon, ia sekali gus mengurangkan kesesakan SMK Tandek.

"Mungkin kemudahan yang bakal disediakan di sekolah baru seperti asrama akan mengurangkan masalah keciciran di kalangan pelajar yang tidak dapat ke sekolah kerana lokasinya jauh dan tidak ada kemudahan pengangkutan awam," katanya.

Sharina menambah, rasa simpati sentiasa menyelubungi perasaannya setiap kali melihat persekitaran tempat pelajar sekolah itu mendapatkan pelajaran mereka.

"Keadaan cukup tidak selesa. Mereka terpaksa bersesak di kelas, malahan hendak belajar sains tidak boleh dilakukan dengan sempurna kerana tidak ada makmal sains.

"Kesulitan ini saya saksikan setiap hari dan sebagai pengetua, saya hanya boleh bersimpati sambil terus memohon supaya sekolah ini mendapat sekolah baru dan tidak lagi menumpang di SK Ongkilan," katanya.

Beliau berkata, apa yang menyedihkan ialah mengenangkan nasib pelajar di kawasan itu untuk mendapatkan pelajaran mereka.

"Sudahlah sekolah rendah daif dan apabila masuk ke sekolah menengah terus berhadapan situasi sama.

"Persekitaran statik. Jadi bagaimana kita hendak mengharapkan mereka maju sedangkan persekitaran tidak berubah untuk mendorong mereka maju dalam pelajaran," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Kota Marudu, Jainim Samaron berkata, sekolah baru yang dibina itu akan dilengkapi kemudahan seperti asrama, dewan, makmal sains, pusat sumber dan makmal komputer.

"Ia membabitkan pembinaan sebanyak 24 kelas. Kedua-dua sekolah berkenaan kini masing-masing mempunyai lebih 600 pelajar," katanya.

Menurutnya, SMK Bandau akan dibina di tanah seluas 10 hektar berhampiran Taman Perumahan Beringin.

SMK Langkon pula, katanya, akan dibina di tanah seluas tujuh hektar berhampiran Kampung Langkon.

"Kedua-dua tanah berkenaan diletakkan di bawah nama Pesuruhjaya Persekutuan bagi membolehkan ia dibangunkan dengan projek Kerajaan Persekutuan untuk dimanfaatkan oleh rakyat," katanya.

Beliau yang juga Pengetua pertama SMK Bandau turut lega dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri itu serta tidak dapat melupakan saat melihat pelajarnya terpaksa belajar bawah bangunan kerana tidak ada kemudahan dewan serta makmal.

"Akibat kekurangan kemudahan, ramai pelajar cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) terpaksa dihantar ke sekolah lain bagi meneruskan pelajaran mereka," katanya.

Bagi Pengetua SMK Langkon, Solingkoi Sidi, beliau gembira dengan pengumuman kerajaan untuk membina sekolah baru itu.

Beliau berkata, pembinaan sekolah baru akan membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran dilakukan dengan lebih sempurna tanpa gangguan.

"Begitu juga aktiviti kokurikulum yang amat sukar untuk dilaksanakan pada masa ini kerana kekurangan kemudahan," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pelajaran Sabah, Muhiddin Yusin berkata, pada masa ini sebanyak 27 sekolah di Sabah menghadapi masalah kemudahan infrastruktur dan saling menumpang antara satu sama lain.

"Kita akan cuba mengatasinya secara berperingkat-peringkat," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.