saya nak baca ..

FORUM


ARKIB : 04/10/2010

Saman ekor: Hapuskan saman tertunggak

ISU 'saman ekor' senyap seketika setelah berantakan begitu hebat beberapa bulan lalu. Surutnya kepanasan isu ini bukanlah bermakna ia telah selesai sepenuhnya. Ia hanya seperti api dalam sekam yang akan muncul lagi pada bulan Februari 2011 nanti. Ini berikutan tindakan kerajaan menarik balik langkah menyenaraihitamkan kenderaan pesalah-pesalah trafik sehingga Februari 2011.

Penangguhan ini mengurangkan rungutan dan kemarahan orang ramai tetapi tidak menyelesaikan masalah. Tahun hadapan masalah ini akan disebut lagi dan kesan-kesan yang sama akan berulang. Apakah hubungan rakyat dan kerajaan hari ini menjadi seperti penukul dan pahat, Sekali rakyat merungut, sekali kerajaan bergerak?

Difahamkan saman ekor ini merupakan satu pilihan kepada pihak berkuasa dalam menguatkuasa peraturan jalan raya. Sebahagian besar saman ekor tertumpu kepada kenderaan yang melebihi had laju. Kaedah ini digunakan kerana ia lebih cekap dari segi penggunaan tenaga penguat kuasa dan juga mengelakkan kesesakan jalan raya. Satu lagi kaedah ialah mengadakan perangkap had laju dan menahan pemandu beberapa kilometer kemudian.

Kita percaya saman ekor diperkenalkan dengan tujuan baik iaitu untuk mendisiplinkan pemandu dan mengurangkan kemalangan jalan raya. Namun kaedah pelaksanaannya sangat meragukan dan menimbulkan kemarahan mereka yang disaman.

Ramai yang marah kerana mereka tidak berupaya mempertahankan diri apabila dengan tiba-tiba sahaja muncul saman atas kesalahan yang kononnya berlaku berbulan malah ada yang bertahun lalu. Ramai yang mempunyai saman tertunggak sehingga mencecah ribuan ringgit akibat saman terkumpul sejak bertahun-tahun yang lalu. Hasilnya mereka disenaraihitamkan secara tiba-tiba.

Berbanding saman secara bersemuka yang menyaman pemandu atau lebih tepat mereka yang melakukan kesalahan, saman ekor lebih banyak menganiaya orang ramai. Banyak kes mereka yang tidak bersalah disaman memandu melebihi had laju. Antara isu utama ialah orang lain memandu kereta dan pemalsuan plat kenderaan. Ini menyebabkan banyak tuan punya kereta yang tidak bersalah terpaksa menanggung beban yang tidak sepatutnya.

Terdapat juga individu yang menemui saya menunjukkan saman ekor yang beliau dapat di Sarawak sedangkan kereta beliau berdaftar di Kuala Lumpur dan masih berada di Kuala Lumpur sehingga hari ini. Jangankan kereta, tuan punya kereta pun belum pernah sampai ke negeri bumi kenyalang tersebut.

Salah seorang pengunjung blog saya dikenakan saman ekor membabitkan motosikalnya. Apabila beliau meminta bukti bergambar didapati kesalahan tersebut dilakukan oleh sebuah lori yang menggunakan nombor plat motosikalnya. Apakah tiada sistem dalam penguat kuasa untuk menyiasat terlebih dahulu sama ada nombor plat tersebut selari dengan jenis kenderaan yang didaftarkan? Memanglah kes tersebut diselesaikan dengan baik, namun bayangkan kesulitan dan kesusahan mereka yang teraniaya ini memperuntukkan masa dan wang ringgit untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Oleh kerana pihak berkuasa mengambil masa yang begitu lama untuk menyerahkan saman ekor ini ia menyebabkan proses mempertahankan diri sukar dilakukan. Tiada siapa lagi dapat mengingat perkara yang berlaku berbulan atau bertahun lalu, apatah lagi untuk menyediakan bukti.

Untuk mempertahankan diri tuan empunya kereta terpaksa menulis surat dan mengemukakan bukti.

Jika mahu gambar kena pula membuat permohonan kepada polis dan membayar jumlah tertentu. Nampaknya penguat kuasa saman ekor mempunyai kerja yang senang, rakyat pula yang terpaksa bersusah payah mempertahankan diri akibat kelemahan dan kecuaian penguatkuasaan undang-undang.

Oleh kerana terdapat banyak kecuaian dan kelemahan penguatkuasaan dalam kes saman ekor ini saya ingin merayu agar kerajaan menghapuskan semua saman ekor yang tertunggak.

Saya juga berharap YAB Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri melihat semula isu saman ekor ini. Saman ekor hanya bertujuan menguatkuasa peraturan had laju seolah-olah kelajuanlah punca utama kemalangan jalan raya.

Sedangkan sebahagian besar kemalangan berpunca daripada kecuaian, memandu secara semberono dan keletihan, bukannya melanggar had laju semata-mata.

Berdasarkan pengalaman memandu selama lebih 20 tahun, saya percaya hampir 80% daripada kita pernah melebihi had laju yang ditetapkan pada satu-satu ketika kerana mahu memotong atau berada di lebuh raya yang lengang. Namun bukan semua memandu terlalu laju sehingga membahayakan pengguna lain atau di luar kemampuan kenderaan.

Memang tidak dinafikan bahawa peraturan tetap peraturan dan yang melanggarnya perlulah menanggung akibat. Namun janganlah diborongkan berat kesalahan memandu melebihi had ini dengan yang memandu terlalu laju. Ada beza besar antara mereka yang memandu melebihi had laju dalam julat 20-30 km sejam berbanding yang memandu dalam julat sehingga 50 km sejam lebih dari had laju yang ditetapkan.

Justeru jika saman ekor mahu diteruskan saya berharap beberapa perubahan besar perlu dilakukan bagi menunjukkan saman ekor ini bertujuan mendisiplin pemandu dan mengurangkan keselamatan jalan raya bukannya menambah kantung kerajaan.

Kerajaan harus melakukan perubahan dan penstrukturan semula yang radikal dalam isu saman ekor ini. Perubahan ini harus dimulai dengan penghapusan saman ekor tertunggak, mewujudkan kaedah pelaksanaan saman ekor yang telus, penentuan jumlah kompaun yang lebih realistik dan kajian semula ke atas had laju di setiap jalan raya di negara ini.

Antara langkah yang perlu dilakukan ialah melupuskan semua saman ekor tertunggak sebelum ini yang gagal diserahkan kepada pesalah dalam masa lebih setahun. Ini sangat wajar kerana terdapat banyak kecuaian dan kelemahan penguatkuasaan dalam kes saman ekor ini sehingga mereka yang disaman rasa teraniaya dan menjadi benci kepada kerajaan.

DR. MOHAMAD KHIR TOYO

Presiden Gabungan Rakyat Malaysia Prihatin (Malaysia Prihatin) dan ADUN Sungai Panjang, Selangor.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zuhur 1:03
Asar 4:25
Maghrib 7:00
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.