saya nak baca ..

PAHANG


ARKIB : 01/02/2011

Mendekati kehidupan Orang Asli


ORANG Asli kaum Semai menunjukkan cara membuat kraf tangan berasaskan mengkuang kepada pelawat yang singgah di Kampung Orang Asli Pantos, Hulu Jelai, Kuala Lipis, baru-baru ini. - utusan/Haris Fadilah Ahmad


KUALA LIPIS 31 Jan. - Mendekati kehidupan masyarakat Orang Asli di Pahang merupakan satu pengalaman menarik bagi orang ramai yang ingin mengenali suku kaum golongan itu.

Sebagai contoh, perkampungan Orang Asli Pantos di Hulu Jelai dekat sini merupakan antara kawasan popular kerana ia sering dikunjungi oleh pelancong tempatan dan asing.

Pelawat yang mengunjungi kampung itu akan terpegun melihat projek perumahan baru dilaksanakan oleh kerajaan untuk penempatan semula golongan itu menjalani kehidupan yang lebih tersusun.

Malah terdapat sebuah Sekolah Kebangsaan Pantos yang menjadi tempat pembelajaran kanak-kanak Orang Asli di situ mendapat pendidikan sempurna seperti kaum lain di negeri ini.

Kampung tersebut yang dihuni oleh suku kaum Semai Pantos menjalani rutin harian seperti memburu dan mengutip hasil hutan untuk kegunaan sendiri atau dijual.

Ada juga di kalangan mereka yang bekerja di ladang kelapa sawit yang dibuka berhampiran tempat tinggal mereka.

Selain kediaman unik yang dibina menggunakan buluh dan kayu, setiap kawasan penempatan itu juga akan dilengkapi dengan kemudahan bekalan elektrik.

Mereka menggalas bakul untuk meletakkan barang jualan seperti rebung, akar kayu, daun herba, bunga hutan dan madu untuk dijual kepada pelawat yang singgah di Pusat Pelancongan Inap Desa Kuala Medang dan selebihnya dihantar ke Pekan Sungai Koyan.

Kawasan penempatan Orang Asli Pantos dihubungi hampir 200 penduduk daripada 25 buah keluarga yang mendiami di situ sejak sebelum merdeka. Kebanyakannya sudah memeluk agama Islam sejak 20 tahun lalu.

Melihat keunikan budaya dan cara hidup masyarakat Orang Asli ini, pastinya ramai yang ingin mempelajari dan mengetahui budaya mereka dengan lebih mendalam.

Para pelawat akan dibawa mendekati keindahan alam semula jadi selain didedahkan dengan keunikan kehidupan masyarakat Orang Asli seperti kraf tangan, persenjataan, makanan, kebudayaan, tarian, lagu dan alat muzik.

Pengetahuan mendalam mengenai rahsia dan selok belok hutan merupakan kelebihan kepada mereka untuk menjadi pemandu pelancong di kawasan itu.

Keunikan makanan tradisional masyarakat Orang Asli ialah cara memasak nasi, ikan dan ayam, ubi kayu, ubi gadung dan ubi jaga dengan cara membakarnya di dalam buluh.

Di Kampung Orang Asli Pantos, pelawat akan menemui seorang warga emas, Nurulhidayah Abdullah, 65, yang kerap membuat demonstrasi mengenai masakan tradisional masyarakat Orang Asli menggunakan buluh.

Ibu kepada lapan orang anak itu, berkata, untuk memasak nasi, beras dan ubi akan dibasuh terlebih dahulu sebelum dibalut menggunakan daun lereh.

"Sementara ayam dan ikan pula akan digaul bersama bahan-bahan seperti cili, garam dan campuran lain dan juga akan dibalut dengan daun lereh bagi tujuan menaikkan aromanya," katanya di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, makanan yang telah dibalut kemudiannya akan dimasukkan ke dalam buluh dan dibakar antara 30 hingga 45 minit sehingga masak.

''Pelancong asing yang singgah di sini akan teruja dengan keenakan masakan di dalam buluh," katanya.

Bagi Penghulu Mukim Hulu Jelai, Mohd. Razaki Abdul Razak, pelawat akan didedahkan dengan keunikan tarian Sewang yang merupakan salah satu adat masyarakat Orang Asli di Jelai dan Cameron Highlands.

Katanya, tarian itu asalnya untuk tujuan pemujaan dilakukan dalam bentuk tarian dan nyanyian yang diketuai oleh seorang bomoh dikenali sebagai Tok Halaq.

"Tetapi sehingga kini telah pun diadaptasi dengan unsur kontemporari dengan pembaharuan irama lagu tetapi pakaian masih kekal dengan kain batek, irama ketukan buluh dan pemakaian selempang serta tanjak berasaskan daun kelapa.

''Kebiasaannya penduduk Orang Asli seakan-akan berpesta kerana tarian ini dilangsungkan selama tiga hingga enam hari mengikut tujuan seperti menyambut kelahiran, ketika kematian, berkhatan, mengubati penyakit dan membuka pantang," katanya.

Mohd. Razaki yang juga Pengerusi Projek Inap Desa Kuala Medang, berkata, pengalaman unik lain yang akan didedahkan kepada para pelancong adalah dari segi amalan perubatan menggunakan sumber alam semula jadi seperti buah, akar dan daun pokok.

''Keistimewaan masyarakat Orang Asli juga boleh ditonjolkan menerusi hasil kreativiti kraf tangan mereka seperti ukiran dan juga anyaman," katanya.

Justeru jelasnya, menerusi inisiatif Kementerian Pelancongan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), sebuah produk baru pelancongan iaitu Pakej Pelancongan Orang Asli telah dilancarkan tahun lalu.

Katanya, pengenalan pakej tersebut bertujuan menarik minat pelancong domestik dan luar negara yang menggemari pelancongan ekobudaya.

Tambahnya, ia turut mempunyai matlamat merealisasikan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli melalui sektor pelancongan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:03
Asar 4:25
Maghrib 7:00
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.