saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 27/02/2011

Dan coklat mengalir dari ruang buncah

Panaskan awal ketuhar 350 darjah F. Dalam mangkuk adunan, baurkan mesra tepung, gula, koko, serbuk penaik, sedikit garam. Tambah minyak jagung, vanilla dan air dingin. Rampaikan semua bahan. 30 minit bakar di dalam peti ketuhar. Nikmati bau likat koko yang melebur!

Beralas bantal yang sengaja saya sisipkan haruman kesidang, tidur saya yang renyah bersama mimpi yang sering datang akhir-akhir ini - coklat mengalir dari ruang buncah. Ya, ruang yang belum pernah saya kunjung, tetapi sering saya datangi dalam mimpi. O, igauan ini separuhnya adalah diri sendiri. Berhati-hati pakaian apa yang dikenakan saat mahu tidur, kerana entah siapa yang akan kita jumpa dalam mimpi nanti!

O, likat koko yang mengalir keluar perlahan dari celah pintu dan kayu dinding. Warna perang gelap yang sedikit berkilat bila dijamah cahaya matahari. Begitu bau pekat susu bercampur vanila, membuat saya terus bangkit dari lena. Atau kental gula yang seperti menggema-gema sepanjang rongga rasa. Ah, mimpi yang aneh. Amat menyedari saya memerlukan ruang baharu untuk mulakan hari ini. Mungkin saya sudah terlalu lelah dengan monotonous. Saya mahu menikmati minum pagi di luar. Enaknya sambil minum kopi atau coklat panas, saya membaca akhbar atau majalah bulanan yang masih belum sempat diselak atau membawa kerja suntingan atau saya beralih tempat untuk menyambung surah al Quran yang saya tinggalkan sebelum lena malam tadi.

Ternyata mimpi itu adalah besi semberani. Saya sangat ditarik-tarik untuk keluar rumah pagi ini. Mimpi yang merenggut saya memandu terus di jalan yang sibuk sehingga saya membuat pusingan di selekoh yang lapang. Besi semberani menyentak-nyentak dengan keras dan saya memasuki lorong sederhana lebar yang dikepung pohon-pohon pagar. Akhirnya sebuah rumah yang selama ini menjadi besi semberani memberhentikan kereta saya. Rumah itu agak menyendiri di balik rimbun pokok-pokok; hanya papan tanda yang memberitahu bahawa ia adalah sebuah toko. Rumah Coklat.

Debar yang lama berhimpun, saya bawa bersama melangkah menghampiri aroma yang sekali lagi menjadi besi semberani. Oh, inilah dia. Saya memerhati satu persatu meja dan kerusi kayu bercat putih yang disusun sepanjang jalan masuk ke pintu kaca, juga berbingkai kotak putih dengan ikatan langsir berenda di sebelah dalam. Warna putih yang cantik dipadankan dengan merah saga, hangat menyambut tetamu yang datang. Aroma manis mengapung-apung dan sangat-sangat menggurih.

Saya melangkah lawang yang rupanya akan berbunyi loceng setiap kali dilewati. Saya menyangka tuan punya toko ini akan menyambut saya di kotak pembayaran atau tiba-tiba muncul di celah aroma yang terlalu saya tahu. Saya bayangkan susuk wanita berbadan rendang atau lelaki Chef at Home yang akan memperkenalkan dirinya. Saat menanti itu sehingga saya sempat membelek nama-nama coklat yang memenjarakan mata. Memujuk Teja.

"Memujuk Teja. Melerai resah. Berikhlas hati. Merelakan takdir. Reda. Silakan. Silakan menjamah."

Saya jadi rikuh.

Coklat beracuan daun sirih saya masukkan ke mulut. Sangat tahu adab menghargai coklat, tidak sekali-kali menggigit atau mengunyah. Ia saya biarkan lama, menikmati saat ia mencair, seperti aromanya yang sangat mendorong, manis yang bukan gula, lalu gemalainya ia melepasi tenggorok. Ah, saat perut masih kosong, memang itulah ketikanya coklat sangat bagus untuk diraikan. Untuk jurus ini, saya seperti diberikan daun sirih berbalut mantera buat melupakan segala kesengsaraan. Saya membuang segala kepahitan yang melekat dengannya seribu macam keangkuhan, kebiadaban dan kedunguan yang saya depani dalam hidup. Saya memadamkan segala kehitaman yang ditemukan pada wajah manusia yang saya jumpa. O, Memujuk Teja! Ia benar-benar mengamankan sengsara yang bersarang lama! Seusai cairan ajaib ini hilang tapi berbaki dalam nikmatnya, saya mahu berikhlas hati. Saya mahu merelakan. Saya mahu menerima segala kelemahan dalam diri manusia lain apatah lagi dalam diri sendiri.

"Serotonin itu memperlepaskan kejernihan, baik sangka kita dalam melihat hidup."

Beralas warna

Ternyata dia perempuan juita. Perempuan separuh umur yang indah. Bibirnya beralas warna teluki. Parasnya Melayu, bersama cahaya yang menyedarkan saya akan keesaan Tuhan yang Maha Menjadikan. O, inikah cinta pandang pertama? Saya seperti pernah melihat dia mengisi coklat memenuhi acuan pelbagai bucu dan bergaris. Coklat likat keluar dari perut piping bag. Enceran yang mendebarkan. Coklat asli. Adunan gula, susu, lemak coklat, minyak sayuran. Berselang seli ditabur aneka kacang dan warna. Dari badam atau kemiri atau gajus. Atau tidak jarang juga dibaur zabib. Ketika yang lain, diasingkan juga jenis-jenis yang khusus.

Dia seperti Coenraad Van Houten atau Henri Nestle atau Rudolphe Lindt atau Milton Hershey yang banyak menjelmakan cokelat dalam bentuk-bentuk dari riwayat dan sejarah. Hingga selesai kerja di meja coklat, saya seperti memerhatikan dia sangat tertib membersihkan dapur dan akhir sekali membersihkan diri sebelum membawa cerita dia seterusnya sebagai pembuat coklat ke ruang mimpi. Atau waktu itulah sebenarnya dia membawa sengsara banyak orang ke ruang mimpi, ruang buncah yang mengalirkan coklat keluar lewat dinding dan pintu dan jendela. Mimpi yang sama saya igaukan. Kami selama ini ternyata bertemu dalam mimpi dan hanya sekarang kami saling berhadapan.

"Bukankah kehidupan seperti sekotak penuh coklat dan kita tidak tahu coklat yang bagaimana bentuknya dan jenis apa yang kita akan terima." Dia mengulang pula dialog Forrest yang banyak berlari dalam hidup. Atau sayakah itu yang mahu sahaja berlari apabila setiap saat bertemu dengan manusia yang menyarung pelbagai topeng. Dan sarung itu boleh ditukar-tukar. Sarung muka yang sentiasa ada di kantung baju. Ia mudah disimpan, diganti dan dikenakan dalam keadaan-keadaan tertentu. Saya mahu berlari dan berlari daripada topeng-topeng itu kerana ia sangat mengusir kepercayaan yang saya sediakan. Nantinya saya hanya mempercayai Tuhan dan diri sendiri. Atau nantinya kepercayaan itu hanya buat Tuhan kerana kadangkala saya menyedari bahawa diri sendiri pun pernah berdusta.

"Endokrin sangat misteri dan penuh rahsia. Ia seperti menyihir untuk kita jadi riang, melempar jauh segala rawan. Kita jadi muda di muka dan jiwa."

Ya, itulah dalilnya. Parasnya indah walau saya percaya usianya hampir mencecah separuh abad. Sebagai pembuat coklat dan penikmatnya, saya percaya dia dikerumuni seribu rasa kebahagiaan. Ya, bukankah kata seorang sasterawan, mata selalu tulus? Ya, walau saya tahu dalam beberapa alas kebahagiaannya, ada terhimpit luka, pedih, rebak dan segala yang membuat dia menangis.

"Saya selalu mengutip serpihan sejarah. Saya melihat sejarah itu tersusun daripada kata-kata yang benar. Bukankah kebenaran itu sejarah? Babad yang pernah dianggap mitos, dongengan dan hanya dicipta untuk dipercaya. Namun itulah ramuan coklat saya. Sesungguhnya, sejarah!

Lukisan disangkut di beberapa muka dinding. Ada sekeping yang kelihatan sepuh dan konyol tentang Olmec yang dipercayai pertama kali mengguna kakawa iaitu koko hari ini. Di sebelahnya ada lakaran perihal Maya yang juga menggunakan coklat. Olmec dan Maya yang pernah menjadikan kakawa sebagai matawang. Di satu penjuru ada lakaran memanjang Aztec yang pernah mewarisi tradisi coklat. Sejarah, riwayat atau babad. Bukankah itu semua yang mengilhamkan perempuan juita di hadapan saya untuk menjadi pencipta coklat termasyhur di daerah kami.

Bertemu

Lewat mimpi kami entah bilangan yang ke berapa, saya bertemu juga dengan seorang lelaki. Dia seorang arkitek kewangan atau gelaran lainnya ialah ahli matematik kemasyarakatan yang melihat kesuraman merata-rata. Lelaki berlatar bidang pengajian sains aktuari yang gemar bermain catur maya atau kesukaannya meleraikan kekusutan, ternyata tidak terkecuali daripada menanggung kehibaan seluruh hidup apabila dia mendepani saat ibunya kembali bertemu Pencipta. Titik akhir adalah ruang anak dan ibu sahaja. Bagaimana untuk sekian lima tahun mereka sekeluarga saling berteka teki, bila saat sebenar ibu yang menderita dengan kesakitannya akan pergi meninggalkan kesementaraan yang berbaki. Bagaimana lelaki ini merasakan serba kesunyian yang tiba-tiba menjadi sejarah.

Untuk lelaki aktuari itu perempuan juita menyediakan coklat Redha Pudina. Dengan perisa segar mengikis rasa bersalah kerana perempuan yang pernah menumpangkan seluruh sembilan bulan kehidupan buatnya, pergi tanpa pulang lagi saat dia di samping. Pudina yang mengaman. Membersih. Menawar harapan. Adakah lelaki itu keringanan daripada rasa berdosa? Atau dia segera menginsafi surah al-Baqarah:155-157 yang sangat memujuk seribu kesedihan, kami akan berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, mereka yang ditimpa musibah, mereka mengucapkan "inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun". Merekalah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat Tuhan mereka dan mendapat petunjuk.

Dalam mimpi minggu lalu, saya ditemukan pula dengan lelaki yang banyak mengarang cerita dalam hidupnya yang hampir satu abad. Suatu pagi seluruh negara diterpa muka hadapan akhbar dengan fotonya yang sedang menyeka air mata. Ada pihak yang mencurigai ketulusan dan niat alami dia meriwayatkan beberapa kisah bangsanya. Bahawasanya segala di luar duga. Bagaimana perihal kesusasteraan yang selama ini tidak membawa apa-apa pengertian kepada menteri sehinggalah kepada tukang masak hotel apabila kulit buku itu tagged di mana-mana laman facebook. Maka banyak yang memesan buku itu dari penerbit. Untuk ehwal sasterawan ini, perempuan juita membekalkan beberapa coklat berperasa tertentu untuk ahli keluarga merawat perasaan. Asasnya adalah tujuh puluh peratus coklat asli, coklat hitam dengan sumber alami protein, magnesium, zink dan besi.

{coklat asli dengan inti krim pudina} untuk kecewa {cokelat asli dengan inti krim atau ceri} untuk masyghul dan gobar

{cokelat asli, krim susu dengan badam sangar} untuk amarah

{cokelat asli dengan kemiri} untuk lelah

Dalam mimpi terkini iaitu malam tadi, saya bertemu sendiri dengan perempuan juita yang selalu menyarung ekspresi girang. Begitulah setiap pagi baru, ketika dia membuka lemari pakaian, dia akan memilih ekspresi apa yang mahu disarung. Di hadapan lemari itu dia ditemani sejarah zaman anak kecil seperti yang pernah dicatat Elif Shafak tentang Shams al Tabriz. Ketika kecil, saya melihat Tuhan. Saya melihat malaikat. Saya menyaksikan misteri dunia, siapa yang berada di atas dan sebaliknya. Saya fikir semua orang punya mata seperti saya. Sengsaranya, saya lalu menyedari ia tidak begitu sama sekali.

Saya kembali duduk di ruang kerja.

Bersama di atas meja manuskrip yang perlu saya nilai, paling hampir adalah al Quran yang menanti untuk dilanjutkan bacaannya. Saya menempatkan sekotak coklat pelbagai rasa dengan ikatan reben yang manis, di samping komputer kecil. Perempuan juita sempat menghulurnya saat saya mahu meninggalkan Rumah Coklat. Saya melihat catatan kecil bertulis tangan yang rapi, jumpa nanti lewat mimpi.

Saya mengilas semula narasi lelaki aktuari dan sasterawan hampir satu abad itu. Bukankah kesusasteraan milik mana-mana bangsa merupakan kuasa untuk memberikan kepada manusianya mata ketiga, itu juga antara kata Llosa. Ternyata kurniaan itu memungkinkan manusia melihat ketidakcukupan termasuk kepercayaan, keadilan, kehormatan diri atau kerendahan hati. Coklat yang kian likat mengalir sangat perlahan, keluar dari celah pintu ke arah jalan masuk di sepanjang pohon pagar yang mengepungi. Dan bayangkanlah bau air lebah yang melekat di serata tempat. Perempuan juita ternyata masih mencari-cari ramuan coklat asli untuk dirinya sendiri. Tahukah saudara, dalam mimpi kami, saya pernah berjumpa dengan beberapa keping buncah yang menimpanya. Antara yang membuncahkan adalah narasi di sebalik Rumah Cokelat. Mengapa Rumah Cokelat. Siapakah perempuan juita yang masih saya tidak tahu namanya walau kami berkali-kali bertemu dalam mimpi dan saya masih belum berkesempatan bertanya tadi. Siapakah perempuan juita yang sering mahukan orang lain memadam segala dukacita, mahukan orang lain bahagia, punya ghairah untuk meneruskan hidup. Perempuan juita yang belum pernah ditemui pelanggan yang datang ke tokonya, kecuali saya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.