saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 03/03/2011

Bukan filem, tetapi pengalaman


SELEPAS kejayaan filem Slumdog Millionaire, Danny Boyle dan Simon Beaufoy (kanan) menampilkan kecemerlangan mereka menerusi filem 127 Hours.


SESERAM mana pun sesebuah filem, jarang sekali saya menutup mata dengan tangan ketika menonton. Walaupun filem itu seganas Hostel (2005) atau siri Saw (2004-2010), kerana saya tahu itu sekadar fiksyen yang memang dibikin untuk menakut-nakutkan.

Namun, 127 Hours buat saya resah gelisah. Saya seperti mahu melajukan setiap babak supaya filem cepat habis, agar penderitaan yang dilalui Aron Ralston segera berakhir.

Tidak pernah saya menjerit sekuat hati akibat takut, ngilu dan hampir sukar bernafas. 127 Hours bukan sebuah filem, sebaliknya satu pengalaman.

Danny Boyle pernah merumuskan naskhah ini sebagai filem aksi di mana heronya tidak bergerak. Dia tidak bercakap bohong. Untuk menyampaikan cerita tentang seorang lelaki yang tersekat di satu tempat dalam satu tempoh, bukanlah perkara yang mudah.

Boyle dan penulis lakon layar Simon Beaufoy (juga penulis lakon layar Slumdog Millionaire, 2008) menggalas cabaran itu dengan cukup baik. Nadi dan nyawa filem ini digerakkan dengan bantuan suntingan yang kinetik, sinematografi yang cantik, skor muzik yang mengusik dan stail penulisan yang bijak.

Sebelum menonton, saya tertanya apa yang mahu diceritakan sepanjang dua jam, jika plotnya setakat seorang lelaki yang tangannya tersepit di celah batu.

Di sinilah terletaknya kepintaran Boyle dan pasukannya dalam mengolah setiap detik dan mengambil kira setiap perincian perkara yang sekecil-kecilnya.

Sepanjang 127 jam tersepit, Ralston mengimbas semula kehidupannya. Skrip yang dinamik berjaya membawa penonton masuk ke dalam fikiran lelaki itu; melihat dan merasai saat-saatnya bersama keluarga, saat-saat dia 'mengabaikan' keluarga dan saat-saat kecewa bersama bekas teman wanita.

Filem ini juga membuatkan penonton percaya dengan setiap halusinasi Ralston, yang membayangkan dia sedang berpesta atau sedang meneguk minuman sejuk ketika kepanasan.

127 Hours berlaku sangat jujur terhadap fitrah manusia. Semua orang akan melakukan perkara serupa jika kita berada di tempatnya.

Keperitan Ralston digambarkan secara fizikal dan psikologi. Filem ini bukan hanya bercerita bagaimana dia mahu terus hidup dan melepaskan diri, tetapi satu metafora tentang kesunyian dan makna kehidupan bagi seseorang individu.

Tanpa James Franco, 127 Hours tidak akan menjadi. Franco mengadunkan dirinya dalam suasana serba kelam dan sempit di celah rekahan gunung. 'Pelakon pembantunya' ialah kamera digital, pisau lipat buatan China, topi berlampu, tali dan beberapa perkakas memanjat gunung yang lain.

Kerja kamera filem ini sangat efektif dalam merakamkan setiap mimik wajah dan bahasa tubuh Franco. Penonton dapat menyaksikan pola perubahan dirinya yang kepenatan serta kebimbangannya berdepan dalam situasi antara hidup dan mati.

Seperti Tom Hanks dalam Cast Away (2000), Franco memandu filem ini sendirian pada setiap sudut. Sama ada ketika berjenaka mahupun serius, personanya berjaya mengekalkan realisme dan tenaga persembahan. Penonton tidak mahu melepaskan pandangan dalam apa jua keadaan dan cuba meneroka evolusi perasaannya.

Justeru, saya terpaksa menahan nafas, terutamanya pada babak-babak terakhir ketika dia nekad memotong tangannya sendiri. Bermula dengan mematahkan tulang dan menghiris kulit, ini bukanlah satu peristiwa yang selesa untuk disaksikan, apatah lagi ia ditunjukkan dengan begitu terperinci.

Emosi Franco begitu tulen, sehingga saya mengharapkan dia yang menang Oscar untuk Pelakon Lelaki Terbaik. Tanpa ragu, ini adalah persembahannya yang terbaik, paling ringkas dan tidak akan dilupakan.

Sebagai pengarah, Boyle membawakan perspektif yang pelbagai dalam menilai sebuah kisah tentang pendaki gunung yang kudung.

Dia tidak mencuba untuk menjadikan naskhah ini sebuah epik yang monumental, seperti kebanyakan filem Amerika lain yang terlalu menonjolkan sifat tipikal hero mereka. Inilah kejayaan terbesar 127 Hours.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:18
Asar 4:44
Maghrib 7:27
Isyak 8:43



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.