saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 10/10/2010

Dari Rusia ke Malaysia


DENGAN Rusydi mahasiswa UM.


Pada tahun 1970, persis 40 tahun lepas, saya dalam rombongan pertama pelajar Rusia untuk julung-julung kali tinggal di Malaysia sebagai penuntut Universiti Malaya. Ini menjadi mungkin kerana berkat usaha Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein, hubungan diplomatik ditubuhkan pada 1967 dan perjanjian pertukaran mahasiswa ditandatangani. Semenjak itu banyak peristiwa berlaku dan akhirnya saya datang ke Malaysia lagi sebagai pensyarah Fakulti Bahasa dan Linguistik. Maka kenangan manis 40 tahun lalu hidup semula.

Kapal terbang mula mendarat. Jantung berdebar kencang. Inikah Malaysia? Tertanya-tanya kami di dalam hati. Nak mencubit diri supaya yakin bahawa ini bukan mimpi.

Bayangkan sahaja, sebelum ini kamu hanya mengenali Malaysia daripada cerita J. Conrad, S. Maugham, Usman Awang, Kris Mas, catatan beberapa orang pengembara serta lagu seorang penyanyi Rusia, Vertinsky yang lama tinggal di Singapura. Satu dua minit lagi kami akan menyaksikan segala-galanya dengan mata kepala sendiri. Dan selepas melangkahi anak tangga terakhir kapal terbang itu kami menginjakkan kaki di bumi Malaysia.

Tiba-tiba kami dikelilingi oleh para wartawan. Dengan mengetik kamera dan menulis sesuatu dalam buku catatan mereka mengepungi kami dan menghujani kami dengan pelbagai soalan. Siapa kami? Di mana kami belajar? Apa nak buat di Malaysia? Dari mana tahu bahasa Melayu? Temu bual menjadi rancak dan bersahaja. Kami berasa selesa berada di tengah-tengah orang Malaysia yang tidak lokek dengan senyuman dan baik hati.

Keesokan harinya Malaysia dikejutkan dengan kedatangan kami. Tajuk akhbar-akhbar setempat menjolok mata: ''Dari belakang tirai besi untuk menuntut ilmu'', ''Wah, alangkah fasihnya bahasa Melayu mereka'', '''Mahasiswa pertama dari Rusia''.

Kehidupan di Universiti Malaya begitu rancak dan menarik. Kemunculan kami mendapat perhatian. Dalam masa rehat antara kuliah, para mahasiswa mendekati kami berkenalan dengan begitu bersahaja, memulakan percakapan yang sering berubah menjadi perdebatan. Kami saling bertukar-tukar pendapat mengenai beberapa masalah antarabangsa.

Penuntut yang mempelajari bahasa Rusia amat berminat untuk mendalami pengetahuan tentang Rusia. Atas daya usaha mereka diadakan Malam Bahasa Rusia. Pada malam itu kami bercakap dengan mereka dalam bahasa Rusia, membacakan sajak penyair Rusia serta menari bersama-sama dan menyanyikan lagu Katyusya dan Malam dekan Moscow. Perhatian terhadap kehidupan di negeri kami sedemikian besar sehingga atas permintaan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Mala (PBMUM) kami mengadakan forum Rusia hari Ini. Dewan kuliah A yang boleh memuatkan 300 orang penuh sesak. Dalam forum itu hadir penyair terkenal Usman Awang dan Abd. Latif Mohidin. Kami menceritakan tentang tatanegara Rusia, masalah perkauman, kehidupan orang Islam, sistem pendidikan, bahkan berdebat dengan Anwar Ibrahim (waktu itu juga mahasiswa UM) yang mendakwa bahawa penganut agama Islam d Rusia tertindas.

Saya ikut serta dalam rombongan tarian Melayu dan bahkan pernah terlibat dalam persembahan kesenian di Dewan Tuanku Canselor (DTC) pada malam amal siswa. Naib Canselor ketika itu Ungku Aziz menyaksikan persembahan itu dan menepuk kuat.

Kampung

Semasa cuti panjang, kami menyertai pasukan perkhidmatan mahasiswa UM ke kampung Tanjung Pahang Tua. Kumpulan kami yang terdiri daripada 10 orang benar-benar bersifat antarabangsa: lima Melayu, dua China, seorang India dan dua orang Rusia. Dengan cara ini kami dapat mengenali budaya hidup di kampung di samping meningkatkan lagi kemahiran berbahasa Melayu. Kampung Pahang Tua baru mengalami banjir. Tanaman padi dan haiwan ternakan musnah. Penduduk kampung terpaksa memulakan segala-galanya semula.

Saya tidak akan melupakan perkenalan pertama dengan sawah. Di sinilah kami mencangkul tanah untuk membuat parit. Selepas duduk di kampung selama sebulan dan menyaksikan kerja petani Melayu, kami amat menghormati mereka. Kami juga sering dijemput menyambut perayaan keluarga, upacara perkahwinan atau pun berkhatan. Di sinilah kami dapat melihat adat istiadat Melayu dengan lebih dekat lagi.

Semasa tinggal bersama keluarga angkat, kami diberi nama Melayu. Rakan saya Tatiana Dorofeeva diberi nama Azizah, dan saya dipanggil Abdullah. Alangkah simboliknya. Orang yang dilahirkan beribu-ribu batu jauhnya, di negara seberang lautan, tiba-tiba berjumpa, berkenalan dan saling menganggap satu sama lain sebagai saudara.

Apabila bermula cuti sekolah kamu mengelolakan kelas bimbingan untuk pelajar tempatan. Bayangkan terkejutnya seorang jurukamera RTM yang datang ke kampung Pahang Tua, melihat seorang gadis Rusia berbaju kurung mengajar bahasa Inggeris di bawah pokok mangga yang rendang. Semangat belajar di kalangan siswa ini begitu besar. Mereka dahaga akan ilmu pengetahuan.

Setelah sebulan kami terpaksa pulang. Berat hendak berpisah dengan orang kampung yang menjadi sahabat baik kami. Ramai daripada mereka tidak memendamkan rasa sedih dan menangi apabila bas kecil kami meninggalkan kampung. Terima kasih banyak, sahabat kami di Pahang Tua, anda selalu hidup dalam ingatan kami.

Pada dinding bilik saya di Moscow tergantung potret lelaki berbaju Melayu tersenyum memandang saya. ''Siapa dia itu? Mengapa potretnya ada di sini?'' sahabat saya bertanya. ''Fasal....'' dan untuk ke sekian kalinya saya mengisahkan kenangan tinggal di Malaysia.

Di UM kami berkenalan dengan Khazin. Pada hari raya aidilfitri dia menjemput saya menziarahi rumahnya dekat Klang. Ayahnya guru agama Islam. Hingga larut malam kami berbual. Saya mengisahkan tanah air saya, jabanah Moscow, kitab al-Quran, seorang khalifah Arab yang dulu dirampas oleh kerajaan Tsar daripada kaum Muslim Tsar daripada kaum Muslim Tashkent dan dikembalikan kepada mereka selanjutnya dengan dekri khusus kerajaan.

Kita berpisah sebagai sahabat baik. Saya ingin membalas budinya dengan menghadiahinya sesuatu yang akan selalu membuatnya mengingati pertemuan kami. Saya menulis surat kepada sahabat saya di Tashkent supaya mengirimkan kepada saya senaskhah kitab al-Quran yang cantik.

Sekali saya ke rumah kecil tidak jauh dari Klang itu. Adik beradik Khazin menyongsong hendak menemui saya. Ayahnya menyambut kedatangan saya, mempersilakan saya duduk di atas tikar. Saya menghulurkan al-Quran itu kepadanya, Dia mengambil air sembahyang, mencium huruf emas yang suci di kulit kitab itu, dan dengan berhati-hati membukanya. ''Al-Quran, al-Quran dari Rusia'' - bisiknya terima kasih banyak-banyak. Selepas itu dia mengambil potretnya yang tergantung pada dinding rumahnya dan menghulurkan kepada saya, ambillah ini, sahabat rusia untuk kenang- kenangan'' ujarnya. Itulah potretnya yang amat berharga bagi saya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zuhur 1:03
Asar 4:25
Maghrib 7:00
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.