saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 14/10/2010

Nasionalkan akhbar Melayu


Zainuddin Maidin (kiri) Prof. Dr Ahmad Murad Merican (tengah) dan Tan Sri Dr. Nordin Kardi (kanan), Ahli Panel Forum Media Survival Akhbar Melayu di UiTM, Shah Alam, baru-baru ini.


FORUM Survival Akhbar Melayu yang berlangsung di UiTM, Shah Alam hujung minggu lalu dibuka dengan fakta-fakta yang bertentangan dengan apa yang boleh dijangkakan daripada forum itu. Dalam perkiraan kebanyakan yang hadir pada forum yang dibarisi oleh ahli panel berpengaruh dalam bidang media itu, apa yang bakal ditemukan mereka ialah bagaimana akhbar Melayu secara perlahan-lahan akan ditinggalkan oleh pembaca.

Tidak kurang juga yang mahukan kepastian apakah bentuk media baru yang mampu menggantikan akhbar Melayu. Persepsi sebegini bukanlah sesuatu yang keterlaluan kerana sejak globalisasi mengisi hampir setiap ruang kehidupan manusia, akhbar bercetak sudah menjadi medium berita yang ketinggalan zaman.

Pencarian berita dan maklumat ketika ini juga lebih pantas, mudah dan murah menerusi carian menggunakan medium Internet. Maka, akhbar dikatakan tidak lagi relevan dalam kehidupan serba canggih dan moden alaf baru ini.

Hakikat itu pula disokong oleh penurunan berkala akhbar-akhbar berpengaruh secara global. Akhbar-akhbar seperti The Washington Post, New York Times, Chicago Tribune dan Los Angeles Times misalnya, mengalami penurunan edaran yang dianggap terburuk dalam masa 40 tahun.

Di Malaysia, selain akhbar Sin Chew dan Kosmo, akhbar-akhbar lain turut mengalami kejatuhan jualan. Dengan fakta itu, ramai yang tidak ragu-ragu membuat kesimpulan akhbar di negara ini, baik yang diterbitkan dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil tidak mempunyai masa depan yang cerah.

Tetapi dalam seminar setengah hari itu, audien seramai kira-kira 100 orang diyakinkan bahawa akhbar Melayu tidak mungkin akan berkubur. Malah, ia akan bertahan untuk satu tempoh yang panjang, seperti mana ia mampu bertahan sehingga ke hari ini selepas lebih 100 tahun sejak akhbar Melayu pertama diterbitkan.

Keyakinan itu diiringi dengan beberapa fakta dan hujah konkrit seperti yang dibentangkan oleh ahli panel pada forum tersebut. Mereka ialah Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Seri Azman Ujang; Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya dan Pengarah Urusan Utusan Media Sales Sdn. Bhd., Adi Satria Ahmad.

Turut menjadi ahli panel ialah bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr. Nordin Kardi dan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Petronas (UTP), Prof. Dr. Ahmad Murad Merican.

Antara intipati yang sempat dikutip ialah jumlah pembaca akhbar berbahasa Melayu sejak lima tahun kebelakangan ini meningkat lebih sejuta orang. Daripada hanya seramai 3.4 juta orang pembaca pada 2005/2006, jumlah itu menjadi 4.6 juta orang pembaca ketika ini. Nasib berbeza sebaliknya berlaku kepada akhbar berbahasa Inggeris.

Ketika kebanyakan daripada kita, terutamanya khalayak pembaca kelas pertengahan yang lebih selesa memilih akhbar Inggeris, akhbar itu bagaimanapun kehilangan pembaca sebanyak 18 peratus sepanjang tempoh sama. Akhbar berbahasa Inggeris ketika ini hanya dibaca oleh 1.1 juta orang berbanding 1.3 juta orang pada 2005.

Begitu pun di sebalik penurunan jumlah pembaca, akhbar berbahasa Inggeris masih menguasai pasaran iklan akhbar misalnya sebanyak RM1.1 bilion pada tahun lalu. Nilai itu bersamaan dengan 43.7 peratus daripada keseluruhan iklan akhbar berjumlah RM3.5 bilion bagi tahun yang sama.

Sebaliknya, akhbar Melayu yang khalayak pembacanya lebih luas hanya mampu menarik iklan berjumlah RM662 juta. Jumlah itu juga lebih rendah berbanding iklan yang diperoleh akhbar Cina iaitu sebanyak RM759 juta.

Ini bermaksud, meskipun jumlah pembacanya meningkat, tetapi pengiklan tidak berasa yakin untuk mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka menerusi akhbar Melayu.

Walhal, kajian juga menunjukkan iklan-iklan di akhbar Melayu sebenarnya lebih berjaya mempengaruhi dan menarik pembaca untuk membeli sesuatu produk atau perkhidmatan. Isunya di sini mungkin kuasa membeli orang Melayu itu tidaklah sebesar kaum-kaum lain.

Justeru, iklan-iklan mewah lebih banyak tertumpu kepada akhbar Inggeris yang dibaca oleh masyarakat kelas tinggi. Namun itu hanyalah persepsi kerana realitinya orang Melayu juga semakin ramai mengisi kelompok kelas masyarakat pertengahan dan tinggi.

Kalangan profesional dan khalayak ekonomi kaum Melayu juga semakin bertambah saban tahun. Mereka merupakan kelompok yang boleh dijadikan sasaran bagi iklan mewah. Faktor lain ialah sektor pengiklanan media dimonopoli oleh agensi antarabangsa yang 95 peratus kakitangannya adalah bukan Melayu.

Agensi ini tidak mengenali dengan dekat akhbar Melayu atau mungkin diasuh dengan doktrin yang silap mengenai ideologi akhbar Melayu. Maka, iklan-iklan bertaraf mega yang banyak dipegang oleh agensi media antarabangsa ini sangat sukar untuk direbut oleh akhbar Melayu.

Sesuatu perlu dilakukan dalam merubah persepsi ini kerana meski pun ramai yang melihat kelangsungan akhbar Melayu bergantung kepada ideologi dan perjuangan yang dibawa, namun pada akhirnya yang menentukan survival sesebuah akhbar itu ialah pendapatan iklan. Barangkali perlu dilahirkan lebih ramai usahawan pengiklan Melayu untuk menembusi tembok monopoli tersebut.

Kita juga perlu realistik bahawa akhbar baik yang berbahasa Melayu, Cina, Tamil mahu pun Inggeris adalah produk yang diperdagangkan. Ini bermaksud ia tetap dipengaruhi oleh pasaran terutamanya kuasa pembeli. Tanpa pembeli, akhbar akan mati.

Justeru, survival akhbar Melayu di sini ialah bagaimana untuk menarik pembeli. Trend jualan akhbar ketika ini menunjukkan akhbar-akhbar ringan lebih mendapat perhatian. Akhbar Harian Metro, Kosmo! dan Sinar Harian lebih berjaya di pasaran berbanding akhbar perdana seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Faktor paling popular kerana akhbar itu tidak terlalu serius selain tidak begitu dipengaruhi oleh faktor politik. Laporannya lebih berbentuk infotainment, picisan, santai dan bersahaja. Begitu pun dalam penerbitan akhbar, apa yang paling utama ialah idea-idea besar mengenai negara bangsa.

Elemen itu tidak boleh dikompromi. Jika tidak, tamadun negara akan hancur. Sedangkan idea-idea besar itu tidak begitu ketara dalam akhbar-akhbar ringan. Maka, akhbar arus perdana perlu mengekalkan identiti dan mencari pasaran tersendiri dalam mengenengahkan idea-idea besar itu.

Bagi akhbar-akhbar yang lebih ringan pula, cabarannya ialah bagaimana untuk menyampaikan mesej negara dengan pendekatan akhbar mereka yang santai dan bersahaja.

Memang pada akhirnya jatuh bangun akhbar itu bergantung kepada iklan dan pembeli. Namun soal nilai dan identiti juga perlu diberi perhatian kerana ia mampu menggerakkan kesedaran di kalangan pembaca.

Ada seperkara yang besar pada perkiraan penulis yang wajar direnungkan oleh orang Melayu terutama di kalangan penggiat media yang dibangkitkan oleh Zainuddin pada seminar itu. Kata beliau, selaku akhbar yang menggunakan bahasa kebangsaan, akhbar Melayu seharusnya menjadi akhbar nasional dengan peranan memupuk semangat perpaduan.

Tetapi itu tidak berlaku kerana kedudukan akhbar Melayu ketika ini sama sahaja seperti akhbar berbahasa Cina dan Tamil iaitu akhbar untuk kaum tertentu. Buktinya, akhbar Melayu hanya dibaca oleh 11 peratus kaum Cina manakala sembilan peratus pula dari kalangan masyarakat India dan lain-lain bangsa.

Berbeza dengan akhbar bahasa Inggeris, 26 peratus pembaca akhbar itu terdiri daripada kaum Melayu, 50 peratus orang Cina dan 24 peratus kaum India serta lain-lain bangsa. Ini bermakna, akhbar bahasa Inggeris telah mengambil alih peranan sebagai akhbar yang menyatukan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Dalam hal ini, kalangan penggiat akhbar Melayu perlu mencari pendekatan bagaimana untuk mengnasionalkan akhbar Melayu dan tidak terikat dengan sentimen etnosentrik. Ini juga bagi membolehkan akhbar Melayu turut diterima oleh pembaca bukan Melayu, iaitu satu skop pasaran yang tidak wujud ketika ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:08
Asar 4:15
Maghrib 7:10
Isyak 8:19



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.