saya nak baca ..

KELUARGA


ARKIB : 20/01/2011

Warisan tekat benang emas


Azizah menunjukkan kain baldu yang sudah siap ditekat dengan benang emas.


TEKAT benang emas memang sinonim dengan bandar diraja Kuala Kangsar. Setiap kali menyebut perkataan itu, pasti kita sudah dapat membayangkan kehalusan dan keindahan seni warisan Melayu tradisional di negeri Perak itu.

Suatu ketika dahulu, keluarga diraja menjadikan tekat benang emas sebagai pakaian kebesaran dan hiasan seharian.

Kini, tekat benang emas digunakan untuk istiadat tertentu di istana seperti pertunangan, perkahwinan, ulang tahun keputeraan dan pertabalan diraja.

Bagi orang kebanyakan pula, fungsi tekat benang emas terbatas untuk upacara pertunangan, perkahwinan, kelahiran dan berkhatam al-Quran.

Sungguhpun begitu, penggunaannya kini semakin terhad kerana kos menyediakan kelengkapan tersebut terlalu mahal.

Ia menjadi begitu mahal kerana beberapa faktor, antaranya tukang tekat benang emas semakin sukar ditemui, bahan asas untuk menyiapkan tempahan mahal seperti benang emas dari Perancis atau Jerman, kain baldu bermutu tinggi, kerja tangan yang rumit serta memerlukan masa yang lama untuk disiapkan.

Justeru tidak hairanlah kenapa harga bagi mendapatkan kelengkapan perkahwinan daripada tekat benang emas boleh mencecah hingga puluhan ribu ringgit.

Seorang tukang tekat benang emas yang masih aktif ketika ditemui Mega di Kampung Padang Changkat, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak, Azizah Mohamad Yusof, 75, memberitahu beliau pernah menerima tempahan melebihi RM35,000.

Mengakui faktor-faktor di atas menyebabkan produk daripada tekat benang emas mahal, Azizah berkata, tempahan terkini yang diterimanya adalah daripada seorang doktor yang bakal melangsungkan perkahwinan pada Julai ini.

Menurutnya, upah menyiapkan kelengkapan perkahwinan tersebut adalah RM19,000. Ia tidak termasuk kos kain baldu berwarna biru gelap yang dibeli sendiri oleh doktor tersebut dari Singapura.

Biasanya, kelengkapan perkahwinan tersebut meliputi sarung bantal termasuk bantal peluk dan muka bantal, cadar, sarung alas duduk untuk majlis akad nikah, kipas, alas pahar, tepak sirih dan lemu di pintu.

Menjawap persoalan tentang harga yang terlalu mahal, Azizah berkata:

"Kalau soalan itu ditanya kepada saya ketika saya menjayakan pameran dalam dan luar negara, saya memberikan jawapan dengan menunjukkan bahan-bahan yang digunakan dan buat sedikit demonstrasi.

"Bila mereka tengok sendiri proses membuatnya yang rumit dan lama, selain benang emas dari Paris serta kain baldu berkualiti tinggi, barulah mereka faham kenapa harganya mahal."

Memiliki bengkel tekat benang emas di Kampung Padang Changkat, ibu kepada sembilan anak ini bangga kerana dapat menurunkan kemahiran yang diwarisi daripada nenek dan ibunya kepada anak-anak dan cucu-cucunya.

Ibunya, Mahiyah Abdul Majid merupakan seorang tukang tekat mahir pada waktu itu dan sering mendapat tempahan dari istana.

Kini, beliau pula menjadi buruan pihak istana untuk menyiapkan segala tempahan.

Tempahan terbaru dari istana yang diterimanya adalah sarung bantal untuk tetamu dari luar negara yang akan berkunjung ke Istana Iskandariah di puncak Bukit Chandan.

Selain itu, paling manis bagi Azizah adalah khidmat beliau turut diperlukan untuk menyiapkan kelengkapan majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 26 April 2007 dan majlis perkahwinan diraja Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Zara Salim Davidson pada Mei 2007.

"Saya juga kerap menerima tempahan dari istana diraja Kedah dan Brunei untuk pelbagai upacara dan majlis," katanya yang bersyukur kerana kemahiran dan kerja-kerjanya diiktiraf pelbagai pihak termasuk Tuanku Mizan.

Sempena majlis ulang tahun keputeraan Tuanku Mizan pada 6 Jun 2009, Azizah telah dikurniakan Bintang Ahli Mangku Negara (A.M.N).

Kemahiran Azizah turut dihargai apabila beliau dipilih sebagai penerima Anugerah Usahawan Berjaya Peringkat Parlimen Kuala Kangsar pada 2006 dan dilantik sebagai Adiguru Kraf Tekatan oleh Kraftangan Malaysia.

Kehebatan Azizah dalam tekat benang emas ini juga telah melayakkannya dipilih mewakili negara ke Pameran Antarabangsa di Tokyo, Jepun, Singapura, Arab Saudi, Brunei dan Perancis.

Kebanyakan penyertaan Azizah ke luar negara dibawa oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Kraftangan Malaysia.

Justeru tidak hairanlah kenapa rumah dan bengkelnya di Kampung Padang Changkat sentiasa dikunjungi pelancong dalam dan luar negara.

Malah, beliau pernah menerima kunjungan rakyat Jepun yang duduk di rumahnya selama beberapa minggu untuk mempelajari tekat benang emas.

Corak yang biasa digunakan untuk tekat benang emas adalah paku pakis, pucuk rebung, sulur buyung, bunga raya, bunga kemboja, awan larat dan bunga asam batu.

Kini, pelbagai corak boleh dihasilkan mengikut kemahuan individu yang membuat tempahan dan kreativiti penenun, termasuk bunga lalang, bunga orkid dan lain-lain.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:13
Asar 4:36
Maghrib 7:09
Isyak 8:24



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.