saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 03/01/2011

Assalamualaikum Cikgu, Selamat Pagi Cikgu, Terima Kasih Cikgu

SALAM Tahun Baru 2011! Sudah tiga hari kita meninggalkan 2010. Memori 2010 masih segar dalam ingatan. Apa pula yang akan berlaku pada tahun 2011? Dalam dunia politik, apakah akan berlaku Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13? Pastikah Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada bulan Mac?

Mungkinkah Pilihan Raya Kecil DUN Tenang yang terakhir selepas PRU Mac 2008? Adakah Kabinet 1Malaysia akan dirombak? Bagaimana pula dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan rakan-rakannya? Adakah terus berpakat atau longgar? Itulah antara cerita politik yang bakal menjadi perhatian tahun ini.

Cerita politik tidak pernah habis. Disebabkan asyik berpolitik, banyak kerja tak jadi. Lebih-lebih lagi yang remeh-temeh pun diheret ke kancah politik contohnya logo 1Malaysia. Berilah sedikit perhatian kepada isu-isu lain yang lebih mencabar. Janganlah takut bayang-bayang, takut kerajaan yang diperintah jatuh pada PRU akan datang. Kalau kerja baik tidak perlu risau.

Memanglah dalam politik, ahli-ahli parti mempunyai pelbagai sikap. Ada yang seperti musang berbulu ayam, musuh dalam selimut, lidah biawak, api dalam sekam atau gunting dalam lipatan. Bukan setakat politik malahan dalam organisasi pun ada manusia jenis ini yang sanggup tikam belakang kawan atau ular kepala dua. Ada juga yang sanggup menjadi kuda tunggangan. Lebih teruk, mereka jenis ini yang tidak ada maruah diri bukan saja sanggup tikam belakang kawan tetapi sanggup mencurahkan pasir ke periuk nasi sendiri demi cita-cita dan perjuangan mereka yang entah apa-apa.

Entahlah apa yang sudah jadi kepada orang kita.

Apapun kita lupakan seketika politik. Kita bicara soal pendidikan yang diharap akan melahirkan anak-anak yang bersedia mempertahankan maruah diri dan negara daripada diceroboh anasir jahat. Melalui pendidikan, kita harap dapat melahirkan generasi yang sayangkan bangsa, agama dan tanah air.

Hari ini di seluruh negara, pada awal pagi bergemalah ucapan Assalamualaikum Cikgu atau Selamat Pagi Cikgu. Riuh rendahlah sekolah-sekolah terutama sekolah rendah dengan kehadiran 457,760 kanak-kanak Tahun Satu yang memulakan sesi persekolahan masing-masing. Seramai 474,803 pula pelajar Tingkatan Satu.

Bermulanya sesi persekolahan hari ini, adakah akan timbul lagi isu beg berat, buku teks tidak cukup, kekurangan kerusi meja, kelas terapung, yuran (atau apa saja bayaran) sekolah tinggi dan sebagainya? Diharapkan tahun ini tidak banyak masalah.

Namun sudah lumrah setiap kali awal tahun, ada saja isu baru atau lama yang timbul. Ini termasuklah kebanjiran murid dalam satu-satu kelas. Walaupun banyak sekolah baru dibina namun ia tidak seimbang dengan pembangunan pesat kawasan perumahan. Seperti saiz atau jumlah jalan raya yang tidak berubah sedangkan kenderaan terus meningkat, begitu juga dengan sekolah. Sekolah semakin `kecilí, kawasan perumahan dan jumlah kanak-kanak pula meningkat.

Apabila berlaku `penghijrahan' penduduk dari satu kawasan ke kawasan lain, ia akan membawa bersama anak-anak yang terpaksa bertukar sekolah sama ada sekolah menengah atau sekolah rendah. Di sinilah berlaku pertambahan yang tidak dapat dielakkan di sekolah berkenaan. Adalah sukar untuk menghalang ibu bapa daripada menempatkan anak di sekolah pilihan yang dekat dengan kediaman mereka. Pihak sekolah pula sudah tentu tidak ada pilihan lain.

Contohnya di Bandar Seri Putra Bangi. Mujurlah sekolah rendah di- situ telah mula beroperasi. Sekurang-kurangnya sekolah itu dapat meringankan beban ibu bapa yang tidak lama dulu terpaksa menghantar anak mereka ke Bandar Baru Bangi, malahan ke Kajang. Penduduk Bukit Mahkota yang bersempadan dengan Nilai, Negeri Sembilan yang juga padat dengan pelbagai jenis rumah terpaksa berbuat demikian dan kini mereka lega kerana sudah ada sekolah di kawasan jiran mereka, Bandar Seri Putra. Tetapi isunya jumlah murid semakin meningkat sejajar dengan jumlah kediaman. Begitu juga dengan sekolah menengah. Hari ini, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra memulakan operasinya. Namun ia hanya melibatkan Tingkatan Satu dan Dua. Tidak ada Tingkatkan Tiga, Empat dan Lima. Ini bermakna pelajar-pelajar Tingkatan Tiga hingga Lima di sekitar Bukit Mahkota dan Bandar Seri Putra terpaksa menghantar anak-anak mereka ke sekolah menengah di Bandar Baru Bangi atau Kajang. Keadaan ini sedikit sebanyak menimbulkan pelbagai masalah termasuk kos pengangkutan sama ada bas atau komuter serta isu keselamatan.

Penghijrahan penduduk ke satu-satu kawasan akan menyebabkan bilik darjah menjadi sesak, mungkin seperti di dalam tin sardin. Berapakah jumlah yang sesuai untuk sebuah bilik darjah? Adakah hanya 25 hingga 30 murid? Kebanyakan bilik darjah mempunyai jumlah lebih daripada itu, mungkin 35 hingga 45 orang atau lebih. Suasana ini sedikit sebanyak menjejaskan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Jumlah guru yang tidak setimpal dengan jumlah murid menyebabkan guru sukar untuk mengawal murid yang ramai di samping persekitaran yang tidak selesa atau tidak kondusif untuk pergerakan guru dan murid-murid.

Justeru sesuatu harus dilakukan oleh pihak kementerian sama ada bagi tempoh jangka pendek atau jangka panjang. Banci penduduk yang dilakukan baru-baru ini perlu dimanfaatkan untuk merancang pembinaan sekolah rendah dan menengah. Pihak berkuasa tempatan (PBT) yang meluluskan projek perumahan baru serta pemaju perumahan juga perlu bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran menyediakan tapak sekolah yang sesuai untuk sesuatu kawasan. Janganlah masing-masing bersikap `lepas tanganí dan hanya merancang bagaikan esok nak sekolah hari ini baru nak cari tapak.

Tidak dinafikan masalah kewangan dan perjawatan menjadi kekangan kepada Kementerian Pelajaran. Namun pelaburan dalam bidang ini perlu diberi perhatian sewajarnya. Kita perlu adil terutama kepada guru-guru dan murid-murid supaya P&P berjalan dalam suasana lebih kondusif.

Bagaimanapun masalah selalunya datang awal bulan atau awal persekolahan. Kita mengalu-ngalukan apa juga cadangan bagi mengurangkan beban guru serta memberi keselesaan kepada anak-anak. Cuma janganlah perbincangan dilakukan tetapi sehingga penghujung tahun, masalah tidak selesai.

Apa pun kepada semua cikgu tempuhilah masalah kelas sesak dengan murid-murid ini dengan tabah. Meminjam moto Sekolah Kebangsaan Bandar Seri Putra iaitu Berilmu Berusaha Berbakti, maka Selak berharap cikgu-cikgu terus berusaha dan berbakti untuk melahirkan insan berilmu. Terima Kasih Cikgu!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:40
Zohor 1:13
Asar 4:37
Maghrib 7:21
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.