saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 11/10/2010

Di sebalik IPT di Pondok Upeh, penolakan UiTM di Serendah

LEGA. Pesta makan selama dua bulan sudah berakhir. Kenapa dua bulan? Jawabnya Ramadan dan Syawal. Walaupun puasa pada siang hari tetapi lihatlah keghairahan orang membeli juadah di bazar Ramadan. Jumlah makanan yang masuk ke dalam perut mungkin berlebihan pada bulan Ramadan.

Begitu juga sepanjang Syawal yang berakhir Jumaat lalu. Terlalu banyak rumah terbuka. Kelmarin dan semalam, masih banyak majlis rumah terbuka walaupun Syawal sudah melabuhkan tirainya.

Kalau tidak dinamakan jamuan hari raya, ada yang menamakannya jamuan 1Malaysia. Rumah terbuka terakhir yang sempat penulis hadir pada Jumaat lalu ialah di Hospital Kajang dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). Macam-macam makanan ada termasuk kambing panggang yang pada musim hari raya ini begitu popular.

Dan sempena musim haji pula, ramai yang mengadakan kenduri doa selamat. Kelmarin, Sabtu, penulis sempat menghadiri majlis yang sama di rumah Abang Azmi di kawasan kejiranan Princeton, Bandar Seri Putra, Bangi. Beliau serta isteri akan berangkat ke tanah suci pada 22 Oktober ini. Semoga Azmi, isteri serta jemaah haji lain dari seluruh negara dikurniakan kesihatan yang baik untuk menyempurnakan ibadah haji. Semoga mendapat haji mabrur.

Selepas ini, kita sambut Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban. Sekali lagi, banyaklah kambing dan lembu dikorbankan. Kemudian disusuli pula kenduri kahwin. Maka 'rumah terbuka' berterusan.

Berbalik kepada isu minggu ini, antara yang menarik perhatian ialah cadangan pembinaan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Pulau Pinang yang dikatakan untuk kaum Cina. Sejauh mana kebenarannya belum dapat dipastikan.

Isu ini mula dicetuskan oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung pada bulan Mac lalu. Presidennya Jais Abd. Karim menegaskan tindakan itu sebagai tidak wajar. Beliau difahamkan IPT itu akan dibina di kawasan seluas kira-kira 40 hektar berdekatan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau.

Sehari selepas itu, Menteri Pengajian Tinggi, Mohamed Khaled Nordin ketika ditanya isu itu berkata, tiada permohonan diterima.

Baru-baru ini, isu tersebut muncul semula. Timbalan Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Syed Ameruddin Syed Ahmad mendakwa, bagi tujuan itu, kerajaan negeri mewartakan tanah seluas 81 hektar di kawasan Pondok Upeh dan Kampung Genting.

Bukanlah niat beliau mahu membantah usaha kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng (KMLGE) tetapi baginya kawasan tersebut dianggap tidak sesuai. Baginya lebih baik jika dibangunkan di kawasan Bukit Jambul atau Bayan Baru.

Beliau bimbang cadangan itu akan memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan penduduk tempatan terutama yang tinggal di perkampungan Melayu.

Difahamkan, tanah yang terlibat adalah kebun durian. Selain buah pala, Balik Pulau memang terkenal dengan durian. Penulis tidak bertujuan mengulas lanjut mengenai durian Balik Pulau. Tetapi cadangan membina IPT di situ sedikit sebanyak 'mengganggu' suasana kawasan sekitarnya. Membina IPT bukannya melibatkan satu kawasan kecil tetapi besar.

Walaupun ada pihak yang mencari alasan untuk menghalang pembangunan dalam pendidikan (termasuk membina IPT), tetapi sewajarnya, kita tidak boleh terlalu mudah berbuat demikian.

Bantahan perlu ada asasnya. Sama ada yang merancang atau membantah jangan dilihat mempunyai unsur-unsur bermotifkan politik.

Maka penulis setuju ucapan 'tahniah' penulis blog Taiping Mali kepada kerajaan negeri Pulau Pinang atas usaha menubuhkan IPT itu. KMLGE berhak menerima ucapan ini.

Taiping Mali berkata, dengan terbinanya IPT berkenaan, ia akan memberi impak kepada kawasan sekitarnya dan lebih banyak penerokaan tanah baru untuk penempatan mewah ala 'country homes'. Dengan kata lain penduduk asal akan dipindahkan untuk memberi laluan kepada pembangunan.

Taiping Mali berkongsi kebimbangan dengan UMNO Bahagian Balik Pulau. Penulis juga bimbang. Entah apalah pula nasib Melayu Balik Pulau selepas ini.

Jika IPT ini menjadi kenyataan, KMLGE boleh berbangga kerana dalam tempoh yang singkat memerintah sudah mampu membina IPT. Jelaslah KMLGE memberi perhatian terhadap isu pendidikan. Tentunya beliau melihat kehadiran IPTS dan IPTA di Pulau Pinang belum mencukupi.

Bagaimanapun kita tidak dapat rasai perkiraan sebenar yang diambil oleh KMLGE dalam isu ini. Diharapkan ia mempunyai matlamat untuk memberi peluang pendidikan kepada semua bukan sahaja di kalangan anak-anak Cina tetapi Melayu dan India. Bukannya mempunyai matlamat atau sesuatu yang boleh dianggap ada udang di sebalik batu. Pada masa yang sama, isu alam sekitar juga diharap dapat diberi perhatian dalam meluluskan projek berkenaan.

Mungkin KMLGE boleh mendapatkan nasihat daripada rakannya di Selangor yang menolak 'mentah-mentah' pembinaan IPTA.

Sebelum ini, kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) dicadangkan dibina di atas tanah Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) tetapi ditolak oleh kerajaan negeri Selangor pimpinan Menteri Besar Khalid Ibrahim (MBKI).

Selak telah menyentuh secara ringkas isu ini pada 19 Julai lalu di bawah tajuk Dirasuk macam-macam mambang, adakah ia satu co..ba..an?

Penulis begitu terharu dengan gambaran pelukis mengenai kampus UiTM di Serendah, Hulu Selangor. Projek itu pada mulanya bakal dibangunkan oleh YBK. Memang menarik pelan pembangunan yang dirancang di kawasan 'hutan hijau' yang mengalir tenang air sungai. Mengikut perancangan, suasana alam sekitar tetap terpelihara malahan ada laluan air untuk ke kampus. Khabarnya, kampus yang begitu damai dan indah itu bakal menempatkan 5,000 pelajar - tentunya anak-anak Melayu.

Malangnya projek itu seperti kata Perdana Menteri, Najib Tun Razak ditolak mentah-mentah oleh kerajaan negeri. Apakah penolakan itu satu sumbangan besar MBKI dalam bidang pendidikan selepas memerintah Selangor? Apa pun terdapat perbezaan antara dua kerajaan negeri pimpinan pembangkang, satu diterajui DAP dan satu PKR. Apakah tujuan sebenar di sebalik menerima dan menolak pembinaan kampus IPT/IPTA itu?

Tidak pasti di mana silapnya. Jika KMLGE dikatakan bersedia meluluskan projek IPT kenapa MBKI tidak mampu berbuat demikian? Di mana silapnya pemikiran kerajaan pimpinan DAP-PKR dan PKR-DAP ini?

Di Pulau Pinang DAP mengetuai kerajaan negeri dengan 19 kerusi sementara PKR sembilan. Di Selangor, PKR 14, DAP 13. Apakah ada muslihat di sebalik keputusan membatalkan pembinaan kampus UiTM di Serendah itu? Jika ada, siapakah dalangnya? Adakah kerana namanya UiTM, maka projek itu terpaksa dibatalkan?

Apapun jika benar IPT baru akan muncul di Balik Pulau, 'tahniah' kepada KMLGE kerana mahu menambah peluang pendidikan kepada rakyat. Tetapi ucapan apa pula kepada Selangor pimpinan MBKI? Wajarkah tahniah diucapkan kerana berjaya menolak pembinaan sebuah universiti untuk anak-anak Melayu? Tepuk dada tanya akal. Semoga catatan ini tidak dianggap rasis!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:20
Asar 4:34
Maghrib 7:25
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.