saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 26/12/2010

Interlok novel bangsa Malaysia

SAYA membaca novel Interlok sebagai teks kajian sewaktu menjadi mahasiswa mengikuti kursus Produksi Sastera di bawah Dr Ungku Maimunah Mohd Tahir pada tahun 1994. Saya masih ingat kebanyakan teman-teman sekuliah berbincang dan melihat kekuatan agenda perpaduan antara kaum dalam novel itu.

Gagasan hubungan yang membina ke arah penyatuan bangsa khusus seperti yang digembleng pengarangnya, Abdullah Hussain adalah menerusi bahasa Melayu. Wawasan ini amat jelas diwakili judul novel ini yang bermakna tautan, jalinan, cantuman yang kemas, kejap atau memanca (interlock).

Kebetulan minggu ini saya sedang membaca tulisan terbaru Sasterawan Negara Abdullah Hussain, Proses Kreatif Satu Pengalaman Rohani (2010) yang baru saya dapatkan dan antara lain turut menyingkap latar pembikinan novel Interlok. Ia dihasilkan untuk pengarangnya menyertai peraduan Peraduan Mengarang Sepuluh Tahun Merdeka (1967) yang rata-rata adalah usul yang dibawakan Tun Abdul Razak (Timbalan Perdana Menteri) dalam satu ucapan makan malam anjuran PENA.

Ia bertepatan dengan perkembangan negara ketika itu selepas mencapai kemerdekaan. Malah keputusan sayembara tersebut kemudiannya diumumkan di kediaman Tun Razak. Dalam pertandingan ini tiada pemenang untuk tempat pertama dan kedua. Arena Wati menerusi Sandera memenangi tempat ketiga. Lima novel lain termasuk Interlok memenangi hadiah saguhati.

Novel-novel lain itu adalah Merpati Putih Terbang Lagi (Khadijah Hashim), Pulanglah Perantau (Aziz Jahpin), Meniti Buih (Alias Harun) dan Badan Bertuah (Ismail al-Falah). Interlok diterbitkan Angkatan Baru untuk pertama kali pada tahun 1971. Kemudiannya ia diterbitkan dalam edisi pelajar (2006, DBP), edisi khas Sasterawan Negara (2008, DBP) dan edisi murid novel Komponen Sastera dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu 2010, DBP).

Secara kontekstual, memang novel ini ditulis sedemikian rupa (kepelbagaian kaum dan penyatuan mereka) dengan memerikan latar sebenar masyarakat yang menghuni tanah Malaysia selepas kemerdekaan. Interlok mungkin sahaja merupakan novel separa biografi bangsa Malaysia dan di tangan sasterawan seperti Abdullah Hussain yang sangat dikenali dengan kemahiran berceritanya, dimensi babakan dalam novel ini begitu ketara.

Interlok adalah novel yang ditukangi Abdullah Hussain untuk memberi semangat baru kepada sebuah negara yang sudah keluar dari kurungan penjajahan serta menyarankan upaya mencipta perpaduan antara rakyatnya yang berlainan latar belakang.

Antara lain kaedah membaca teks ini adalah menggunakan dimensi pensejarahan Malaysia merdeka dengan imbasan sejarah seawal bermulanya abad ke 20. Wajah ketiga-tiga kaum diperihalkan pengarang menerusi tiga protagonis (yang mewakili generasi pertama/kedua) iaitu Musa/Seman, Maniam/Rama Krishnan dan Kim Lock/Ching Huat.

Prasangka

Tiga bab pertama Interlok distrukturkan latar realiti setiap kaum yang diwakili watak masing-masing; tidak kira wajah yang baik/buruk diperagakan pengarang sebagai rakaman sejarah. Baik/buruk itu termasuk istilah, gelaran, tabiat atau tanggapan.

Sebagai pembaca umum hari ini, kadangkala ia diterima sebagai suatu yang sangat menjentik prasangka; sedangkan mustahaknya menafsir sejarah berkenaan pada zamannya secara kritis.

Produk sastera seperti novel menurut Hippolyte Adolphe Taine, pengkritik Perancis, harus ditanggap sebagai satu objek estetik yang dilahirkan ruang sosial. Ia sebaliknya malah hampir menafikan kewujudan si pengarang.

Taine dilihat sangat terkesan dengan idea volk (manusia) dan bangsa oleh Johann Gottfried Herder, pengkritik Jerman, dalam kerangka race sewaktu menanggap hubungan antara sastera dengan masyarakat. Sehinggakan dalam wawancara bersama editor Dewan Sastera, Rozninah Mohd Azib (keluaran yang sama), Abdullah Hussain menjelaskan mengapa beliau memihak kepada kaum India menerusi watak Maniam dalam Interlok.

Watak ini selalu membantu orang lain tidak kira Melayu atau Cina. Abdullah Hussain berpendapat sejarah penderitaan dan survival menjadikan mereka lebih berperikemanusiaan (hlm. 98).

Sebenarnya banyak tulisan dan kajian yang dilakukan dengan meletakkan potensi sastera seperti Interlok sebagai media yang dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengajukan tuntutan aspirasi negara. Di Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM Dr Rosnah Baharudin, peneliti serius novel Melayu, sedang menyiapkan penyelidikan biografi Abdullah Hussain yang merentasi pelbagai judul karya yang dihasilkan Sasterawan Negara kelapan ini.

Hasil daripada sesi berbahagi bersama beliau, saya percaya Dr Rosnah turut melihat Interlok dari kacamata yang pragmatik sepertimana dicatat A Rahim Abdullah dalam sebuah tulisannya tidak berapa lama dulu, Cari 1Malaysia dalam Interlok (Mingguan Malaysia, 19 September 2010). Lebih awal selenggaraannya adalah menerusi Tema Hubungan Kaum dalam Karya Sastera di Malaysia (1990, DBP) turut mempertimbangkan novel yang sama.

Dr Ungku Maimunah Mohd Tahir juga mengabsahkan kedudukan Interlok sebagai novel perpaduan dalam tulisannya (Dewan Sastera, Disember 1996).

Nada konstruktif Abdullah Hussain dalam novel ini menyeluruhi ketiga-tiga kaum khusus dalam bab empat, bab yang memanca setiap perbezaan yang ada antara mereka. Seman mula membuktikan kegigihannya bekerja dan menyedari haknya sebagai Melayu. Ching Huat yang mengakui di tanah inilah tempat dia mendapatkan rezeki bersama kaum lain.

Anaknya, Yew Seng juga sebagai agen perpaduan berbaik-baik dengan orang Melayu seperti Lazim. Sementara Maniam yang dipaparkan pengarang sebagai watak yang senang sekali membantu kaum lain begitu juga nilai yang sama pada anaknya, Rama Krishnan. Nilai kemanusiaan dengan jalinan saling membantu dan saling mengasihani, diperkukuhkan dengan ideologi satu bahasa iaitu bahasa Melayu sebagai perkakas yang sangat menguasai perpaduan ketiga-tiga kaum.

Saya menutup catatan pendek ini dengan pandangan seorang sarjana asing iaitu J.L. Koster (Dewan Sastera, 1999: 86-88) bahawa Interlok memberi ajaran yang sangat bermanfaat tentang apakah itu semangat kebangsaan serta bagaimana untuk mencipta masyarakat yang bersatu padu, harmonis, adil dan makmur untuk semua kaum.

Begitu Interlok memberi peluang kepada pembaca hari ini melihat bagaimana sebuah masyarakat berbilang kaum pernah hidup dan berjuang, Diperhatikan juga bagaimana menerusi sebuah karya sastera, ia dapat menjadi ruang saranan untuk memperbaiki dan meningkatkan nilai kehidupan masyarakat yang mendiaminya. Betapa melalui sastera, anak-anak hari ini dapat diasuh sejarah bangsa dan sangat wajar ditekuni dengan akal yang panjang penuh saksama; sebaliknya tidak mencipta gagasan yang monolitik berkenaan karya dan watak yang dibentangkan pengarang.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.