saya nak baca ..

FEMININ


ARKIB : 05/12/2010

Kisah kebaya Nyonya


Dr. Lee Su Kim bersama buah tangan terbarunya.


MEMBESAR di ibu kota dan sesekali pulang ke kampung untuk meraikan acara tertentu membuatkan Dr. Lee Su Kim begitu bersemangat untuk mengorek latar sejarah keturunannya.

"Bapa saya merupakan Baba dari Melaka manakala ibu pula Nyonya Pulau Pinang. Walaupun tinggal di Kuala Lumpur, kami sering pulang mengunjungi saudara bila ada acara tertentu seperti majlis perkahwinan, sambutan hari lahir, kematian dan sebagainya," kata penulis buku Kebaya Tales of Matriarchs, Maiden, Mistresses and Matchmaker itu.

Dari situ, perasaan ingin tahu mula menyelinap dalam dirinya. Pelbagai cerita daripada ibu dan Bibik (panggilan untuk orang tua-tua Baba Nyonya) didengar dan ia disimpan kemas dalam kotak pemikirannya.

Sebagai generasi keenam Baba Nyonya, Su Kim sedar warisan bernilai masyarakat itu mula pudar. Cara hidup yang menjadi amalan nenek moyang mereka sedikit demi sedikit terhakis disebabkan percampuran budaya dan juga perubahan masa.

Justeru bagi meneruskan kesinambungan warisan yang menjadi tunjang masyarakat tersebut, Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Kuala Lumpur dan Selangor itu berazam untuk terus memeliharanya agar ia tidak tenggelam.

"Mungkin ada yang berasa malu ditertawakan oleh rakan-rakan bila mengetahui mereka berbangsa Cina namun tidak tahu berbahasa Cina. Seharusnya kita berasa bangga kerana keunikan yang dimiliki dan ia tersendiri," kata Professor Madya dari Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sosial Sains dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia itu.

Menurutnya, adat budaya unik masyarakat Baba Nyonya terhasil daripada perkahwinan campur antara pedagang dari wilayah Fujian, Tenggara China dengan masyarakat tempatan di Melaka hampir 700 tahun dahulu. Mereka mengamalkan cara hidup orang Melayu dari segi percakapan, pakaian dan juga makanan. Mereka juga sangat menghormati orang yang lebih tua.

Dari Melaka, kaum itu berhijrah ke Pulau Pinang dan Singapura. Malah mereka turut berhijrah ke Phuket, Thailand dan Melbourne, Australia.

"Masyarakat Baba Nyonya Melaka bertutur dengan bahasa mereka sendiri iaitu campuran Melayu dialek Baba, manakala Pulau Pinang menggunakan dialek Hokkien," katanya.

Walaubagaimanapun, wanita yang pernah menetap di Texas, Amerika Syarikat itu agak terkilan kerana kurang mahir menggunakan dialek Baba Nyonya kerana terbiasa menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu standard.

Dari segi pakaian pula kata beliau, kaum Nyonya dahulu memakai baju panjang dipadankan dengan kain sarung dari Pekalongan, Indonesia.

Mereka turut mengenakan perhiasan seperti kerongsang dan gelang selain pemakaian kasut manik yang sangat unik.

Namun bermula generasi keempat dan kelima, wanita Baba Nyonya memilih kebaya pendek yang lebih cantik dengan jahitan kerawang bermotif bunga dan haiwan untuk dipadankan bersama kain sarung.

Dalam adat perkahwinan Baba Nyonya kata beliau, kemeriahan cukup terasa di mana mereka juga mempunyai acara bersanding dan juga persembahan seperti dondang sayang, ronggeng, joget lambak dan sebagainya.

Kebaya Tales

Berbicara dengan peminat kebaya Nyonya itu sememangnya tidak membosankan. Tambahan lagi sesi wawancara dijalankan di kediamannya.

Penulis dapat merasai sendiri bagaimana cinta beliau terhadap susur galur Baba Nyonya begitu mendalam sekali.

Beberapa gambar lama keluarga berusia lebih 100 tahun menjadi khazanah paling berharga buat dirinya. Begitu juga dengan beberapa koleksi kebaya Nyonya dan kasut manik. Kebaya putih kain kasa dengan motif budak bermotosikal antara yang koleksi yang disayangi.

Bagi wanita yang gemar memasak dan melancong itu, kecintaan dalam memelihara warisan Baba Nyonya diterjemahkan melalui penerbitan buku Kebaya Tales of Matriarch, Maidens, Misteresses and Matchmakers.

"Ini merupakan satu cara untuk saya menyumbang kepada pemeliharaan warisan Baba Nyonya. Sekurang-kurangnya, pelbagai kisah yang saya dengar daripada ibu dan Bibik dapat dikongsi bersama generasi baru Baba Nyonya selain menjadi tatapan umum masyarakat luar," katanya.

Ia menghimpunkan 13 buah cerita pendek yang diinspirasi daripada kisah benar masyarakat Baba Nyonya.

Buku yang mengambil masa empat tahun untuk disiapkan itu sudah pun menjengah pasaran tempatan dan boleh didapati di kebanyakan kedai utama.

Kebaya Tales merupakan antara terbitan yang paling dinanti oleh beliau kerana ia satu-satunya cerita mengenai Baba Nyonya yang pernah diterbitkan.

Lebih menggembirakan, ia mendapat sokongan suaminya, Dr. Stephen J Hall, berasal dari New Zealand dan juga anak lelakinya, Jan Ming.

Sebelum ini beliau pernah menghasilkan lapan buah buku antaranya, Malaysian Flavours: Insights Into Things Malaysian (2004) dan Manglish: Malaysian English at its Wackiest (1998) dan A Nyonya in Texas: Insights of a Straits Chinese Woman in the Lone Star State (2007). Ketiga-tiganya merupakan buku paling laris.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:44
Zohor 1:19
Asar 4:45
Maghrib 7:28
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.