saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 25/11/2010

Tidak wajar ungkit peristiwa Memali

UMUR dunia sudah tua dan kita meniti hari-hari akhir zaman. Nabi Muhammad berkali-kali mengingatkan banyaknya fitnah (kekacauan) akan berlaku di akhir zaman. Bermula dengan keluarga, masyarakat, negara dan alam sekitar; semuanya berhadapan dengan cabaran dan situasi getir.

Bermula daripada masalah rumah tangga, pergaulan bebas, pergolakan politik, kemelut ekonomi, perpecahan umat Islam sehinggalah perubahan iklim mendadak dan bencana alam.

Nabi umat akhir zaman, Muhammad bin Abdullah tidak hanya memberi gambaran musibah yang akan berlaku kepada umat manusia. Seiring dengan itu, baginda tidak pernah lupa untuk menasihati seluruh umatnya hingga hari terakhir usia dunia, bagaimana berhadapan dengan fitnah dan musibah yang melanda.

Baik musibah itu berupa perpecahan umat, gejala sosial hatta bencana alam pun. Nabi mengajarkan, "Tidaklah seseorang ditimpa suatu musibah, lalu dia mengingat musibah tersebut, sekalipun telah lama masa berlalu, lalu mengucapkan istirja' (innalillahi ilaihi rojiun), melainkan Allah memberinya pahala seperti pahalanya pada hari dia ditimpa musibah tersebut." (Hadis Imam Ahmad & Ibnu Majah)

Selepas kewafatan Nabi, umat Islam tidak pernah sepi daripada musibah dan fitnah. Baik berupa musibah umum seperti kemarau yang melanda negara umat Islam, dijajah dan termasuk kegawatan ekonomi.

Namun antara yang paling besar dan benar-benar menguji ialah musibah perpecahan sesama umat Islam. Sejarah merakamkan tidak sedikit darah umat Islam yang tumpah akibat sengketa sesama sendiri.

Peristiwa Memali merupakan antara musibah besar yang melanda rakyat Malaysia khususnya umat Melayu Islam di negara ini. Sejarah merakamkan ia memakan korban, baik di pihak pemerintah begitu juga pihak bertentangan. Kedua-dua pihak memakan korban warga Malaysia dan Islam. Ia sudah beberapa tahun berlalu. Namun parutnya masih ada.

Ketepikan seketika isu siapa salah, siapa benar. Yang lebih penting ialah mengambil pengajaran dan teladan, bukan mengungkit-ungkit hal yang telah berlalu.

Tindakan membangkitkan semula kisah itu dan Pas menganjurkan hari memperingati Peristiwa Memali merupakan langkah mundur ke belakang dari arah perpaduan dan citra 1Malaysia. Bahkan lebih daripada itu, sikap ini bertentangan dengan ajaran Islam.

Musibah atau tragedi yang paling besar melanda umat Islam ialah wafatnya Rasulullah. Wafatnya Nabi membawa petanda terputusnya wahyu yang menjadi cahaya dan petunjuk dari langit.

Sebesar-besar musibah atau tragedi yang menimpa umat Islam ialah wafatnya Nabi umat akhir zaman. Ini disebutkan oleh Syaikh Salim 'Eid Al-Hilali dalam bukunya yang diterjemahkan Musibah Terbesar Umat Islam.

Namun begitu para sahabat tidak pernah menangisi hari atau tarikh ulang tahun kewafatan baginda. Jauh sekali mengadakan majlis doa selamat, tahlil atau kenduri arwah untuk baginda. Sedangkan baginda ialah semulia-mulia manusia yang paling dikasihi oleh Allah.

Begitu juga dengan peristiwa terbunuhnya Khalifah Umar al-Khattab, Uthman Affan dan Ali Abi Talib (semoga Allah meredhai mereka semua). Walaupun mereka semua pemimpin yang sangat disayangi oleh umat Islam, dibunuh dengan kejam, namun tidak pernah umat Islam meratapi pemergian mereka dengan peristiwa ulang tahun atau acara ritual yang lain.

Ironinya, yang diraikan pada hari kematian Umar ialah pembunuhnya Abu Lu'luah seorang lelaki Majusi (penyembah api). Abu Lu'luah diberi jolongan Baba Syuha'uudin yang bermaksud Bapa Pemberani oleh golongan Syiah.

Bahkan sehingga hari ini setiap tahun diadakan keraian di kubur Abu Lu'luah pada hari yang didakwa tarikh kematian Umar.

Begitu juga tragedi terbunuhnya cucu kesayangan Nabi, pemuka pemuda syurga Hussein bin Ali (semoga Allah meredai mereka berdua).

Setiap tahun golongan Syiah akan menyambut perayaan hari terbunuhnya Hussein ataupun lebih dikenali sebagai Hari 'Asyura.

Menurut Dr. Muhammad al-Aqil, Hari 'Asyura dianggap ritual terbesar bagi kelompok Syiah Rafidah dari zaman dahulu sehingga sekarang. Mereka keluar ke jalan-jalan raya memukul diri sendiri dengan pedang dan benda yang tajam, hingga darah mengalir dari wajah mereka.

Tambah beliau lagi, perbuatan mereka ini menggambarkan keadaan orang Jahiliyah terdahulu yang menempeleng pipi, merobek baju dan memanggil-manggil dengan panggilqn Jahiliyah. (Fitnah Akhir Zaman, Pustaka Imam Asy-Syafi'i).

Berkaitan hal ini Nabi pernah berpesan, "Tidak termasuk golongan kami orang yang menempeleng pipi, mengoyak baju dan memanggil-manggil dengan ratapan jahiliyah." (Hadis Bukhari & Muslim)

Para ulama menjelaskan perbuatan yang dikategorikan sebagai meratap termasuk mengadakan majlis-majlis memperingati hari kematian, baik berupa sempena 40 hari, 100 hari kematian atau ulang tahun kematian, ia termasuk hal-hal baru yang diada-adakan dalam urusan agama, dan diancam oleh Nabi sebagai kesesatan yang boleh membawa ke neraka.

Tindakan pihak pembangkang mengungkit-ungkit kisah lama ibarat menangguk di air yang keruh.

Sebahagian orang yang mengaku beragama Islam mengambil kesempatan daripada musibah yang telah menimpa umat Islam. Mereka berusaha menghidupkan kembali fitnah-fitnah masa lalu. Dengan bermacam cara dusta dan keji, mereka membuat propaganda dalam masyarakat demi menarik simpati.

Hal ini dinyatakan oleh Dr. Muhammad dalam bukunya yang diterjemahkan dengan judul Fitnah Akhir Zaman. Beliau menulis satu bab khusus "Menghidupkan Masa Lalu dengan Mengumpulkan Massa, dan Menjadikan Itu Sebagai Tradisi dan Perayaan."

Dr. Muhammad menulis, mereka mengangkat salah satu pihak yang bertelagah dan menjatuhkan pihak lainnya. Mereka menganggap bahawa perbuatan yang berbahaya ini dapat menyatukan masyarakat dan menolong orang teraniaya. Padahal sebenarnya apa yang mereka lakukan justeru memecah-belahkan umat, menghidupkan kembali dan memperbesar fitnah masa lalu, serta mengobarkan kemarahan di hati orang awam terhadap orang terdahulu.

Islam mengajurkan umatnya untuk bersabar dan reda dengan musibah dan fitnah yang melanda. Sikap mengungkit-ungkit dan membangkitkan pertikaian yang telah berlalu, nyata bukan sikap sebenar umat Islam. Ia merupakan sikap musuh-musuh Islam yang mahu dan suka melihat umat Islam dan umat manusia bertikai dan berpecah-belah.

Penulis ialah Ketua Biro Sekretariat Ulama Muda UMNO (iLMU)

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:08
Asar 4:15
Maghrib 7:10
Isyak 8:19



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.