saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 02/03/2011

BlackBerry, McLuhan, Mahathir dan Wawasan 2020

SEMASA kolum ini ditulis tiba-tiba telefon BlackBerry saya, yang kononnya telefon pintar dan ditakuti oleh ketua-ketua kerajaan Arab, crash. Crash bagi kapal terbang bermakna terhempas dan mungkin semua orang akan mati. Bagi telefon, ia membabitkan sistem aplikasinya yang crash.

Pelbagai cara dilakukan untuk memulihkannya, namun setakat ini tidak berjaya. Permukaannya berwarna putih dengan tulisan kecil yang tertulis App Error 523.

Yang paling membimbangkan saya ialah data-data, imej-imej dan hampir 2,000 nombor telefon (konteks urusan kerja dan kenalan) yang berada dalam telefon itu, mungkin akan hilang terus. Silap saya kerana alpa untuk membuat backup dalam PC atau sync ke dalam e-mel. Namun, usaha menyelamatkannya sedang diusahakan oleh juruteknik Celcom, Fauzi di Blue Cube Sunway Pyramid.

Itulah teknologi. Jangan letak 100 peratus harapan dan kepercayaan kepada teknologi. Pendek kata, jangan letak 100 peratus harapan kepada BlackBerry, yang sebelum ini saya anggap sebagai pejabat bergerak.

BlackBerry yang ditakuti oleh beberapa negara Arab, sebelum revolusi Dataran Tahrir di Mesir, kerana keupayaannya melancarkan Twitter, Facebook dan e-mel berbau hasutan dengan cepat, pun mempunyai kelemahan teknikal yang cukup ketara. Mohon Celcom yang membawa masuk telefon itu melalui pakej kontraknya perlu telus dalam menyatakan kebarangkalian crash yang boleh berlaku kepada telefon itu. Melayari carian Internet, banyak pengguna yang komplen mengenai Error 523 itu. Itu Celcom kena nyatakanlah. Peringatkan melalui sms reminder supaya para penggunanya kerap bekap (backup) data-data yang terdapat dalam sistem telefon itu.

BAGI Malaysia, teknologi telekomunikasi dan ICT tidaklah terkebelakang berbanding dengan negara-negara maju. Kini teknologi tablet (komputer seakan dan bersaiz buku tulis sekolah) yang dipelopori oleh iPad mulai menguasai pasaran. Menurut majalah PCWorld, jika di China 2010 ialah tahun Harimau, 2010 juga ialah tahun bagi komputer Tablet. Pergilah ke pasar-pasar komputer di seluruh negara sekarang, banyak tablet keluaran Korea Selatan seperti Galaxy Tab turut mendapat sambutan dan menguasai pasaran.

Korea Selatan, semasa kebangkitan Harimau Asia sekitar 10 tahun dulu adalah setara Malaysia. Kini, ia melonjak jauh melepasi negara kita. Pasa masa itu (semasa kepemimpinan PM Tun Mahathir) Malaysia berada setara dengan Korea Selatan, Hong Kong dan Singapura.

Tapi hari ini, kata Datuk Salleh Majid dalam forum 20 tahun Wawasan 2020 di Astro Awani malam kelmarin mengakui, kita sudah ketinggalan setelah berlaku perubahan polisi yang ketara selepas era Tun Dr. Mahathir.

‘‘Semuanya bergantung kepada dasar kerajaan semasa,” kata penganalisis kewangan itu dalam forum tersebut.

Semasa menghadiri forum di UiTM baru-baru ini, saya ada memberitahu bahawa Tun Dr. Mahathir adalah setaraf teoris komunikasi Marshall McLuhan (1911-1980) yang boleh membuat ramalan mengenai apa akan berlaku kepada teknologi komunikasi akan datang.

Pada awal 60-an, McLuhan melalui kajian impirikalnya meramalkan akan wujud apa yang dikenali sebagai ‘otak elektronik’ - yang 30 tahun kemudiannya wujud kotak-kotak komputer yang berada di setiap rumah kita hari ini. McLuhan percaya bahawa dunia akan menjadi sebuah perkampungan sosial. Memang benar, komputer kini mendekatkan kita secara global.

Bagi McLuhan, mesej itu tidak penting, tapi yang penting ialah medium atau perkakasan yang diwujudkan. Dalam bukunya Understanding Media: The Extension of Man (1964) McLuhan berkata, medium itulah mesej. Benar jika tiada medium, maka tiadalah mesej atau khabar berita yang mahu disampaikan. Jika tiada mulut atau bisu, tangan ialah medium komunikasinya.

Di zaman Orang Asli Amerika dulu, mereka menggunakan asap untuk menghantar mesej ke tempat yang jauh. Asap ialah medium. Asap itu kini diganti dengan iPhone, BlackBerry, iPad dan pelbagai lagi medium komunikasi yang canggih.

Dr. Mahathir telah melihat jauh mengenai perkembangan ini. Seperti juga McLuhan yang meramalkan mengenai teknologi komputer yang bakal berlaku, maka Dr. Mahathir meramalkan bahawa teknologi ICT akan berlaku dengan rancaknya dalam tempoh jauh ke hadapan di Malaysia.

Maka itu, Dr. Mahathir pada 1996 mengilhamkan Koridor Raya Multimedia (MSC) di Cyberjaya - bersebelahan dengan kompleks kerajaan baru Malaysia, Putrajaya. Cyberjaya dilengkapi dengan kemudahan asas serba canggih, kemahiran dan peluang berteraskan teknologi informasi dan komunikasi (ICT). Banyak syarikat yang berebut-rebut mahukan status MSC, kerana melalui status itu, syarikatnya akan maju dan mudah dalam urusan niaga. Semua sekolah dibekalkan dengan komputer-komputer. Sehinggakan di masjid pun komputer diletakkan. Golongan yang tua pun sudah kenal dengan e-mel dan Internet. Hari ini generasi anak-anak kita lebih arif mengenai medium ICT.

Malaysia cukup dihormati dan dicemburui oleh banyak negara jiran. Panel bijak pandai dunia (IAP) dalam bidang ICT seluruh dunia termasuk Bill Gates dijemput datang bagi memberi buah fikiran dan membantu Malaysia. Gates, tidak lokek datang ke Malaysia.

Semua yang dilakukan oleh Dr. Mahathir ialah sebagai pelengkap dan penggerak kepada merealisasi wawasan negara 2020. Menjelang 2020, realitinya Malaysia akan menjadi sebuah negara maju. Sama taraf seperti Singapura, Amerika, Jepun, Korea Selatan dan lain-lain.

KINI hanya tinggal sembilan tahun lagi menjelang 2020. Malangnya, kita terpaksa bergelut dengan urusan politik dan politiking yang tidak habis-habis. Orang Melayu masih bercakap mengenai bangsanya, orang Cina yang sudah kaya dan berjaya kini mengalih tumpuan kepada penguasaan politik pula, dan orang India lagi hebat panas barannya.

Masing-masing masih bergelut dengan soal asas - asas ke(bangsa)an yang sepatutnya telah pun selesai dibincangkan. Konsep 1Malaysia yang dibawa oleh Najib Tun Razak turut diomok-omokkan.

Banyak perkara yang sepatutnya menjurus ke hasrat negara maju 2020 itu tidak dinyatakan dengan tegas dan jelas lagi di peringkat nasional. Memang betul ada program transformasi negara dalam pelbagai bidang ke arah itu, tapi semangatnya kurang.

Semangat Wawasan 2020, yang diasaskan pada 1991, harus diperhangatkan kembali. Jika perlu tiupkan semula slogan-slogan Wawasan 2020 ke merata tempat. Semangat rakyat Malaysia harus diperkukuhkan kembali. Jangan biarkan mereka fikir yang bukan-bukan dan merewang-rewang. Seluruh rakyat Malaysia harus disatukan kepada matlamat menuju negara maju 2020.

Asas infrastruktur moden yang telah dibina sepanjang pemerintahan Dr. Mahathir harus diteruskan. Jika Korea boleh menyaingi Amerika dalam mengeluarkan teknologi tablet PC, dan medium-medium telekomunikasi yang canggih, mengapa tidak kita?

Kita harus fokus. Sembilan tahun tidak lama lagi, 20 tahun sudah pun berlalu. Jika kita lihat kepada sembilan cabaran yang dinyatakan oleh Wawasan 2020 itu, masih bolehkah kita mencapainya? Setakat ini hanya Melaka dan Selangor sahaja yang diiktiraf negeri maju. Apa jadi dengan wawasan berbelas negeri lain?

Melihat kepada perkembangan sekarang saya amat bimbang. Saya bimbang apabila melihat ada lagi orang yang berdemo hanya kerana sebuah novel dan 1,000 mat rempit Melayu ditangkap membuat kacau yang tiada faedahnya di Pulau Pinang. Jika itulah cabarannya, ke mana kita akan tuju?

Bagi saya, Wawasan 2020 itulah 1Malaysia dan semua tumpuan harus ke arah itu. Ia mempunyai matlamat murni dalam kerangka bukan sahaja bidang ekonomi, tetapi juga bidang-bidang politik, nilai sosial, mutu hidup, maruah bangsa, kerohanian, psikologi, perpaduan nasional dan aspek keyakinan diri.

Marilah kita fokuskan perhatian kepada kejayaan gagasan itu. Sembilan tahun lagi tidak lama.

Jangan jadikan Wawasan 2020 dan MSC seperti BlackBerry saya – canggih, bijak tapi mudah crash!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.