saya nak baca ..

JOHOR


ARKIB : 10/12/2010

Keindahan alunan seni taranum


SEORANG peserta, Ngasipah Ithnin memperdengarkan bacaan taranumnya.


JOHOR BAHRU 9 Dis. - Kesenian Islam merupakan sesuatu yang sangat indah untuk dihayati dan ia mampu memberi impak kepada emosi jika disampaikan dengan kaedah yang menarik.

Antara yang dikenal pasti mampu memberi kesan mendalam kepada jiwa manusia adalah seni taranum semasa mengaji kitab suci al-Quran.

Seni taranum jika dilihat daripada perspektif ilmu adalah satu kaedah suara yang dipelbagaikan serta diistilahkan sebagai kaedah seni suara yang dibunyikan menerusi nada, rentak dan irama yang sangat lunak menggunakan kaedah tertentu bagi mencantikkan seni bunyi sesuatu bacaan khususnya al-Quran.

Di Malaysia, kaedah ini dikenali dengan nama Taranum al-Quran sempena sepotong hadis Rasulullah yang bermaksud, "Apa yang diizinkan Allah atas sesuatu itu ialah apa yang diizinkan kepada nabinya yang selalu mengelokkan lagu (taranum) bacaan al-Quran."

Kerajaan negeri melalui Yayasan Warisan Johor (YWJ) baru-baru ini menganjurkan Malam Seni Taranum al-Quran sebagai usaha untuk melestarikan seni taranum di kalangan masyarakat di negeri ini.

Malam Seni Taranum al-Quran yang dianjurkan itu merupakan kemuncak kepada Program Kesenian Islam yang direncanakan sepanjang tahun ini oleh Unit Kesenian Islam YWJ.

Ketua unit tersebut, Abu Bakar Selamat berkata, program itu adalah susulan daripada Kursus Taranum yang diadakan sepanjang tahun ini dan ia diadakan di semua 10 daerah di negeri ini.

Beliau berkata, Kota Tinggi mencatatkan penyertaan teramai iaitu seramai 30 peserta.

Menurutnya, program itu merupakan acara kemuncak bagi tahun ini dan seramai 10 peserta terbaik dipilih dari setiap daerah untuk mempersembahkan bacaan masing-masing di hadapan panel juri yang terdiri daripada pakar dalam seni taranum.

"Uji bakat 10 qari dan qariah itu dibuat di setiap daerah dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah. Syarat-syarat yang dikenakan sangat ketat termasuk para peserta dinilai dari segi penampilan dan mereka tidak dijanjikan sebarang hadiah.

"Sehari sebelum program berlangsung, peserta turut diuji bagi membolehkan mereka membiasakan diri dengan majlis yang bakal dihadiri," katanya semasa ditemui di Institut Perguruan Temenggong Ibrahim di sini baru-baru ini.

Pada zaman keagungan Islam dahulu, ilmu taranum juga membangun serta mempunyai pelbagai aliran popular antaranya misri iaitu seni lagu al-Quran yang dipopularkan oleh qari dari Mesir dan kawasan sekitarnya, hijazi (Mekah dan Madinah), iraqi (iraq dan kawasan sekitar), kurdi (Iraq dan Turki) dan ajami iaitu aliran yang dipopularkan oleh qurra yang bukan berketurunan Arab seperti Iran dan beberapa negara lain.

Kini aliran yang paling popular dan diterima di seluruh dunia ialah aliran misri. Qari-qari Mesir yang muktabar telah mengambil dan mengubah suai taranum atau lebih mereka sebutkan sebagai ilmu maqamat itu daripada aliran di atas mengikut budaya serta mengarabkannya untuk bacaan al-Quran.

Taranum asas dalam aliran Misri terdiri daripada tujuh lagu iaitu al-bayyati, soba, hijaz, nahawand, rast, sikah dan jiharkah.

Abu Bakar berkata, pada kebiasaannya, para peserta pertandingan taranum akan diberikan lagu yang bakal dibacakan lebih awal bagi membolehkan mereka bersedia tetapi pada Malam Seni Taranum al-Quran kali ini mereka hanya akan mengetahuinya ketika berada di atas pentas.

Selain itu, katanya, selalunya pada setiap pertandingan para peserta diberikan lagu mengikut susunan tetapi kali ini lagu yang didendangkan tidak mengikut susunan seperti biasa.

"Selalunya para peserta akan berlagu mengikut susunan seperti al-bayatti dan kemudiannya diikuti oleh Soba mengikut susunan daripada nada rendah kepada yang tinggi. Kali ini semuanya adalah berlainan, mereka mungkin perlu menyampaikan bacaan menggunakan soba dan rast atau mungkin hijaz dan jiharkah. Mereka juga hanya ada lima minit untuk menyempurnakan bacaan mereka.

"Mereka dinilai dari aspek ketepatan bacaan, hukum tajwid dan teknik penggunaan suara ketika melagukan taranum yang diberikan kepada mereka," katanya.

Sementara itu, Pengarah YWJ, Jama Johan berkata, program itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk melestari dan membudayakan seni taranum yang merupakan antara seni yang terkandung di dalam kesenian Islam.

Beliau berkata, program itu merupakan yang pertama dianjurkan YWJ dan ia adalah antara pendekatan digunakan untuk menonjolkan keindahan seni taranum kepada masyarakat terutamanya generasi muda.

"Apa yang dapat saya lihat, sambutan terhadap kesenian Islam ini sememangnya amat menggalakkan. Kita mengambil contoh kursus taranum yang dianjurkan di setiap daerah sepanjang tempoh tahun ini YWJ menerima hampir 1,000 penyertaan dan ia merupakan sesuatu yang sangat positif.

"Berdasarkan sambutan yang diterima, YWJ melalui Unit Kesenian Islamnya akan terus merangka program seumpama ini bagi membantu menerus dan menyuburkan kesenian Islam pada masa akan datang," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.