saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 04/10/2010

Cabaran S. Samy berakhir, 'beban' baru digalas Palanivel

APABILA Perdana Menteri, Najib Tun Razak mengucapkan terima kasih kepada S. Samy Vellu atas sumbangannya selama ini, maka sudah pastilah, keputusan Presiden MIC itu untuk bersara pada Januari 2011 sebagai muktamad.

Samy Vellu, 74, mempercepatkan tarikh persaraannya. Pada Konvensyen MIC Wilayah Persekutuan Mei lalu, beliau dilaporkan berkata akan melepaskan jawatan itu tujuh atau lapan bulan sebelum penggalnya sebagai Presiden berakhir pada Mac 2012.

Ketika itu ada yang percaya dan ada yang tidak dengan janji bekas menteri Kabinet itu. Malahan ada pula yang mendesak beliau meletak jawatan lebih awal dan menyerahkannya kepada Timbalan Presiden, G.Palanivel.

Gerakan Anti-Samy (GAS) pula ditubuhkan bagi mendesak Samy Vellu berundur segera. Dan sehari selepas pengumuman persaraan itu, GAS yang dicetuskan oleh bekas Naib Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan akhirnya dibubarkan.

GAS juga nampak yakin dengan janji Samy Vellu kali ini. Pada masa yang sama kepimpinan lain dalam parti juga dapat menerima keputusan itu. Tidak ada rayuan yang dibuat.

Maka dengan keputusan yang dianggap muktamad itu, sebuah lagi parti politik khususnya melibatkan Barisan Nasional (BN) akan melihat peralihan kuasa. UMNO, MCA dan Gerakan sudah melihat peralihan kepimpinan masing-masing.

Sebelum ini ketika rakan-rakan Presiden lain seperti Dr. Mahathir Mohamad (UMNO), Dr. Ling Liong Sik (MCA) dan Dr. Lim Keng Yaik (Gerakan) melepaskan baton Presiden masing-masing, Samy Vellu masih mahu mengekalkan kedudukannya.

Alasan yang sering diberikan ialah bagi menyediakan timbalan yang dapat mengambil alih kepimpinan parti itu. Bermula sebagai Pemangku Presiden pada 13 September 1979, kemudian sebagai Presiden mulai 22 Mac 1981, Samy Vellu terus mengekalkan kedudukannya sehingga penggal ke-11 pada pemilihan September 2009.

Dalam sejarah pemilihan jawatan No. 1 dalam parti itu, Samy Vellu tidak pernah tewas walaupun dicabar pada 15 Oktober 1989 dan 17 Oktober 1992.

Dalam pilihan raya umum (PRU) pula, beliau menang dalam lapan PRU sejak 1974. Tetapi akhirnya pada 2008, Samy Vellu tewas kepada calon PKR dengan majoriti 1,821 undi.

Inilah kejutan kepada Samy Vellu sebagai Presiden MIC kerana bukan sekadar beliau yang tewas tetapi lima lagi kerusi Parlimen turut kecundang termasuk melibatkan timbalan presiden dan naib presiden.

MIC juga kecundang di 12 daripada 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Pengalaman buruk MIC khususnya Samy Vellu ini memerlukan tindakan segera untuk pemulihan parti menjelang PRU Ke-13 yang masanya akan tiba selewat-lewatnya pada tahun 2012. Maka peralihan kuasa kepimpinan amat penting bagi memberi ruang kepada pemimpin baru.

Dalam tempoh yang tidak sampai dua tahun, pemimpin yang mengambil alih jawatan Samy Vellu perlu bekerja lebih kuat untuk mengembalikan keyakinan rakyat khususnya masyarakat India kepada MIC.

Adakah Palanivel mampu memikul tanggungjawab ini? Mampu atau tidak, Palanivel perlu diberi peluang untuk melakukannya. Menyelak pengalaman bekas Ahli Parlimen Hulu Selangor itu, beliau dipilih menjadi orang No. 2 pada 2006 selepas menewaskan penyandang jawatan itu, S. Subramaniam yang menyandang jawatan itu selama 25 tahun.

Jika melihat pengalaman, tentulah Subramaniam menjadi pilihan yang lebih baik tetapi disebabkan Presiden yang tidak sehaluan dengannya, Subramaniam terpaksa 'disingkirkan' secara terhormat oleh Palanivel yang menjadi 'orang Samy Vellu'.

Cubaan Subramaniam yang mendapat jolokan Pemimpin Masyarakat atau Makkal Thalaivar untuk kembali pada pemilihan tahun lalu tidak kesampaian. Sentuhan Samy Vellu sekali lagi memihak kepada Palanivel yang bukan sahaja mengalahkan Subramaniam tetapi S. Sothinathan.

Palanivel memperoleh 629 undi manakala Subra 547 undi dan Sothi 280 undi. Ini bermakna gabungan Subra dan Sothi memperoleh 827 undi. Angka 827 dan 629 ini mempunyai makna tersendiri.

Tidak dinafikan ada yang berkata, kedudukan Palanivel tidak sekukuh Subra sebelum ini. Beliau yang menjadi anggota Parlimen selama empat penggal sebelum kecundang pada PRU lalu dilihat masih 'baru'.

Maka Subra dilihat calon paling layak untuk menyatukan semula anggota-anggota parti termasuk yang sudah berada di luar MIC. Beliau mampu meredakan keadaan sekurang-kurangnya untuk tempoh sepenggal.

Tetapi kenapa Subra masih mendiamkan diri mengenai masa depan politiknya dalam MIC selepas tewas pada pemilihan tahun lepas? Beliau perlu memberanikan diri untuk menentukan hala tuju politiknya demi masyarakat India yang kini memerlukan khidmat seorang pemimpin yang berpengalaman, berwawasan dan berwajah rakyat 1Malaysia seperti mana perwatakannya di khalayak umum.

Isunya adakah beberapa tindakan Samy Vellu memusuhi orang No. 2 sebelum ini menunjukkan beliau gagal mempersiapkan pelapis yang berbakat dan berkebolehan serta boleh diterima majoriti anggota parti dan masyarakat India?

Justeru Palanivel yang kini menjadi anggota Dewan Negara dan sebagai timbalan menteri perlu mengembalikan keyakinan ahli-ahli parti dan masyarakat India.

Perpaduan dalam parti perlu diberi keutamaan. Mungkin dengan cara itu, beliau dapat memimpin dengan baik menjelang PRU akan datang.

Palanivel perlu menjadi seorang pendengar yang baik, sanggup menerima kritikan, pandangan serta komentar daripada pelbagai pihak termasuk di kalangan rakan-rakan dalam parti komponen BN.

Apa pun pandangan yang diberi terhadap Palanivel, orang No.2 yang bakal memangku jawatan No.1 itu tahun depan perlu diberi masa yang cukup untuk menyusun strateginya dalam menghadapi PRU.

Mungkin ada yang sudah mula gusar dengan keupayaan Palanivel lebih-lebih lagi apabila beliau hanya berjawatan timbalan menteri sementara Naib Presiden, Dr. S. Subramaniam pula sebagai menteri Kabinet. Sudah ada cakap-cakap yang kononnya Palanivel akan dicabar pada 2012 oleh Dr. Subramaniam atau mungkin juga Sothi. Subra pula bagaimana?

Adakah kedudukan menteri mampu memberi kelebihan? Tanpa Samy Vellu, mampukah Palanivel bertahan? Mungkinkah keadaan ini juga mendorong Pemuda MIC memohon supaya satu lagi jawatan menteri penuh diberikan kepada parti itu khususnya kepada Palanivel?

Tetapi Palanivel sering berkata, ahli-ahli menilai khidmat yang diberikan. Dalam buku Perjalanan ke Dunia Politik tulisan Chamil Wariya, Palanivel berkata: ''Dedikasi kerja dan sejarah perkhidmatan saya merupakan bukti terbaik buat nilaian semua''.

Jika jawatan yang menjadi kerisauan, pemilihan MIC perlu ditangguhkan sehingga selepas PRU Ke-13. Lain keadaannya jika ahli-ahli parti di setiap peringkat 'menerima' Palanivel sebagai pemimpin No.1. Tidak ada gunanya berjawatan dalam kerajaan tetapi kecundang dalam PRU. Biar menang dahulu dalam PRU.

Dan yang penting sama ada seseorang itu berjawatan atau tidak jangan sesekali memaparkan keangkuhan. Ingat pesanan Najib pada perhimpunan agung parti itu sebelum ini. Katanya: ''Rakyat benci jika anda angkuh...rakyat benci kalau kita salah guna kuasa, rakyat benci kalau kita tunjuk-tunjuk kekayaan kita..rakyat akan sayang kepada kita kalau kita jadi pembela rakyat yang sebenarnya."

Kepada Samy Vellu, terima kasih atas sumbangan yang diberi dan diucapkan selamat bersara. Kepada Palanivel, selamat berjuang...perjalanan ke kerusi Presiden masih sukar!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:00
Zohor 1:22
Asar 4:25
Maghrib 7:25
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.