saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 20/12/2010

KITA muncul lagi menjelang PRU, Tenang dalam 'gelora'

SEMASA melintasi Penanti, pekan kecil yang terletak di kawasan Parlimen Permatang Pauh baru-baru ini, penulis terkenang seketika nama parti KITA. Secara kebetulan KITA kini dipimpin oleh Zaid Ibrahim, bekas ahli UMNO dan bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR). Terselak kembali ingatan kepada KITA ketika penulis masih belajar di Sekolah Menengah Kubang Semang (kini Sekolah Menengah Penanti).

Di Penanti, antara deretan bangunan lama di situ terdapat sebuah kedai runcit yang sering menjadi persinggahan penulis dan rakan-rakan. KITA tiba-tiba muncul dalam ingatan kerana pemilik kedai runcit itu, jika tidak silap, Jaffar Ahmad, bertanding atas tiket KITA atau nama penuhnya Kesatuan Insaf Tanah Air bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Semang pada tahun 1974 dan 1978.

Sememangnya kemunculan KITA ketika itu menarik perhatian kerana kesediaan Jaffar berhadapan dengan calon-calon parti yang sudah bertapak kukuh. KITA, parti pelbagai kaum diasaskan pada 1974 dan bertanding dalam beberapa pilihan raya umum (PRU). Pada 1974, KITA bertanding di empat kerusi Parlimen iaitu Bukit Mertajam, Larut, Taiping, Matang manakala 10 kerusi DUN iaitu di Kedah (Kuala Ketil); Perak (Batu Kurau, Bukit Gantang); Pulau Pinang (Tasek Gelugor, Bagan Dalam, Kubang Semang, Penanti, Bukit Tengah, Machang Bubuk, Ayer Itam).

Tahun 1978, KITA bertanding di kerusi Parlimen Bukit Mertajam sementara enam kerusi DUN di utara iaitu Lunas, Merbau Pulas, Tasek Gelugor, Penanti, Pekan Bukit Mertajam dan Machang Bubuk sementara pada 1982 di DUN Bagan Dalam. Seperti dijangka, KITA gagal menyaingi parti-parti lain dan akhirnya 'tenggelam' begitu sahaja. Kini KITA muncul lagi tetapi bukannya KITA 1974. KITA 2010 adalah Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air yang sebelum ini dikenali sebagai Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).

Pada mulanya timbul juga kekeliruan apabila Hanafi Mamat yang bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh pada Ogos 2008 mendakwa AKIM masih wujud. Beliau mendakwa dirinya sebagai Presiden. Bagaimanapun kekeliruan itu berakhir dengan kenyataan Pendaftar Pertubuhan (RoS) bahawa Zaid sah sebagai Ketua Parti KITA.

Dengan penukaran nama AKIM kepada KITA serta meminda perlembagaannya, sudah tentu parti itu bersedia menyertai PRU-13 yang pada ramalan pembangkang akan diadakan pada Mac 2011, kira-kira tiga bulan lagi. Dengan hanya meminda perlembagaan dan nama parti, sudah tentu KITA dapat menggunakan simbol sendiri pada PRU.

Mengikut laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), setakat ini 30 parti mendaftar simbol dengan SPR termasuk BN dan parti-parti komponennya. Tidak ketinggalan juga AKIM yang masih wujud dalam senarai.

Begitu juga dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang semasa pimpinan Syed Husin Ali 'dibubarkan' untuk bergabung dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 2003 masih ada dalam senarai SPR. PRM kekal sebagai parti politik untuk meneruskan prinsip perjuangannya. Sebagai catatan, PRM juga antara parti politik yang bertukar nama. Dulu dikenali sebagai Parti Sosialis Rakyat Malaysia atau PSRM.

Apakah pada PRU akan datang, lebih banyak parti politik akan bertanding? Mungkinkah lebih banyak calon Bebas akan berbuat demikian? Pada PRU lalu, selain BN, DAP, Pas dan PKR, parti yang turut bertanding ialah SNAP, PRM dan Bersekutu.

Mungkinkah kali ini, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga akan mengambil bahagian? Pergerakan Kebebasan Sivil Malaysia yang ditubuhkan Oktober lalu juga dikatakan berminat untuk bertanding dan menurunkan lebih banyak calon yang profesional dan beretika. Mungkinkah NGO yang dipimpin oleh ahli politik akan turut mewarnai PRU-13 nanti?

Bekas Naib Presiden PKR, Jeffrey Kitingan baru-baru ini menubuhkan satu pergerakan yang dikenali sebagai Barisan Bersatu Borneo (UBF) sebagai platform memperjuangkan hak dan keadilan bagi penduduk Sabah dan Sarawak. Walaupun masih kekal dalam PKR tetapi tindakan itu dilihat sebagai usaha meneruskan kerjaya politiknya. Adakah UBF akan memainkan peranan untuk meyakinkan penduduk kedua-dua negeri itu bagi membantu PKR?

Di Semenanjung, selain KITA, terdapat beberapa parti politik yang ditubuhkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang mempunyai peluang untuk bertanding pada PRU. Ini termasuklah Parti Makkal Sakti Malaysia, Parti Cinta Malaysia (PCM), Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Parti Hak Asasi Manusia (HRP) dan sebagainya. Atau kehadiran mereka sekadar untuk memeriahkan lagi PRU?

Sebelum ini terdapat parti politik yang hanya 'gagah' menjelang PRU atau mampu bertahan dalam beberapa PRU sahaja. Selain KITA, beberapa parti lain seperti Parti Nasionalis Malaysia (Nasma), Parti Cina Sabah dan Parti Reformasi Negeri (Star) hilang begitu sahaja. Jika parti-parti kecil sama ada yang sudah berdaftar atau belum mahu turut serta dalam PRU akan datang, maka cabaran lebih besar menanti parti-parti sedia ada.

Mungkin pertandingan akan melibatkan tiga penjuru atau lebih iaitu antara BN, pakatan DAP-Pas-PKR dan parti/NGO lain. Maka tidak hairanlah kebanyakan parti politik mahu meletakkan diri mereka dalam keadaan bersiap sedia menghadapi PRU nanti. Maka UMNO mendahului parti lain menangguhkan pemilihannya diikuti MCA, MIC, Gerakan. Begitu juga DAP mahu menangguhkan pemilihan yang dijadualkan Ogos depan sehingga Ogos 2012. Dalam erti kata lain, semua parti politik mahu memastikan jentera masing-masing tidak hilang fokus menjelang PRU.

Setiap parti politik mahu mempamerkan kesepakatan mereka sekalipun terdapat kepincangan. Parti-parti politik juga giat 'membantu' SPR mendaftar seberapa banyak pengundi baru. Setakat ini, jumlah pengundi berdaftar ialah 11.53 juta orang dan dijangka meningkat kerana masih terdapat kira-kira empat juta orang yang layak belum mendaftar. Pada PRU 2008, terdapat 10,740,227 pengundi tetapi jumlah yang keluar mengundi ialah 76.0 peratus atau 8,161,039 pengundi. Dengan jumlah parti politik yang bertambah, keghairahan parti politik sedia ada untuk menghadapi pilihan raya serta kehadiran pengundi baru, maka sudah tentu PRU akan datang lebih mencabar.

PRK Tenang: Pertemuan dua ChuaPILIHAN Raya Kecil (PRK) DUN Tenang sudah pasti menarik perhatian banyak pihak. BN mahu mempertahankan kerusi itu dan menjaga imej Johor sebagai kubu kuat UMNO/BN manakala Pas sudah tentu mahu menebus kegagalan mempertahankan DUN Galas dalam PRK lalu.

Faktor lain yang menyumbang kepada perhatian ke Tenang ialah kawasan itu berada di bawah Parlimen Labis yang diwakili Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Chua Tee Yong. Beliau juga adalah anak Presiden MCA, Dr. Chua Soi Lek yang pernah mewakili kawasan itu.

Menurut taburan pengundi, dianggarkan jumlah pengundi Melayu ialah 49 peratus, Cina 38 peratus dan India 12 peratus. dalam PRU lalu, Allahyarham Sulaiman Taha memperoleh 6,367 undi, menang dengan majoriti 2,492 undi mengalahkan calon Pas, Mohd Saim Siran yang mendapat 3,875 undi.

Pada 2004, Sulaiman juga menang mengalahkan calon yang sama tetapi majoriti lebih besar iaitu 5,517 undi. Ketika itu Sulaiman mendapat 7,655 undi manakala Saim 2,138 undi. Turut menarik perhatian ialah bagaimana Soi Lek akan memastikan sokongan pengundi Cina kepada BN khususnya di kalangan ahli-ahli MCA terhadap kepimpinannya. PKR pula melalui Naib Presiden yang dilantik, Chua Jui Meng dijangka turut membantu untuk memastikan kemenangan calon Pas. Jui Meng sebagai Pengerusi PKR Johor serta bekas Ahli Parlimen Bakri dan bekas Menteri Kesihatan sudah tentu masih mempunyai pengaruh.

Boleh dikatakan Tenang juga akan menyaksikan pengaruh 2 Chua yang secara kebetulan kedua-duanya bekas Menteri Kesihatan untuk menarik sebanyak mungkin sokongan pengundi-pengundi Cina. Bagi masyarakat India pula, ia sudah tentu menjadi pentas pertama kepada G.Palanivel yang baru-baru ini diberi tanggungjawab sebagai Presiden MIC selepas peletakan jawatan S.Samy Vellu. Sejauh manakah sokongan masyarakat India di situ? Justeru Tenang yang nampak tenang tetapi akan 'bergelora' dengan semangat baru parti-parti politik yang akan turun berkempen.

Di pihak BN, ia tentulah melibatkan UMNO, MCA, MIC sementara di pihak pakatan pembangkang pula Pas, PKR dan DAP. Mungkin DUN Tenang menjadi pentas ujian sebenar bagi parti-parti politik menjelang PRU akan datang.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:40
Zohor 1:13
Asar 4:37
Maghrib 7:21
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.