saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 01/11/2010

Selepas buta sejarah, jangan pula bahasa dibisukan

DULU apabila Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Hishammuddin Tun Hussein mencium Keris Panca Warisan di Perhimpunan Agung UMNO, kecoh satu Malaya. Ada yang ‘takut dan cemas’ dengan aksi itu. Keris yang sudah lama menjadi hiasan dinding, bahan pameran muzium dan diselitkan di pinggang pengantin lelaki dikatakan ‘melukakan’ hati kaum lain. Baru-baru ini sekali lagi di perhimpunan yang sama, timbul lagi cerita ‘cemas, sakit hati dan menakutkan’.

Pertamanya apabila Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin mengumumkan Sejarah sebagai subjek wajib lulus Sijil Pelajaran Malaysia mulai 2013. Alasan yang diberi, perkara itu tidak dibawa ke Kabinet. Agaknya kalaulah Muhyiddin umum bonus dua bulan, cuti perayaan ditambah atau tol percuma seluruh negara, maka tidaklah timbul perkara itu perlu dibawa ke Kabinet. Kalau boleh, sehari selepas pengumuman, kerajaan terus bayar bonus, tambah cuti perayaan dan batalkan tol. Entahlah kenapa digusarkan sangat soal Sejarah itu.

Perkara kedua yang dianggap ‘menakutkan dan menyakitkan hati’ ialah apabila ada pihak kurang senang dengan bahasa ucapan dasar Presiden UMNO, Najib Tun Razak.

Begitulah jadinya apabila setiap gerak geri dan tutur kata UMNO diperhati, diperhalusi dan diteliti. Tujuan mereka hanya satu iaitu akan cuba ‘mencari silap’ dan mencetuskan isu. Mereka sedaya upaya akan cuba memutarbelitkan fakta bagi menakutkan atau mengelirukan orang ramai. Lebih puas jika mereka akan berkata, perhimpunan itu bersifat rasis atau perkauman. Maka tidak hairanlah ada yang ‘sakit hati’ mendengar ucapan dasar Presiden UMNO yang begitu bersemangat baru-baru ini.

Cuba kita selak kembali para-para terakhir ucapan bertajuk Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran itu. Elok diambil empat para terakhir, bukannya yang terakhir sahaja. Berikut petikan ucapan dasar tersebut:

92: Makanya, bolehkah kita percaya kemakmuran Malaysia akan terus terpelihara sekiranya parti-parti lawan yang kelam kabut, bobrok dan goyah memegang tampuk kuasa? Bolehkah rakyat Malaysia meletakkan kepercayaan terhadap mereka ini yang saban waktu dan saban masa hanya mengidam menduduki pusat pemerintahan? Sanggupkah kita menyerahkan Malaysia tercinta ini kepada pengkhianat bangsa dan tanah air?

Sesungguhnya

93. Kepada saudara dan saudarilah nasib parti kita dipertaruhkan. Dalam genggaman saudara dan saudarilah pembelaaan UMNO kita dambakan. Di bahu saudara dan saudari sekalianlah, tergalas warisan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu ini.

94. Ayuh.. Jangankan gerimis, hujan pun mari kita redahi; Jangankan ribut, taufan pun mesti kita harungi; Jangankan air bah, gelombang badai pun harus berani kita renangi; Jangankan gerhana, kelam gelita pun pasti kita terangi

95. Maka, kepada semua saya berpesan, kepada semua saya beri pedoman, janganlah kita terpalit damak beracun sandiwara lawan yang hanya menempah alam kegagalan. Berpasaklah kepada parti UMNO. Bertetaplah kepada panji-panji Barisan Nasional. Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!

Demi Islam, Demi Melayu dan Demi Malaysia. Bersamalah Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Perhimpunan Agung UMNO kali ke-61, tahun 2010. Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Begitulah ucapan penuh semangat bagi menyedarkan ahli-ahli UMNO. Mereka diminta kekal bersama UMNO dan tetap bersatu di bawah naungan BN untuk mempertahankan Putrajaya walau apa pun yang terjadi. Najib tentunya tidak mahu Putrajaya dilelong apabila jatuh kepada mereka yang menentang projek itu. Mungkin Najib juga mahu ahli-ahli UMNO yang menjadi wakil rakyat di Parlimen mempertahankan Putrajaya sebagai kerajaan BN bukannya ‘menjual’ diri jika ‘dibeli’ atau menerima tawaran lumayan untuk ‘melompat’.

Maka adakah ucapan yang sebegitu boleh menakutkan? Ia menakutkan jika diberi tafsiran yang silap. Secara logik akal, siapakah di kalangan kita yang sanggup meredah ribut taufan dan merenangi gelombang?

Sebagai selingan, menyebut soal berenang menghadapi gelombang badai, teringat penulis kata-kata sinis semasa kerajaan mahu membina Jambatan Pulau Pinang. Ada yang kata, mereka sanggup berenang meredah lautan daripada menyokong pembinaan jambatan itu. Sebagai tambahan, ada juga yang kata BN buta perut, mati akal nak bina jambatan, membazir wang rakyat. Lebih baik atur feri dari Pangkalan Sultan Abdul Halim di Seberang Perai ke Pangkalan Raja Tun Uda di sebelah pulau. Susun papan atas feri bagi memudahkan kenderaan dan orang ramai menyeberang. Begitulah dangkal dan bangangnya pihak yang menentang projek tersebut.

Kembali kepada ucapan dasar Najib yang ‘menakutkan’ itu. Orang Melayu sebenarnya mempunyai banyak lenggok bahasa. Dalam keras ada lembut, dalam lembut ada keras. Selak kembali maksud apabila kita merujuk seseorang itu bibir nipis, bibir tebal, kerani cabuk, kerang busuk. Begitu juga dengan buta akal, buta perut, buta gaji, gaji buta, buta hati, buta perut, buta politik, buta sejarah, pekak badak, pekak batu dan macam-macam lagi.

Dalam bahasa Melayu, banyak lagi kiasan, bidalan, perumpamaan dan peribahasa. Dan semuanya ada tafsiran masing-masing.

Mungkin yang tidak faham bahasa akan memberi tafsiran yang bukan-bukan. Mungkin ada yang akan berkata, gila, bodoh, kejam dan macam-macam lagi apabila terbaca ayat Biar mati anak jangan mati adat; Biar mati ditangkap harimau, jangan mati digigit anjing; Biar berputih tulang jangan berputih mata; Biar buruk kain dipakai, asal pandai mengambil hati; Biarlah mati di mata pedang, janganlah mati kena tendang; Biarlah terjual nyawa jangan terjual nama; Biar ditelan buaya, jangan dipagut ikan kecil; Biar kena tampar dengan jari yang bercincin, daripada kena jentik dengan tangan yang berkudis; Biar luka di dada jangan luka di belakang; Tikam lidah dan genggam bara api biar sampai jadi arang.

Mungkin semuanya itu lebih baik daripada ungkapan seperti jika mahu mewujudkan negara Islam, langkah mayat kami dulu. Jika ungkapan itu mahu dikelirukan, macam-macam tafsiran boleh dibuat. Tentunya ia lebih menakutkan dan menyakitkan hati. Amat malang sekali jika orang Melayu tidak lagi boleh menggunakan pelbagai kiasan dalam bahasa mereka. Adakah akhirnya sebahagian besar kiasan, peribahasa, bidalan Melayu dan perumpamaan terpaksa disimpan di dalam muzium sama seperti pameran keris?

Maka janganlah bersangka buruk. Biarlah tersalah kain, jangan tersalah cakap. Janganlah seperti bicarakan rumput di halaman orang, di halaman sendiri rumput sampai ke kaki tangga. Akhir kalam, bahasa Melayu perlu diperkasakan. Ingat Keranda 152. Janganlah kerana politik, Melayu terpaksa mengetepikan warisan sejarah, budaya dan bahasa. Semoga tulisan ini juga tidak dianggap rasis atau perkauman. Diharapkan kita tidak buta sejarah dan bisu bahasa!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.