saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 13/01/2011

Ciri-ciri calon pilihan raya

PILIHAN Raya Umum (PRU) ke-12 pada 2008 menjadi pilihan raya paling diingati kerana kemampuan pembangkang mengurangkan majoriti 2/3 Barisan Nasional (BN).

Pembangkang yang wujud dalam blok yang agak besar pada awalnya, diharap menjadi pembangkang yang mampu mengimbangi kuasa kerajaan dengan idea-idea bernas akhirnya gagal menggunakan kesempatan yang diberikan oleh rakyat dengan hanya berpolitik dan sibuk tuduh-menuduh sehingga Perlembagaan Negara dicabul.

Janji dan manifesto untuk membela rakyat pupus dibawa angin lalu. Modal air liur sahaja yang tinggal untuk menawan pengundi.

Inilah asas bagi pemilihan calon pilihan raya oleh BN jika mahu dipilih semula oleh rakyat yang sudah lali dan jelak dengan pemimpin yang hanya pandai menjanjikan bulan dan bintang, namun janji tergadai, ladang lembu menjadi kedai.

Itulah nasib penduduk Kampung Buah Pala, Pulau Pinang setelah terkena penangan janji manis pembangkang yang merampas tanah yang dijanjikan untuk 'dibebaskan' dari projek pembangunan.

Ciri pertama, pemimpin yang hendak dipilih biarlah yang pandai berjanji perkara yang logik dan diterima akal yang waras agar tidak dikatakan pemimpin lidah bercabang di kemudian hari.

Pemimpin yang waras adalah pemimpin yang tahu membezakan antara kepentingan diri dan kepentingan rakyat yang diwakili. Jika bercakap, jangan manis di mulut sehingga sanggup menyeleweng ajaran dan agama orang lain serta menggertak Perlembagaan Negara yang menjadi asas kewujudan Malaysia sebagai negara Islam paling membangun di dunia.

Ciri kedua, wakil rakyat yang sesuai dipilih bukan hanya pandai berbicara isu mikro (setempat), malah isu makro seperti ekonomi dan Perlembagaan Negara juga perlu cair di mulut.

Pemimpin yang dipilih sebaiknya biarlah pemimpin setempat yang tahu tali air mana ada ikan puyu dan di mana tempat napuh melintas. Pemimpin payung terjun yang tidak direstui UMNO Bahagian perlu dihindari daripada menjadi calon.

Jangan pula memilih pemimpin yang menjadi burung kakak tua dan pandai bersalam kemas tetapi selepas pilihan raya, bayangan songkok dan gincu merah tinggal jadi kenangan semata-mata.

Kelulusan tinggi sampai ke langit tidak perlu kerana ia hanya akan mewujudkan jurang antara wakil rakyat. Ini kerana rakyat hanya mahu tahu apa yang mereka boleh dapat dari Yang Berhormat dan bukan berapa Yang Berhormat hendak dari projek kelas F mereka.

Ciri ketiga pemimpin yang berhak dipilih oleh pucuk pimpinan, pilihlah calon yang tahu mengenang budi orang yang membantu parti selama ini terutama 'gurkha-gurkha' parti yang bersengkang mata dan sanggup bertegang urat mempertahankan pemimpin mereka setiap kali kempen pilihan raya.

Begitu juga dengan pengundi, mereka perlu diberi sumbangan dengan menunaikan janji pilihan raya yang dibuat, bukannya memberi pelbagai alasan untuk tidak mengotakan manifesto.

BN perlu bersifat realistik dalam menarik sokongan rakyat dan jangan berjanji kepada rakyat berlebih-lebihan, kelak ia akan menjadi obesiti manifesto yang menyebabkan penyakit munafik dalam diri sepanjang menjadi Yang Berhormat, apabila berjanji tidak ditepati dan menyembunyikan fakta demi meraih undi.

Ciri keempat dan paling penting, pilihlah pemimpin yang berintergriti dan bersih dari skandal mikro dan makro kerana pemimpin sebegini akan menjadi liabiliti kepada parti apabila beliau dicalonkan semula.

Masih ramai pemimpin muda yang boleh diberi peluang untuk menjadi calon dalam pilihan raya. Semangat Harimau Malaya perlu diterapkan dalam kerajaan kita.

Jangan takut memberi peluang kepada orang muda kerana karisma Perdana Menteri kita bukan dicipta sehari semalam. Beliau menjadi pemimpin besar dari usia muda sehingga kini.

Suara orang muda yang optimis perlu diberi ruang dan peluang kerana pihak parti pembangkang menggunakan formula ini dengan jayanya sehingga calon yang baru setahun jagung dalam politik mampu menewaskan pemimpin politik yang begitu berpengalaman.

Ciri terakhir dan paling penting, pilihlah calon yang mesra dengan sistem demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan. Pemimpin perlu menghormati raja mereka dengan ikhlas, kerana tanpa institusi raja maka perjuangan untuk agama dan bangsa hanyalah perjuangan sia-sia. Perjuangan untuk mendaulatkan institusi raja perlu ada agenda yang tersurat dan bukannya tersirat.

Tindakan Kerajaan Negeri Selangor melantik 'orang luar' dari sistem beraja untuk meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor amat mendukacitakan. Nampaknya hasrat mereka untuk mengembalikan kuasa Sultan iaitu melantik jawatan yang selama ini di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam tidak lebih daripada sandiwara paling hebat tahun ini. Di mana pendirian sebenar pakatan pembangkang berhubung Ketuanan Melayu, menghormati titah dan menjunjung kasih perkenan baginda? Minta dijauhi calon wakil rakyat BN bersikap sebegini memperkotak-katikkan institusi raja.

Namun bersandarkan punca berlakunya pilihan raya kecil sebanyak 14 kali yang berlangsung sejak berakhirnya PRU-12, mungkin ciri wakil rakyat yang mempunyai kesihatan yang baik perlu dipertimbangkan. Itulah cabaran paling utama.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:18
Maghrib 7:00
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.