saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 22/02/2011

Merlimau makin sepi dari peta pelancongan Melaka?

TAHUN 1980-an ialah tahun yang meriah untuk Merlimau, kampung halaman yang penulis cintai.

Masih segar di ingatan bagaimana kehidupan kanak-kanak penulis sering diwarnai oleh kedatangan pelancong-pelancong luar negara yang mahu mencuba air kepala muda, atau datang mengambil gambar pemandangan di kawasan kampung kami.

Ada juga yang meminta izin untuk mendirikan khemah di pekarangan rumah kampung dan seterusnya mereka ini akan diberi layanan istimewa seperti diajak makan malam bersama dan dijamu buah-buahan tempatan seperti rambutan dan durian.

Gurau-senda di antara penduduk kampung yang cuba-cuba berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris atau di dalam kombinasi bahasa Melayu dan bahasa isyarat dengan pelancong-pelancong itu ternyata menjadi memori yang indah kepada penduduk kampung ketika itu.

Bila saja ada pelancong yang mahu bergambar, kebiasaannya penulis akan menjadi model 'anak kecil' yang bercoreng di muka dengan bedak sejuk yang ditempek oleh ibu penulis untuk tatapan lensa pelancong-pelancong luar negara.

Di zaman kanak-kanak penulis juga dapat melihat sendiri pengambaran filem-filem remake seperti Sumpah Semerah Padi lakonan Daddy M. Borhan dan Hussein Abu Hassan (1981) dan Lagenda Lela Manja (1988) lakonan Rima Rashidi, Tam Suhaimi, Faizal Hussein dan Ebby Saiful yang diarah Datin Rosnani Jamil.

Pengambaran dibuat di sebuah rumah tradisional yang terletak hanya beberapa meter dari rumah saya.

Hari ini Merlimau kembali meriah, bukan kerana datangnya rombongan pelancong tetapi kerana bahang pilihan raya.

Kemeriahannya membuatkan hati saya tersentuh. Di manakah perginya kehebatan Merlimau suatu ketika dahulu sebagai sebuah destinasi pelancongan dari luar negara?

Kira-kira 20 tahun kebelakangan ini, sukar untuk melihat kelibat 'Mat Salleh' di kampung kami, seolah-olah mencadangkan bahawa memori suatu ketika dulu hanya tinggal sebagai sebuah memori.

Tarikan utama Merlimau ialah rumah tradisional milik Penghulu Abdul Ghani Abdul Majid, atau turut popular disebut rumah Penghulu Natar sempena nama anak lelaki beliau.

Rumah berusia 180 tahun di Jalan Permatang Serai itu terletak pada keunikan seni binanya yang tradisional. Dibina dengan kos RM23,000 pada tahun 1831, rumah itu membawa pengaruh campuran seperti Johor, Palembang, China dan Eropah dalam seni binaannya serta mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.

Sudah menjadi adat penduduk Melaka untuk mementingkan tetamu, dan salah satu daripada cara untuk menyambut mesra tetamu ialah dengan menghias tangga rumah-rumah mereka dengan indah sebagai satu cara mengucapkan 'Selamat Datang'. Tangga rumah turut menjadi seakan-akan simbol status yang membezakan rumah golongan sederhana dengan golongan mewah.

Oleh itu tidak hairanlah jika hiasan jubin di tangga rumah Penghulu Natar dikatakan oleh penduduk kampung yang tercantik di dalam negeri Melaka, sekali gus menjadikan rumah itu tercantik di negara ini.

Ia juga sesuai dengan status pemiliknya ketika itu iaitu sebagai penghulu jajahan Merlimau yang dilantik oleh British.

Apa yang lebih istimewa, rumah itu direka bukan untuk tujuan kediaman semata-mata, tetapi ia juga berfungsi sebagai sebuah pusat pengurusan mukim, lengkap dengan ruang memasak yang besar untuk tujuan kenduri, anjung untuk perbincangan, penyelesaian masalah dan perbicaraan, serta lokap untuk penahanan sementara pesalah sebelum dihantar kepada polis.

Walau pada awalnya keadaannya sudah agak usang, rumah tersebut telah pun dibaik pulih oleh Jabatan Warisan Negara dengan kos sebanyak RM1.7 juta.

Turut menjadi kebanggaan penduduk Merlimau ialah sebuah kubur yang dipercayai Makan Tun Teja yang terletak di Kampung Pangkalan Samak, Merlimau. Tun Teja ialah anak kepada Sri Amar Diraja Pahang dan isteri kepada Sultan Melaka, Sultan Mahmud Syah.

Apabila Melaka ditawan oleh Portugis pada tahun 1511, beliau telah berundur ke Bentayan (Muar, Johor).

Semasa pengunduran itulah Tun Teja dikatakan sedang gering telah meninggal dunia dan dimakamkan di situ dengan penuh adat istiadat istana.

Satu lagi tarikan pelancongan ialah Perigi Portugis yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah Penghulu Natar. Perigi ini dipercayai digali oleh askar Portugis untuk kegunaan mereka sewaktu memerintah Melaka.

Deli Ali, 46, yang turut mengunjungi perigi tersebut, menyatakan kekecewaan beliau tentang ketiadaan fakta sejarah yang sepatutnya diletakkan di tempat pelancongan tersebut.

Beliau turut berharap agar kawasan pelancongan di Merlimau dipromosikan dan diselenggara dengan baik sesuai dengan lokasinya di dalam negeri pelancongan yang sudah bertaraf maju.

Ah Sang, atau nama sebenarnya Tan Siong Sung, 75, seorang peniaga di Kampung Permatang Serai selama lebih 30 tahun, turut melahirkan kekecewaannya terhadap produk pelancongan Merlimau yang tidak dipromosikan.

"Dulu memang ada pelancong-pelancong datang ke kampung ini, tetapi sekarang perkhidmatan bas yang melalui kawasan ini pun sudah tidak lagi beroperasi walaupun beberapa perhentian bas yang sempurna telah disediakan di tepi-tepi jalan," ujar beliau.

"Melaka berjaya menarik ramai pelancong luar negara tetapi tiada pihak yang mahu membawa mereka melawati tempat menarik di Merlimau," tambahnya lagi.

Seorang lagi anak tempatan, Abu Bakar Hashim, 54, berharap agar produk-produk pelancongan di Merlimau akan dipromosikan di dalam risalah pelancongan Melaka dan dimasukkan dalam pakej-pakej pelancongan oleh ejen-ejen pelancongan.

"Kalau dulu kita dapat lihat adanya bas-bas pelancong dalam dan luar negara tetapi kini jumlahnya tidak menggalakkan. Saya juga harap pengusaha-pengusaha filem juga kembali menggunakan rumah tradisional Merlimau sebagai lokasi pengambaran mereka," ujarnya lagi.

Walaupun tinjauan beberapa produk pelancongan di Merlimau yang mempromosikan Makam Tun Teja dan Perigi Portugis, tetapi tiada yang menyebut mengenai rumah Penghulu Natar.

Pusat pelancongan di Bandar Hilir, Melaka dan laman sesawang pelancongan Melaka juga tidak menyenaraikan Merlimau sebagai salah satu destinasi pelancongan.

Melaka menyasarkan kedatangan pelancong sebanyak 10 juta tahun pada tahun 2010 dan jumlahnya pasti meningkat lagi pada tahun ini.

Merlimau dan penduduknya semestinya akan mendapat pelbagai manfaat sekiranya produk-produk sejarah dan warisan bandar ini diletakkan kembali dalam peta pelancongan dunia.

Penulis ialah pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Melaka

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.