saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 18/10/2010

Jalinan kasih dua anak muda




MELIHAT kemesraan dua anak muda ini, pasti ramai yang beranggapan mereka sedang dilamun cinta.

Canda dan tawa mereka begitu jelas terpancar di wajah masing-masing. Lebih-lebih lagi, Akim tidak putus memuji Juliana Evans.

Malah, Akim dengan penuh jujur mengakui sudah lama meminati Juliana dan apabila dapat bergandingan bersama wanita pujaannya itu, ia bagaikan mimpi bertukar realiti.

Juliana juga memiliki perasaan yang sama apabila menyifatkan Akim sebagai seorang jejaka yang cukup menarik perhatian sehingga keserasian itu terhasil dengan sendirinya.

Lantaran itu, Juliana benar-benar menganggap dirinya bertuah apabila dapat berdampingan dengan jejaka pujaan ramai itu.

Namun, jangan pula ada yang pantas membuat spekulasi kerana Akim dan Juliana hanya bercinta di dalam drama mini bersiri Cornetto Inikah Cinta? yang mula ditayangkan sejak 9 Oktober lalu.

Cornetto Inikah Cinta? merupakan sebuah drama mini bersiri yang diangkat daripada lagu ciptaan dan nyanyian Akim sendiri iaitu Inilah Cinta yang merupakan salah sebuah lagu popular sepanjang tahun ini.

Kelangsungan daripada populariti lagu berkenaan telah mendorong pihak Astro dan Wall's untuk menterjemahkan lagu cinta itu ke dalam bentuk drama yang mampu menarik perhatian ramai khususnya golongan remaja.

Juliana mahu terus cari peluang

SAAT ditanya keserasiannya bersama Akim dalam Cornetto Inikah Cinta?, pelakon drama bersiri dan filem Kami ini dengan memberitahu dia tiada masalah bergandingan dengan jejaka kacak itu.

“Kerana itu apabila melakonkan babak cinta dalam drama mini ini, kami tidak mempunyai masalah. Kami dapat menyesuaikan diri. Itu lebih mudah dan saya berasa selesa serta gembira di lokasi.

“Bagi saya, Cornetto Inikah Cinta? bersesuaian dengan jiwa kami dan apa yang saya harapkan, peminat dan penonton akan dapat menyukai drama ini sebagaimana saya dan Akim.

“Cerita ini sangat ringkas dan menarik serta begitu istimewa kerana ia bukan kisah cinta semata-mata. Ia juga menyelitkan erti persahabatan,” ujar Juliana atau nama sebenarnya Juliana Sophie Johari Evans.

Selama empat tahun menjadi anak seni, Juliana masih belum puas dengan kerjayanya dan mahu peluang terus diberikan kepadanya baik dalam bidang lakonan dan pengacara.

Dia sedar ada yang mendakwa dia hanya bersandarkan paras rupa semata-mata untuk menjadi popular sedangkan bakatnya belum teruji sepenuhnya.

“Kerana itu, saya mahu terus berlakon dan menerima pelbagai watak bagi membuktikan bahawa saya sebenarnya serius dengan kerjaya saya sebagai seorang pelakon,” kata Juliana yang juga penuntut di Kolej Sunway, Petaling Jaya dalam jurusan Komunikasi Massa.

Ketika ini, gadis berusia 21 tahun ini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Natrah terbitan KL Motion Pictures.

Begitu juga dengan bidang pengacaraan yang mana Juliana masih lagi mengharapkan peluang terus diberikan kepadanya selepas Era TV ditamatkan siarannya.

“Tawaran baru memang ada tetapi semuanya masih di peringkat perbincangan. Saya suka bidang pengacaraan kerana ia menonjolkan diri saya sendiri dan tidak perlu terlalu terikat dengan skrip,” katanya jujur.

Pada masa yang sama, Juliana enggan kisah peribadinya dijaja seperti mana perhubungannya dengan bekas teman lelakinya, Sam (vokalis kumpulan Bunkface) sebelum ini.

Akim bersyukur dengan rezeki

BAGI Akim, dia sendiri tidak pernah menyangka lagu pertama ciptaannya itu menjadi sebuah lagu hit dan cukup diminati ramai.

Mana tidaknya. Di awal kemunculan lagu tersebut, dia berasa sedikit skeptikal terhadap penerimaan peminat dan masyarakat terhadap lagu tersebut yang mana jalur muziknya jauh berbeza dengan sebuah lagi lagu popularnya, Bengang.

Namun, selepas lagu itu mendapat perhatian di corong radio dan kerap diputarkan, pemuda berusia 20 tahun ini mula berasa semangat apabila peminatnya memberikan maklum balas positif terhadap Inilah Cinta.

“Sebagai seorang yang masih muda dan mentah dalam dunia seni ini, sudah pasti ia adalah sebagai satu penghargaan untuk saya. Tiada lain yang saya harapkan agar drama ini juga mampu mengecapi kejayaan seperti mana lagunya juga.

“Kalau ditanya kepada saya di manakah terletaknya keistimewaan lagu ini, jujurnya, memang tidak ada apa yang istimewanya. Lagu ini sebenarnya sebuah lagu cinta remaja yang menggambarkan tentang perasaan jatuh cinta apabila bertemu dengan seseorang yang disukainya.

“Idea lagu ini pun memang datang secara spontan ketika saya memetik gitar. Daripada situ, saya mencipta melodinya dan lahirlah Inilah Cinta,” ujar pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) ini lagi.

Album

Melihat kepada kerjaya seni Akim, memang tidak dinafikan dia antara bekas pelajar AF7 yang cukup menyerlah sehingga ada kata-kata nakal mengatakan dia telah membayangi populariti juaranya sendiri, Hafiz Suip.

Menjelaskan perkara itu, Akim atau nama sebenarnya, Afiq Hakim Ahmad dengan penuh diplomasi tidak mahu isu perbandingan itu dibangkitkan kerana semuanya adalah soal rezeki.

Apa yang penting, hubungannya dengan Hafiz, Aril dan bekas pelajar AF7 yang lain masih lagi baik.

“Saya benar-benar bersyukur dengan apa yang saya miliki hari ini. Kalau bukan kerana peminat, mana mungkin saya mampu berada di pentas seni. Memang di awal pembabitan saya, ada yang kurang senang dengan kehadiran saya.

“Tetapi saya belajar daripada kesilapan dan memperbaiki segala kelemahan. Saya juga sedar saya bukan masih lagi terbaik dan masih banyak ruang untuk saya terus belajar dalam menjadikan diri saya seorang penyanyi dan komposer yang baik,” katanya bersungguh.

Meskipun dia dilihat kini lebih menyerlah sebagai pelakon selepas membintangi drama bersiri, Kau & Aku serta Saham Neraka, bagi Akim, bidang nyanyian masih lagi menjadi keutamaan.

“Insya-Allah, album saya akan dipasarkan tahun depan. Buat masa ini, tiga lagu sudah saya siapkan dan selepas ini dua single lagi akan menyusul iaitu Janji dan Menunggu.

“Mengenai lakonan pula, ia sekadar mahu mengembangkan lagi bakat saya dan Alhamdulillah, ramai yang mempercayai bakat lakonan saya. Saya tidak menafikan memang ada menerima banyak tawaran tetapi tidak mahu menjadi tamak. Saya lebih selesa menyelesaikan satu per satu,” katanya yang kini sibuk di lokasi penggambaran Kau & Aku musim kedua.

Mengenai gandingannya bersama Juliana dalam Cornetto Inikah Cinta? pula, Akim tidak mempunyai masalah untuk berlakon di samping gadis jelita itu.

Malah, anak jati Johor ini tidak menyangka dia akan digandingkan dengan Juliana yang memang sudah lama diminatinya.

“Memang saya minat kepadanya tetapi kepada personaliti dan bakatnya. Dia memiliki bakat tersendiri dan saya sendiri selesa berlakon bersamanya. Kalau ada tawaran lagi selepas ini untuk berlakon bersama Juliana, saya tidak ada masalah,” ujar Akim yang kini sedang hangat bercinta dengan juara AF6, Stacy.

Percaturan terbaru Astro

SEBAGAI penyiar berbayar terulung negara, Astro mahu terus memberikan santapan hiburan terbaik untuk pelanggan setianya.

Menerusi Cornetto Inikah Cinta? ini, buat pertama kalinya, Astro mengorak langkah dengan menerbitkan drama mini bersiri yang juga buat pertama kalinya mengangkat judul lagu sebagai judulnya.

Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi menjelaskan, memang sudah lama pihaknya mahu menerbitkan program seumpama itu dengan mengadaptasi judul lagu menjadi drama.

Jelas Azlin, melihatkan sambutan luar biasa terhadap lagu Inilah Cinta, Astro tidak teragak-agak untuk memulakan langkah itu dan memang besar harapan Astro agar drama ini mendapat sambutan sama seperti lagunya.

“Meletakkan Akim dan Juliana Evans adalah strategi terbaik kami untuk menarik perhatian penonton menonton drama mini.

“Biarpun ditayangkan dua kali seminggu selama lima minit, kami percaya ia golongan remaja khususnya akan teruja untuk terus menontonya.

“Jika sambutan yang diterima bagus, tidak mustahil untuk kami meneruskan tradisi menggunakan judul lagu ini sebagai sebuah drama,” ujarnya optimis.

Azlin berkata demikian pada pelancaran Cornetto Inikah Cinta? yang diadakan di Restoran Bijou, Mont Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir Pengurus Kanan Jenama Aiskrim Wall's, Unilever Holdings Sdn. Bhd., Chan Meng Yang.

Diterbitkan oleh Red Communications Sdn. Bhd. sebanyak 16 episod, drama mini yang diarahkan oleh Saw Teong Hin itu akan digabungkan menjadi sebuah telemovie sebaik sahaja episod ke-16 berakhir.

Bukan itu sahaja, Cornetto Inikah Cinta? juga dapat ditonton secara dalam talian dengan menggunakan pelbagai alat teknologi masa kini. Keterangan lanjut bolehlah melayari www.facebook.com/iluvcornetto.

Cornetto Inikah Cinta? ditayangkan pada setiap hari Sabtu dan Ahad pukul 8.55 malam di saluran Astro Ria (saluran 104, Astro).

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:40
Zohor 1:13
Asar 4:37
Maghrib 7:21
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.