saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 28/01/2011

Gapena terima keputusan, Perkasa bantah

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) menerima baik keputusan kerajaan meneruskan penggunaan novel Interlok untuk komponen sastera (Komsas) dalam Bahasa Melayu tingkatan lima.

Bagaimanapun pada masa sama, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) tidak bersetuju dengan keputusan tersebut kerana ia diteruskan dengan pindaan pada bahagian tertentu.

Setiausaha Satu Gapena, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, mereka menyambut baik keputusan kerajaan untuk mengekalkan penggunaan novel Interlok itu.

Malah katanya, penubuhan panel bebas bagi membuat pindaan pada bahagian tertentu dalam novel karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain itu adalah dialu-alukan.

''Kami bersyukur kerajaan membuat keputusan itu. Bagaimanapun kami berharap perkataan asal dalam novel itu tidak diubah malah menyediakan glosari dan nota kaki bagi menjelaskan maksud perkataan-perkataan tertentu,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai keputusan kerajaan hari ini untuk meneruskan penggunaan novel Interlok sebagai sebuah novel untuk Komsas dalam Bahasa Melayu tingkatan lima.

Novel Interlok yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka menjadi kontroversi kerana didakwa mengandungi unsur sensitif yang menyinggung perasaan kaum India berhubung penggunaan perkataan 'pariah' (paria) di muka surat 211 dan 220.

Sehubungan itu, beberapa pihak mendesak kerajaan menarik balik penggunaan novel tersebut sehingga mendorong kajian semula dibuat melalui panel penilai yang dilantik.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, kerajaan turut diminta untuk mengambil kira penghinaan oleh kelompok tertentu yang bertindak membakar novel tersebut sehingga mengguriskan hati penulisnya, Datuk Abdullah Hussain.

''Kita tidak boleh berkompromi dalam penghinaan yang dibuat itu, oleh itu kami meminta kerajaan turut mengambil kira hal ini,'' katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali memberitahu, pihaknya tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan itu kerana ia diteruskan dengan pindaan.

Katanya, adalah lebih baik bagi kerajaan untuk menggantikan novel itu dengan karya lain daripada melakukan pindaan kepada naskhah asal Interlok.

''Sangat tidak betul sekiranya novel itu diubah apa-apa isi kandungannya tanpa kerelaan penulisnya dan jika dipersetujui sekalipun Perkasa akan berasa malu bagi pihak orang Melayu.

''Ia (keputusan) boleh dikatakan merupakan satu peristiwa yang amat malang kepada penulis yang juga merupakan seorang Sasterawan Negara dan kepada orang Melayu amnya.

''Novel itu telah diterbitkan lebih 40 tahun dulu dan sekiranya dirasakan ia tidak sesuai maka batalkan sahaja penggunaanya dengan menggantikan novel lain,'' katanya dalam kenyataan awal Perkasa.

Tambahnya, kandungan novel tersebut langsung tidak bermaksud untuk menghina mana-mana kaum malah perkataan paria memang wujud sehingga kini serta golongan belia India perlu tahu bahawa kasta itu memang wujud.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:08
Asar 4:15
Maghrib 7:10
Isyak 8:19



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.