saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 09/01/2011

Apabila kera dapat bunga

Dendam dan honar. Ini adalah dua kata kunci menghangatkan isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), Mohamad Khusrin Munawi. Dendam dan honar ini dinyalakan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), kepalanya Menteri Besar, Khalid Ibrahim. Beberapa sikap biadap diperlihatkan oleh Khalid termasuk tindakannya terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Aziz Shah.

Kerajaan Selangor sekarang bawah teraju Khalid adalah kerajaan dendam. Ini bukan kerajaan untuk rakyat, sebaliknya untuk membalas dendam politik kepada kerajaan Persekutuan. Khalid seorang yang sangat honar, penuh dendam. Kehangatan isu SUK ini memperjelaskan kepada rakyat beginilah wajah pemimpin yang menggunakan kuasa (kalau benar berkuasa) untuk membalas dendam.

Sebelum ini Khalid membalas dendam kepada BN apabila sebaik saja menduduki kerusi Menteri Besar, dia telah mengarahkan kakitangan saluran radio Selangor FM keluar dari Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah iaitu pusat pentadbiran kerajaan negeri. Selepas itu Khalid mengharamkan akhbar Utusan Malaysia diedar di semua pejabat kerajaan negeri Selangor. Ini kerana dendam kepada Utusan Malaysia yang banyak mendedahkan putar belit pembangkang yang memperalatkan rakyat.

Mohamad Khusrin menjadi bahan balas dendam Khalid yang terbaru. Pelantikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Mohd Sidek Hassan dengan perkenan Sultan Selangor mahu dicabar dengan pelbagai helah termasuk meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor. Tujuannya untuk membolehkan Menteri Besar dan Sultan Selangor sahaja yang menentukan pelantikan SUK.

Khalid telah mengelirukan rakyat bahawa meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor seolah-olah sama dengan meminda perlembagaan “pakatan kenduri kahwin.” Sekalipun sekiranya Khalid mendapat sokongan dua pertiga ADUN, pindaan itu mesti mendapat perkenan Sultan Selangor. Adakah sekali lagi Khalid tidak memerlukan perkenan Sultan Selangor? Satu lagi, kalau pelantikan SUK memang memerlukan persetujuan Menteri Besar, untuk apa dibuat pindaan pada Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor?

Maknanya dalam amalan sebelum ini, Menteri Besar tidak perlu dirujuk bagi pelantikan SUK selepas Sultan Selangor memberi perkenan. Sebelum ini tidak menjadi isu pun siapa yang dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menjadi SUK. Bukan di Selangor malah di negeri-negeri lain juga berjalan dengan licin. SPA bukan sebuah parti atau badan politik. Hanya kebetulan SPA berada bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

Khalid dengan “kehonaran” yang luar biasa itu telah mengheret Ketua Setiausaha Negara ke kancah debat yang penuh kebodohan ini. Khalid mempolitikkan segala perkara yang terlintas di fikirannya. Khalid memberikan gambaran seolah-olah SPA sebuah badan politik, Mohd Sidek Hassan juga orang politik malah turut mengheret Sultan Selangor dalam debat politiknya.

Khalid telah memperbodohkan rakyat terutama pembangkang bahawa Menteri Besar mempunyai kuasa menentukan siapa menjadi SUK. Padahal jawatan ini tidak ada kena mengena dengan politik. Ini adalah jawatan kerajaan Persekutuan di negeri-negeri. Tetapi pembangkang yang sebahagian besar tidak berfikir di luar kotak terpengaruh dengan rentak politik cara begini.

Laungan

Sikap Khalid yang sengaja “membakar” isu ini perlu dilihat sebagai petanda pemimpin yang tidak berfikir jauh untuk rakyat. Maka laungan untuk berkhidmat kepada rakyat hanya sebuah drama politik, padahal dia sendiri membantutkan urusan membangunkan rakyat dengan isu SUK. Keadaan menjadi lebih teruk apabila Khalid mendapat sokongan pemimpin lain di peringkat negeri yang sanggup berlaku biadap dengan Sultan Selangor.

Ini antara ciri-ciri pembangkang terutama PKR dan DAP untuk menghancurkan institusi raja dan menjadikan negara ini sebuah republik. Mereka yang tanpa rasa bersalah mencabar Raja-Raja Melayu. Apakah istilah lain yang boleh digambarkan berlaku di Selangor kalau bukan mencabar kuasa Raja-Raja Melayu?

Mohamad Khusrin bukanlah dengan tiba-tiba dilantik menjadi SUK. Beliau menjalani proses sebagai pentadbir dan jawatan sebelum ini adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Tetapi semua sudah maklum bahawa kerajaan PKR di Selangor tidak melangkah “sederap” dengan JAWI dalam banyak hal. Ini kerana PKR dan DAP tetap melihat JAIS sekaligus Mohamad Khusrin sebagai sebuah badan yang terikat dengan politik BN. Kalau kita masih ingat, JAIS seolah-olah “diabaikan” kewujudannya apabila kerajaan negeri menjadikan masjid dan surau di Selangor sebagai gelanggang politik. JAIS memang bertegas melarang tetapi penceramah politik PKR dan Pas termasuk DAP bebas menguasai masjid dan surau.

Bayangkan keangkuhan pembangkang, titah Sultan Selangor supaya jangan menjadikan masjid dan surau gelanggang politik tidak diendahkan sedikit pun. Dalam pertemuan dengan Mingguan Malaysia baru-baru ini, Sultan Sharafuddin meluahkan kekesalan baginda apabila ada pihak yang menggambarkan baginda mencampuri hal politik Selangor. Sultan Selangor adalah seorang yang sangat bertolak ansur demi kepentingan rakyat.

Jadi, isu Khalid tidak “mengiktiraf” SUK baru ini adalah dendam kepada bekas Pengarah JAIS itu. Khalid memberikan alasan, dia mempunyai tiga calon SUK yang semuanya mempunyai rekod mutu kerja yang lebih tinggi daripada Mohamad Khursin. Siapa mereka itu? Sampai hari ini Khalid tidak mendedahkan. Maka kita tertanya-tanya apakah calon-calon itu datangnya dari Selangor tetapi tidak pernah memegang jawatan lebih tinggi daripada Mohamad Khusrin. Bagaimana Khalid boleh menilai rekod mutu kerja calon-calon ini kalau beban jawatannya lebih rendah daripada Khusrin? Malah apabila dipilih oleh Khalid, sudah tentu calon-calon itu terdiri daripada orang politik atau proksi politik sealiran dengannya.

Rakyat Selangor mesti segera sedar. Tanpa hubungan kerja yang licin antara SUK dengan Menteri Besar, segala perancangan pentadbiran tidak akan bergerak. Khalid tetap menolak SUK sekalipun telah mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor Khamis lalu. Khalid yang turut hadir ke majlis mengangkat sumpah tetap tidak “merestui” Mohamad Khusrin sedangkan Sultan Selangor telah “merentui”. Kebiadapan begini bukanlah ciri-ciri pemimpin yang diperlukan oleh rakyat.

Orang tua-tua ada berkias, “Macam kera mendapat bunga”. Ini adalah kebijaksanaan silam orang Melayu untuk menggambarkan seseorang yang mendapat sesuatu yang berharga tetapi tidak bijak memanfaatkannya. Khalid telah mendapat “bunga” yakni kuasa di Selangor, tetapi tidak memanfaatkan “bunga” itu dan akhirnya “bunga” yang dulunya cantik menjadi koyak rabak. Lain kali rakyat kenalah berfikir banyak kali sebelum memberi bunga kepada kera.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:22
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.