saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 06/12/2010

‘Masihkah kau ingat pada waktu itu...’

KL ‘menjerit!’ Begitulah SMS (khidmat pesanan ringkas) daripada seorang sahabat mengenai kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur semalam. Semuanya gara-gara pakatan pembangkang menganjurkan perhimpunan mengenai isu air Selangor.

Suasana seperti ini bukan kali pertama. Keadaan itu turut mengganggu kelancaran orang ramai yang hendak mengunjungi Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 (KLIMS 2010) dan Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2010.

Lebih menyedihkan ada majlis kenduri kahwin yang tidak mendapat sambutan disebabkan kesukaran orang ramai menempuh kesesakan lalu lintas.

Apakah tidak ada kaedah lain untuk menyuarakan bantahan? Kenapa tidak dilakukan di stadium supaya tidak menyusahkan orang ramai?

Sampai bila keadaan ini akan berlaku? Adakah sehingga kerajaan Barisan Nasional (BN) diganti dengan kerajaan yang diterajui Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang? Nampaknya seperti ada usaha untuk mempercepatkan pilihan raya umum (PRU).

Pembangkang pun dah tak sabar walaupun beberapa negeri pimpinan mereka khabarnya tidak mahu mengikut jejak kerajaan Pusat jika diadakan PRU lebih awal. Cakap tak serupa bikin.

Apapun tinggalkan dulu KL ‘menjerit’ semalam. Semoga tidak berulang lagi.

Berkait dengan politik pembangkang - PKR, Pas, DAP - isu yang menarik perhatian minggu lalu ialah mengenai Anwar sebagai anugerah tuhan, menghapuskan ketuanan Melayu dan janji jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kepada Kit Siang.

Anwar dan isteri, Dr. Wan Azizah Wan Ismail dikecam hebat kerana kenyataan mereka. Pelbagai desakan disuarakan. Ada yang mahu mereka diusir dan ada pula yang mahu mereka pulangkan pingat dan ganjaran. Begitulah kemarahan yang berlaku dan itulah anugerah tuhan terhadap orang Melayu yang tiba-tiba berubah haluan gara-gara politik. Jika dulu mereka lantang mempertahankan Melayu dan begitu keras mengecam pembangkang, kini berlaku di sebaliknya. Kadang-kadang kita menggeleng kepala dan senyum sendirian membaca kenyataan seperti ini.

Cuba selak kembali beberapa kenyataan atau ucapan ‘Encik Anwar Ibrahim’ yang ketika itu belum bergelar Datuk.

Contohnya di Arau pada 1990, dalam satu majlis perjumpaan di Institut Teknologi Mara (ITM) (kini UiTM), Anwar yang ketika itu sebagai Menteri Pendidikan menyentuh mengenai kenyataan pemimpin pembangkang yang menaburkan pelbagai janji semasa kempen PRU.

Anwar membidas pemimpin parti Semangat 46 (S46). Katanya, untuk memberi janji manis memang mudah semata-mata hendak menarik hati pengundi seterusnya mengundi mereka tetapi semasa menjadi menteri, perkara itu tidak diusahakan.

Mengenai janji S46 untuk melantik Kit Siang sebagai Ketua Menteri (KM) Pulau Pinang sekiranya pakatan pembangkang memenangi PRU, kenyataan Anwar memang menarik.

Katanya: ‘‘Ini merupakan suatu kenyataan yang amat menyinggung orang Melayu di Pulau Pinang”.

Entah apa yang boleh menyinggungkan. Memanglah jika pembangkang menang di Pulau Pinang ketika itu, Kit Siang layak menjadi KM. Usahlah bermimpi Melayu jadi KM. Maka janji itu bukanlah luar biasa.

Tetapi bagaimana pula agaknya kenyataan balas Encik Anwar ketika itu jika Kit Siang ditawarkan jawatan No. 2 dalam kerajaan Pusat?

Lebih mengejutkan, beliau melabelkan orang yang membuat tawaran itu sebagai menjual maruah bangsa semata-mata kerana mahu mencari pengaruh undi. Sekarang selepas berlaku putaran politik, apa yang boleh kita sifatkan terhadap kenyataan itu? Mungkin menjilat ludah sendiri atau kata dulang paku serpih?

Ada lagi kecaman yang dibuat terhadap pemimpin politik pembangkang ketika itu termasuk lupa kepentingan bangsa Melayu yang pernah menaikkannya (pemimpin S46) hingga ke peringkat menteri semata-mata atas sikap tamak kuasa nak jadi PM. Sekadar catatan, tokoh yang dibelasah itu sekadar jawatan menteri tetapi Anwar sehingga TPM.

Lebih menarik lagi kenyataan ini:

Jika hendak mencari pengaruh atau hendak popular sekalipun janganlah sampai menjual maruah dan menjatuhkan bangsa sendiri kerana sekali Melayu terjatuh tidak mungkin mereka akan dapat bangun lagi.

Adakah Saudara Anwar masih ingat pada waktu itu komennya apabila Kit Siang menawarkan kepada Gerakan untuk membentuk kerajaan Cina di Pulau Pinang selepas DAP dan Gerakan mendapat jumlah kerusi besar sementara UMNO 12 kerusi dan MCA, MIC tanpa kerusi?

Masihkah ingat komennya apabila Kit Siang kata jangan beri peluang orang Melayu berkuasa?

Anwar juga pada satu ceramah di Kubang Menderong, Kepala Batas menyifatkan S46 dan Pas ketika itu sebagai perkakas DAP kerana meletak calon masing-masing bagi mengganggu kemenangan UMNO dalam PRU 21 Oktober.

Katanya, kerjasama itu tidak dapat diterima oleh Melayu Pulau Pinang kerana S46 awal-awal lagi mengiktiraf Kit Siang sebagai KM jika pembangkang menang.

Mengenai DAP, Anwar ketika itu juga hairan bagaimana masih ada Melayu yang sanggup bekerja dengan DAP sedangkan Lee Lam Thye (bekas Timbalan Setiausaha Agung DAP) yang telah lama berada dalam DAP tidak boleh bekerja dengan Kit Siang.

KETUANAN MELAYU

Penulis ingin menyelak kembali ucapan TPM, Ghafar Baba pada satu majlis perasmian Pusat GiatMara Bukit Payong, Marang pada 18 Oktober 1990. Dalam ucapannya yang dibacakan oleh Pengerusi Mara, Ismail Said, TPM kesal kerana ketuanan Melayu diancam oleh orang Melayu dengan bantuan bukan Melayu.

‘‘Pilihan raya umum ini (1990) akan menentukan sama ada kesinambungan ketuanan Melayu akan terus kukuh atau menuju kehancuran. Pilihan raya bukan sekadar kita keluar beramai-ramai untuk memilih kerajaan dan pemimpin tetapi yang lebih penting ialah mempertahankan ketuanan Melayu.

‘‘Tanpa perpaduan dan UMNO sebagai tonggak kerajaan, ketuanan Melayu terdedah kepada pelbagai ancaman.

‘‘Dalam politik pelbagai kaum yang terdapat di negara ini, pelbagai kemungkinan boleh berlaku jika UMNO tidak dapat mengekalkan kekuatannya.

‘‘Peristiwa 13 Mei 1969 adalah pengajaran yang paling berguna kepada orang Melayu dan bukan Melayu tentang betapa pentingnya konsep perkongsian kuasa melalui persepakatan BN.

‘‘Orang Melayu perlu ingat sejarah apabila mereka tidak mendapat balik benda yang hilang atau terlepas daripada genggaman mereka.

‘‘Melayu hilang Kesultanan Melaka dan hingga hari ini Melaka tidak mempunyai raja dan begitu juga dengan kehilangan wilayah Setol dan Patani di selatan Thai serta Singapura pada 1965, satu kehilangan yang menyayat hati dan mungkin tidak dapat diambil kembali”.

Tetapi itu semuanya cakap-cakap 20 tahun lalu. Masa sudah berubah. Tidak perlu diingati lagi sejarah itu. Bagaimanapun tidak salah jika kita menyelak kembali dan masih mengingati ucapan dan kenyataan pada waktu itu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:20
Asar 4:34
Maghrib 7:25
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.