saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 17/10/2010

Lupakan sengketa antara kita

RUMAH teres dua setengah tingkat bergaya Inggeris itu, sunyi sepi. Barangkali, bagaimana sepi hati penghuninya, demikianlah juga kesunyian kawasan perumahan eksklusif yang terletak di Damansara ini.

Saya bersama dua teman hadir untuk mendengar dan berkongsi rasa sedih, suka dan barangkali juga bahagia mereka.

Hanya si isteri ada di rumah. Selepas pesanan Pizza sampai, saya dan teman-teman menjamu hidangan dengan berselera tetapi tuan rumah hanya memandang dari dekat.

Sesekali air matanya bergenang cuba disembunyi. Disuruh makan, enggan. Disuruh minum juga enggan.

Hmm, patutlah, badan yang sudah sedia kurus makin melidi, sudah beberapa hari tidak mahu menjamah sebarang makanan rupanya.

“Beginilah Rita sejak beberapa minggu lalu. Risau saya melihat keadaan dia,” jelas seorang kawan baik, Syidah, yang juga menjadi peneman Rita kala suami tiada di rumah.

Kami berkunjung ke rumah Rita Rudaini pada petang Rabu yang rembang. Sengaja mencari peluang untuk mendengar sendiri keluhan perasaan setelah sekian lama hanya membaca pelbagai cerita kurang manis di dada akhbar.

Bermula dengan komen seorang kakak iparnya di dalam MStar pada Aidilfitri lalu yang mendedahkan suami Rita, Aidil Zafuan memilih berhari raya dengan keluarga bukan dengan anak dan isteri sebagaimana sepatutnya bagai lelaki yang telah bernikah. Disinilah, pekung rumah tangga Rita terkuak dan terus terkuak.

Dan Rita yang selama ini banyak berdiam, tidak mampu lagi untuk menahan perasaan sendirian, lebih-lebih lagi apabila berasa diri kena aib dengan fitnah terbaru, oleh seseorang dalam bidang seni.

Rita tampil ke media dan apa yang ditekankan sebenarnya bukan kes pergolakan rumah tangganya, tetapi masalah timbul apabila Rita berasa dirinya difitnah.

Individu yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah itu memberitahu banyak orang, dia menerima maklumat daripada keluarga Aidil sendiri. Bertambahlah api amarah.

Fitnah itu disampaikan ke telinga Rita sendiri oleh krew penggambaran drama dan orang media yang mengaku, mendengar sendiri dari mulut si pelakon dalam satu majlis sekitar Ramadan lalu.

Nah, inilah pemangkin yang membuatkan Rita tampil ke depan dan mengakui, selepas dua tahun bernikah secara rahsia di Songkla, Thailand dan mendapat seorang zuriat, Airit Rayyan Rizki, hidupnya sering berendam air mata angkara pihak ketiga.

Meskipun sedang hamil anak kedua, Rita mendakwa dia terus menderita kerana sehingga ke detik ini dia berasa, kehadirannya tidak pernah diterima dengan baik oleh keluarga mentua.

Malah, kata-kata kejian dan hinaan melalui SMS dan cerita orang keliling menjadikan luka terus merebak, nanah berbisa pecah dan mengeluarkan hanyir membusuk.

Sebab itu, kalau tanya kepada Rita kenapa semuanya jadi semakin teruk dan hubungan dengan keluarga mentua tidak pernah pulih, semuanya adalah kerana dia belum dapat lupa akan kata-kata nista yang selama ini dituju kepadanya. Sebab itu, untuk melupakan segala-galanya bukan mudah.

“Saya kena ambil masa dan sesiapa pun tak boleh paksa saya kerana hanya saya yang menanggung segala tekanan ini. Ditambah dengan sikap keluarga mentua yang terus-terusan mengata, menghina dan memburuk-burukkan saya selama dua tahun ini, macam mana kami hendak berbaik-baik dengan mudah?,” Rita berkata demikian, minggu lalu.

Tapi itu semua cerita sepanjang minggu lalu dan hari ini, ketika anda menatap Pancaindera ini, keadaan sudah agak berbeza.

Sementelah saya bersama beberapa teman menjadi tukang anjur tak rasmi ‘sidang akhbar pengumuman pernikahan’ mereka dua tahun lalu, apabila ada masalah antara Rita dan Aidil, kami berasa cukup dekat.

Kami sama-sama bermusyawarah dan berdiskusi untuk mencari apa sebenarnya punca segala masalah sehingga sesama mereka berantakan, berminggu-minggu tidak bertegur sapa dan saling berbalah di akhbar.

Aidil begitu, Aidil begini, Rita tak bagus, Rita teruk, Rita menantu tak hormat orang tua, macam-macam.

Satu jam kemudian selepas kami hadir ke rumah kelamin mereka, Aidil pulang dengan senyuman kelat, tetapi masih cuba untuk membuat hati kami ceria. Dia meminta diberi masa naik ke bilik dan mandi terlebih dahulu, sebelum turun semula 15 minit kemudian.

Okey, kalian ceritakan. Apa yang tak puas hati? Apa masalah dengan isteri, apa amarah tentang suami, itu dan ini. Luahkanlah dan dalam sesi hampir dua jam itu, mereka saling meluahkan bersaksikan kami bertiga beserta Syidah yang cukup memahami. Usaha kami menjadi, selepas dua jam sesi ‘bertikam lidah’ Rita dan Aidil sama-sama mengalah. Meskipun pada awalnya keadaan bagai tidak boleh dikawal, diiring tangisan panjang, dihujung sesi kaunseling oleh ‘pakar tidak bertauliah’ ini, menunjukkan hasil yang baik.

Pun intipati luahan rasa itu bukan boleh didedahkan di sini, sebaliknya setelah keadaan mereda, saya temu bual mereka semula. Saya nyatakan ini untuk keluaran akhbar, jadi bicaranya tidak boleh dengan perasaan, tetapi dengan akal fikiran supaya tidak disalah-faham.

Permintaan Rita buat mentua

Satu Malaysia sudah tahu, bahawa selama ini hubungan Rita dengan keluarga mentua tidak pernah elok. Apa sebenarnya?

Menyentuh tentang kemelut hubungannya dengan keluarga mentua, janji Rita dia akan terus berusaha untuk ke arah positif.

Bukan mahu menjadi keras kepala atau berhati batu, tetapi sebagai manusia, pertimbangan akal kendiri lebih menjadi pilihan.

“Akan sampai masanya saya berbaik-baik dengan keluarga mentua. Tetapi saya pohon, berilah saya masa. Saya bukan robot yang boleh dipaksa, atau diarah-arahkan, hanya manusia biasa. Biarlah perhubungan dengan keluarga mentua berlandaskan rasa ikhlas.

“Selepas saya berasakan mereka dapat menerima saya dengan ikhlas suatu hari nanti, nah di situlah pertemuan itu bakal berlaku.

“Terlalu banyak penderitaan yang saya lalui sendirian selama dua tahun berkahwin. Bukan mudah untuk saya lupakan segala-galanya, sebab itu saya perlukan masa.

“Kalau selama dua tahun ini tidak ada kata-kata mengguris perasaan, tidak ada kata-kata kesat, sekarang juga mungkin saya sudah dapat bersama-sama dengan mereka.

“Tetapi oleh kerana saya manusia biasa, saya tidak boleh berbohong. Saya tidak boleh tipu diri sendiri dengan berbuat baik, sedangkan jauh di sudut hati saya, kesedihan belum kering. Saya pohon, berilah saya masa, itu saja.

“Bila masa itu sampai, saya sendiri akan ke rumah emak dan abah kerana saya tahu jauh di sudut hati mereka, saya percaya mereka juga mahu melihat rumah tangga Aidil bahagia kerana Aidil anak yang baik.

“Aidil tidak pernah membelakangkan keluarga dalam apa juga perkara selepas kami bernikah. Memang kesilapan kami kerana bernikah tanpa pengetahuan mereka, tetapi itu cara terbaik supaya kami tak buat benda tak elok. Dan sekarang kami sudah punya anak dan tahun depan, seorang lagi akan lahir,” katanya lagi.

Menurut Rita, sepanjang menjadi isteri Aidil, dia sering berharap agar diberi peluang menjalani kehidupan sama seperti wanita lain yang berkeluarga, diulit bahagia dengan harmonis bersama suami, anak dan keluarga mentua.

“Wanita mana yang tak mahu bahagia? Saya faham tujuan bernikah itu adalah untuk merapatkan hubungan dua jiwa, suami isteri dan juga keluarganya.

“Tetapi seperti yang saya cakap semua benda tak boleh dipaksa. Saya sudah jelaskan kepada suami dan nampaknya sekarang Aidil sudah faham. Dia sendiri janji tidak akan mendesak saya lagi kerana segala-galanya akan berubah ke arah kebaikan kalau kita sama-sama ikhlas. Allah akan bukakan jalan untuk kebaikan, saya percaya itu,” katanya.

Mahu pertahankan kandungan.

Hampir berusia tiga bulan, kandungan kedua Rita belum diketahui jantinanya. Pun dia berharap agar impian untuk mendapatkan anak perempuan akan tercapai supaya kehidupan keluarganya lengkap.

“Sudah ada anak lelaki, moga kali ini dapat anak perempuan pula. Saya harap kehadiran anak kedua ini akan membawa lebih banyak rezeki dan cerita yang baik-baik buat kami sekeluarga,” kata Rita.

Meskipun menerima khabar kehamilannya pada ketika rumah tangganya sedang bergoncang, Rita tidak pernah terfikir untuk menolak rezeki yang datang.

Apa juga situasi dirinya, kandungan itu perlu dipertahankan dan dia sedaya mungkin tidak mahu terlalu terjebak dengan masalah demi kesihatan kandungan.

“Sebab itu saya seboleh mungkin tidak mahu terlalu stres. Takut kalau kandungan terjejas. Saya tak kisah dapat anak lagi walaupun usia Rayyan baru setahun lebih.

“Ini rezeki dan saya juga gembira sebab Aidil tak sabar menanti kehadiran anak kedua ini. Saya bersyukur kepada Allah kerana segala-galanya sudah kembali baik dan harap hidup kami tak akan ada masalah besar lagi selepas ini,” doa Rita.

Cinta untuk Rita selamanya - Aidil

Menyuruh Aidil membuka mulut, meluahkan perasaan hatinya, bukan perkara mudah. Berkali-kali dipujuk, bapa muda yang matang ini akhirnya berani membuka mulut.

“Saya tak boleh hidup dalam keadaan macam ini. Saya tak boleh bahagia kalau keadaan isteri dan keluarga saya masih tidak berbaik-baik.

“Saya pening dan banyak berfikir tentang itu. Keadaan inilah yang telah menjejaskan perhatian saya kepada kerjaya dan keluarga sendiri,” adu Aidil.

Lama dia bersandar di sofa, kemudian dengan serius menjelaskan bahawa apa sekalipun keadaan, dia masih menyayangi isteri yang dinikahi itu.

“Kasih sayang saya pada Rita masih sama. Saya sayangkan dia, sayangkan anak. Saya tak mahu anak-anak menjadi mangsa sikap ego, pentingkan diri kami.

“Saya berharap akan sampai masanya Rita dan keluarga boleh saling memaafkan, saling menerima dengan tangan terbuka. Kalau itu berlaku, sayalah manusia yang paling bahagia,” kata Aidil.

Sebagai anak yang baik dalam keluarga besarnya, Aidil tidak mahu dengan sengaja mencalar perasaan ibubapanya. Tidak juga mahu membiarkan isteri terluka. Kedua-duanya sama penting dalam keadaan sekarang dan dia tidak sanggup melepaskan satu di antara dua punca bahagianya.

“Saya dan Rita telah melalui perjalanan yang panjang untuk menjadi suami isteri. Kemelut yang berlaku ini adalah cabaran rumah tangga kami, tetapi tidaklah sampai mahu bercerai berai.

“Saya perlu menjadi orang tengah mendamaikan mereka. Adakalanya saya tersepit di tengah-tengah tetapi saya kena laluinya kerana saya yang memilih pernikahan dengan Rita tanpa restu keluarga pada awalnya.

“Dan saya yakin, akan sampai masanya keluarga akan menerima Rita seadanya, dan Rita akan ikhlas menerima segala baik dan buruk keluarga kami,” kata Aidil lagi.

Menyentuh mengenai kekecohan yang berlaku baru-baru ini, Aidil sedaya mungkin tidak mahu terus membicarakannya.

“Kekecohan yang berlaku selepas Aidilfitri yang lalu, barangkali silap saya juga. Sekarang semua sudah kembali kepada biasa, saya dan Rita sudah okey.

“Apa yang penting cinta kami masih kukuh, tambahan pula kami akan dapat anak lagi. Selepas dapat tahu Rita mengandung lagi, saya semakin sayang dan seolah-olah tidak mahu lagi berpisah dengan dia dan Rayyan. Tak ada sebab untuk saya tinggalkan Rita. Dia isteri saya, ibu kepada anak-anak saya, saya akan terus menyayangi dia sampai bila-bila, ke akhir hayat saya,” kata Aidil.

Nasihat Rita buat di penyebar fitnah

Tidak kira siapa pun dia, di mana sekalipun dia berada, ada mesej yang ingin Rita sampaikan kepada si penyebar fitnah.

Jangan sesekali mencabar dirinya, kerana Rita Rudaini berani untuk berkata benar, bukan berselindung disebalik kelembutan tingkah laku.

“Untuk orang yang menyebar fitnah buruk tentang diri saya, terima kasih sajalah. Tetapi saya percaya Tuhan akan memberi balasan setimpal kepada mereka yang menabur fitnah dan menganiayai orang yang sedang berbadan dua.

“ Nasihat saya pada mereka yang menyebarkan fitnah, cerminlah diri sendiri dulu. Jaga maruah diri dan kaum wanita. Diri sendiri pun ‘busuk’, rasanya satu industri sudah tahu perangainya mengalahkan bangkai, tak payahlah nak berlakon baik macam dalam watak drama.

“ Janganlah sibuk tengok kain orang, pandanglah kain sendiri yang sudah lama reput dan busuk.”

Apa sekalipun keadaannya, semoga perdamaian antara Rita dan Aidil ini tidak hanya untuk sehari dua.

Biarlah kasih sayang dan sikap saling memaafkan kita berterusan sampai ke hujung nyawa kerana diluar sana begitu ramai yang mendoakan bahagia kalian. Mudah-mudahan!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.