saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 08/11/2010

Andainya PKR bertukar menjadi SPR

TIDAK kena jika tulisan ini tidak dimulakan dengan ucapan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) kerana memenangi semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi dalam pilihan raya kecil (PRK) baru-baru ini.

Bagaimanapun BN jangan terlalu selesa. Kerajaan Pas Kelantan tidak tergugat dengan kehilangan Galas. Begitu jugalah dengan kemenangan BN di Batu Sapi yang tidak mengubah apa-apa.

Cuma Parti Keadilan Rakyat (PKR) gagal menambah kerusi untuk ke Putrajaya atau sekurang-kurangnya menebus kembali kehilangan kerusi pada PRK Hulu Selangor. Batu Sapi dan Galas menjadi tumpuan untuk melihat trend pengundi di kawasan berkenaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 pada 2008.

Di Galas, pengundi memilih BN melalui calonnya dari UMNO dan menolak Pas yang disokong kuat oleh DAP dan PKR.

Manakala di Batu Sapi, pembangkang tidak sepakat. SAPP meletakkan calonnya sendiri sementara PKR juga berbuat demikian. Maknanya SAPP tidak dapat menerima kehadiran PKR di Sabah.

Punca dan faktor BN menang serta kenapa Pas dan PKR kalah sudah diulas oleh pemimpin parti-parti yang bertanding.

Sebenarnya, jika tidak diulas pun, kita sudah tahu jawapannya. Lebih mudah meramalkan kenyataan yang akan dibuat sekiranya parti seperti Pas, PKR, DAP menang atau kalah dalam pilihan raya.

Kalau menang, mereka akan berkata, itu petanda rakyat yakin dengan pembangkang, tidak percaya lagi kepada BN yang didakwanya kerajaan tidak adil, tidak telus, tidak ada akauntabiliti, rakyat mahu perubahan dan macam-macam lagi yang ‘enak’ didengar.

Tetapi apabila kalah, macam-macam alasan diberi dan paling popular akan menuding jari kepada kerajaan serta badan pengendali pilihan raya iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kenyataan standard tentulah BN menyalahgunakan 3M - media (apa yang disebut sebagai propaganda media arus perdana), machinery (jentera/jabatan kerajaan digunakan untuk berkempen) dan money (sogokan wang/dana melalui pelbagai saluran/sumber).

Turut popular ialah tewas kerana pengundi hantu dan undi pos. Dalam erti kata lain, SPR didakwa gagal melaksanakan tanggungjawab menyediakan senarai pengundi yang bersih sebersihnya.

Maka berdasarkan ‘alasan-alasan’ itu, secara dangkal, bolehlah dibuat kesimpulan bahawa di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor pada PRU lalu, kerajaan BN tidak menggunakan 3M dan SPR berfungsi dengan baik, senarai pengundinya bersih, tidak ada pengundi hantu sementara di negeri-negeri lain banyak ‘salah guna’.

Di Kelantan pula, tentulah lebih tinggi tahap ‘kebersihan dan ketelusan’ kerajaan pusat dan SPR mengendalikan PRU kerana Pas terus kekal memerintah negeri itu.

Namun bak kata orang, Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Begitu juga dengan Kata dulang paku serpih, mengata orang awak yang lebih; Telunjuk lurus kelingking berkait.

Ramai yang tidak nampak atau pura-pura tidak nampak situasi apa yang disimpulkan sebagai cakap tidak serupa bikin dan bikin tidak serupa cakap. Contohnya cuba selak pemilihan dalam PKR. Bukan sekarang tetapi pada tahun 2007. Kecoh. Penasihat PKR, Anwar Ibrahim ketika itu bukan main lagi bersemangat nak bertanding jawatan Presiden walaupun Pendaftar Pertubuhan (ROS) kata tidak layak.

Hingga saat akhir pun, namanya terus dicalonkan untuk jawatan yang disandang isterinya, Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Akhirnya beliau akur juga. Agaknya adakah jika PKR ambil alih, peraturan ROS ini akan digugurkan? Maknanya semua boleh bertanding tanpa halangan bagi menegakkan demokrasi tulen. Kali ini, beliau layak bertanding tetapi tidak timbul pula keghairahan sedemikian. Kenapa?

Jika diselak lagi, pemilihan yang lalu, timbul pelbagai masalah termasuk dakwaan campur tangan pemimpin tertentu menyebabkan calon yang layak bertanding menarik diri malah meninggalkan parti.

Pada satu peringkat, pemilihan semasa Kongres Angkatan Muda Keadilan juga tergendala apabila data perwakilan terpaksa diperiksa semula. Tahun ini cerita yang lebih kurang sama berulang. Kecoh di sana sini. Ada sahaja masalah semasa proses pengundian dan pencalonan. Ada yang mendakwa layak bertanding tetapi hak mereka dinafikan.

Masalah ‘teknikal’ juga berlaku dalam paparan keputusan pengundian. Sekejap A mendahului, sekejap B pula mendahului.

Bayangkanlah jika semua masalah atau kepincangan ini berlaku ketika SPR mengendalikan PRU atau PRK. Teruklah SPR dibelasah PKR. Begitulah keadaannya apabila kita hanya pandai bercakap. Isu pemilihan dalam parti pun tidak mampu diselesaikan. Bagaimana agaknya jika PKR diberi tanggungjawab mengendalikan PRK atau PRU? Dulu hari penamaan calon dan hari membuang undi tenteram. Pondok panas dapat diterima. Tetapi hari ini sudah berbeza. Tiada lagi pondok panas. Kisah koyak poster dan pukul orang menjadi kebiasaan. Adakah jika PKR jadi SPR, pemilihan berjalan dengan aman, tiada pengundi hantu, tidak ada masalah teknikal dan tanpa provokasi? Adakah suasana pemilihan akan lebih baik atau bertambah gamat? Pikirlah sendiri.

Satu lagi mengenai apa yang dikatakan sogokan wang dan rasuah. Cukup mudah mereka menuduh BN melakukan semuanya itu. Malahan umum projek untuk rakyat semasa kempen pun dipertikaikan. Tetapi tiba-tiba sahaja di Galas, semuanya yang sebelum ini dipertikaikan dibolehkan. Beri geran tanah, umum projek, bantu Orang Asli dan sebagainya. Paling menarik pengumuman ‘habuan RM250’ kepada pengundi-pengundi di luar Galas terutama di Lembah Klang supaya pulang mengundi. Dengan janji seperti itu, pengundi sedikit sebanyak terpengaruh untuk balik mengundi tetapi terarah kepada memilih parti yang memberikannya wang. Sudah tidak ada keikhlasan dan kebebasan untuk mengundi.

Pengundi serba salah kerana takut wang itu bertukar menjadi ‘haram’ kerana ambil wang Pas tetapi undi BN. Dulu ada slogan, BN beri wang ambil, beri kain pakai tapi pangkah ‘bulan’. Begitu juga dengan ‘zakat’ yang diberi secara terbuka pada majlis pengislaman Orang Asli. Carilah masa lain tanpa kehadiran calon PRK untuk mengelakkan salah tanggapan. Pada kebiasaannya manusia tanpa mengira label politik akan mudah bersangka buruk. Bak kata orang seperti ada udang di sebalik batu.

Mungkin jika sekutu Pas iaitu PKR jadi SPR, semua itu tidak apa walaupun dalam konteks pilihan raya, ia satu kesalahan.

Dulu semasa kempen PRU, mereka melemparkan tuduhan dengan slogan sinis sokong BN, barang naik. Kini belum satu penggal memerintah, kadar tarif air sudah naik. Bagi kerajaan Pas dan DAP, adakah itu bukan kenaikan? Nasib baik Pulau Pinang dan Kedah yang naikkan. Bagaimana kalau negeri lain yang diperintah BN menaikkan kadar tarif air?

Mungkin kalau Kedah ketika ini diperintah BN, maka akan adalah suara sumbang yang mengatakan air bah yang melimpah di Alor Setar itu sebagai hukuman atau pembalasan kerana menaikkan kadar tarif air. Tetapi Pas yang perintah Kedah kata, bah itu ada kaitan dengan pembinaan landasan berkembar kereta api. Dan ketika air ‘terlebih’ di Alor Setar, ramai yang tidak mendapat bekalan air bersih.

Agaknya apakah kenyataan yang akan keluar jika BN perintah Kedah? Mujurlah Perak turut membekalkan air bersih. Terima kasih kepada kerajaan BN pimpinan Dr. Zambry Abdul Kadir. Kepada mangsa-mangsa banjir terimalah bantuan yang diberi itu secara ikhlas. Jangan timbul perasaan ‘halal haram’ angkara ‘fatwa ikut suka’. Tidak apa jika dulu mereka undi Pas tetapi kali ini menerima bantuan BN. Kata orang... darurat. Asal sumber itu halal. Rasanya BN tidak ambil peduli parti mana yang diundi oleh mangsa-mangsa banjir itu semasa PRU lalu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:43
Zohor 1:19
Asar 4:45
Maghrib 7:28
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.