saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 14/03/2011

Kemelut MIED boleh ganggu ‘pemulihan’ MIC

SUDAH lama tidak mendengar khabar berita mengenai bekas orang No. 2 MIC, S. Subramaniam. Sejak S. Samy Vellu mengumumkan persaraannya sebagai Presiden MIC pada 6 Disember 2010, Subramaniam lebih banyak mendiamkan diri, mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung peralihan kuasa daripada Samy Vellu kepada G. Palanivel.

Mungkin beliau mahu melihat sejauh mana kepimpinan MIC berubah di bawah Palanivel yang pernah mencabar kedudukannya sebagai timbalan presiden dan memenangi jawatan itu dengan sokongan Samy Vellu. Subramaniam mahu melihat usaha Palanivel untuk mendemokrasikan, meliberalkan dan memantapkan semula MIC. Mungkin juga Subramaniam mahu melihat sejauhmana tidak berlaku campur tangan oleh bekas Presiden dalam urusan parti selepas Samy Vellu berpindah pejabat ke MIED di ibu pejabat parti. Pada masa yang sama bekas Presiden itu diharap dapat menumpukan perhatian kepada jawatan Duta bertaraf menteri ke rantau Asia Selatan.

Bagaimanapun dalam diam, Subramaniam tetap memerhatikan perkembangan dalam MIC termasuk pelbagai badan yang ditubuhkan oleh parti. Prihatin dengan perkembangan yang berlaku, Subramaniam muncul berhubung isu Institut Kemajuan Pendidikan MIC (MIED). Semuanya berpunca daripada tindakan bekas Presiden MIC, Samy Vellu yang masih mempengerusikan badan tersebut mahu membawa masuk 10 ahli baru. Tidak pasti sama ada tindakan itu mahu memantapkan MIED atau mempunyai tujuan lain.

Subramaniam bersama bekas Ketua Pemuda MIC, S. A. Vigneswaran dan Ahli Jawatankuasa Pusat (CWC) MIC, S. Ganesan berjaya mendapatkan kebenaran injunksi sementara menghalang tindakan Samy Vellu untuk menambah keahlian MIED.

Keputusan itu diperoleh kira-kira sejam sebelum Lembaga Pemegang Amanah MIED mengadakan mesyuarat bagi menambah keahlian itu.

Dan dalam tempoh 48 jam selepas keputusan mahkamah itu, Samy Vellu dan tujuh pemegang amanah lain ‘tewas’ pula dalam permohonan agar Mahkamah Rayuan mengetepikan perintah Mahkamah Rendah yang mengarahkan mereka membekalkan dokumen-dokumen yang relevan kepada sayap pendidikan MIC itu berhubung kes sivil RM100 juta - yang difailkan oleh Vigneswaran.

Dua isu ini dilihat mampu mencetuskan kontroversi, persepsi dan gambaran negatif terhadap kepimpinan baru MIC. Ia juga boleh menjejaskan usaha dan kerja kuat parti untuk menarik balik sokongan masyarakat India menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13. Isu seperti ini tidak seharusnya timbul sama sekali.

Ramai yang tertanya-tanya siapa yang berkuasa terhadap MIED.

Jika CWC yang menentukan hala tuju MIED, maka ada pemerhati politik melihat supaya Samy Vellu perlu merujuk kepada CWC sebelum sebarang keputusan dibuat. Beliau perlu akur realiti politik bahawa dirinya bukan lagi Presiden MIC.

Beliau tidak boleh bertindak sebagai ‘penasihat’ MIC kerana sebelum ini pun beliau tidak mahu menjadi penasihat parti kerana ini boleh menimbulkan masalah kepada parti. Maka dalam isu MIED, ada pihak yang mahu Samy Vellu tidak bertindak sebagai ‘penasihat’ sebaliknya menyerahkan sebarang keputusan kepada CWC pimpinan Palanivel.

Bukan mahu ‘mengusir’ atau ‘menyingkirkan’ Samy Vellu tetapi adalah lebih elok jika tugas, amanah dan tanggungjawab Pengerusi MIED dikembalikan kepada Presiden MIC.

Ini amat penting kerana majoriti ahli di MIED mahupun Ahli Lembaga Pengarah dan Pemegang Amanah adalah dari kalangan pemimpin MIC. Presiden MIC perlu diberikan mandat untuk membuat perancangan tersendiri dalam MIED demi masa depan parti dan masyarakat India. Ini kerana isu pendidikan amat penting dan dekat di hati masyarakat India sehingga boleh menentukan kuasa undi.

Palanivel walaupun mempunyai tempat dalam MIED tetapi tidak boleh dilihat sekadar menjadi ‘pemerhati politik’ dalam cabang pendidikan parti itu sedangkan beliau adalah Presiden MIC. Jika MIED bermasalah maka ia sedikit sebanyak boleh menjejaskan kredibiliti Presiden. Palanivel tidak boleh dibebankan dengan masalah dalaman seperti ini disebabkan keputusan yang dibuat tidak selari dengan CWC.

Adakah jawatan Pengerusi MIED perlu diberikan kepada seseorang yang berkedudukan atau bertaraf menteri? Jika ini dipertikaikan maka memanglah Palanivel tidak mempunyai kedudukan itu. Beliau sekadar timbalan menteri tetapi sebagai Presiden, Palanivel perlu diberi pengiktirafan sewajarnya. Maka adalah lebih baik Palanivel mengetuai MIED dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap cabang pendidikan itu. Jangan biarkan Palanivel dalam dilema apabila berdepan dengan isu MIED.

Kata seorang penganalisis politik, jika isu ini tidak ditangani dengan cepat dan berkesan sudah tentu implikasinya boleh ‘merisaukan’ dan membimbangkan masa depan MIED dan MIC. Sampai bila ianya mahu dibiarkan dan disensasikan media massa khususnya di muka depan akhbar-akhbar Tamil? Akhirnya imej parti yang tercemar.

Keputusan mahkamah membenarkan permohonan injunksi menjadikan ‘klimaks politik’ dalam MIED semakin panas. Lebih-lebih lagi seperti disebut dalam mukadimah Selak ini mengenai ‘kemunculan’ semula Subramaniam ataupun lebih dikenali sebagai ‘Makkal Thalaivar’ untuk mengekang dan menyekat Samy Vellu daripada terus ‘berkuasa’ dalam MIED.

Selain isu penambahan ahli, tiga anggota MIC itu juga meminta Samy Vellu dan seorang pemegang amanah, T. Marimuthu melepaskan jawatan.

Mahkamah membenarkan injunksi ‘ad-interim’ sehingga hari ini untuk mendengar semula permohonan tersebut.

Kata Subramaniam: “Ini adalah kes dibawa oleh Vigneswaran dulu yang amat serius. Samy Vellu dan pihak-pihak yang terbabit harus berhenti menjadi pemegang amanah buat sementara. Saya bersetuju untuk menandatangani atas niat dan hasrat saya untuk menyelamatkan MIED di mana MIED mesti kekal dalam MIC.”

Menyelak kembali mengenai MIED, institusi itu merupakan komponen penting dalam parti yang ditubuhkan pada 1984 untuk membantu pendidikan masyarakat India. Pada tahun 1996, MIED menerusi MIC menubuhkan AIMST atau Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia - yang kini menjadi sebuah universiti di Kedah.

Sebelum ini sudah timbul pelbagai persoalan di mana MIED yang kini memiliki aset sebanyak RM1 bilion cuba dipisahkan dari MIC kerana tidak ada sebarang kepastian ‘hitam putih’ disebabkan Samy Vellu menguasai kepimpinan MIED.

Ada pihak mendakwa disebabkan faktor usia melibatkan Akta Syarikat, Samy Vellu ‘tertekan’ kerana perlu mendapat 75 peratus sokongan ahli MIED untuk mengekalkan kedudukan sebagai Pengerusi. Justeru, Samy Vellu, 75 cuba melakukan gerakan ‘melantik’ 10 lagi ahli MIED yang dikatakan sebagai penyokong kuatnya.

Gerakan itu dapat ‘dihidu’ anggota MIC menyebabkan isu ini menjadi panas. Bekas pemimpin Gerakan Anti-Samy (GAS), V. Mugilan yang juga bekas Naib Ketua Pemuda MIC Kebangsaan melancarkan kempen Save MIED di seluruh negara.

“Samy Vellu boleh menjadi ahli MIED. Kami tidak ada masalah tetapi bukan sebagai Pengerusi. Isu ini perlu diselesaikan segera dan saya harap Perdana Menteri dapat masuk campur kerana isu ini boleh melemahkan lagi imej MIC. Satu-satunya cara untuk menyelesaikan kemelut MIED ialah Samy Vellu berundur dari jawatan Pengerusi MIED,” kata Mugilan.

Palanivel pula dikatakan amat serius mahu memastikan MIED kekal sebagai komponen penting MIC dan pelantikan ahli tambahan dalam MIED pada masa akan datang perlu mendapat persetujuan, kuasa dan amanah daripada CWC.

Pindaan perlembagaan perlu disegerakan untuk menyelamatkan MIED supaya tidak dijadikan bahan agenda politik kumpulan tertentu.

Pada masa yang sama, MIED perlu melantik ahli-ahli yang banyak menyumbang ke arah pembinaan Universiti AIMST, bukan sekadar melantik pihak yang menyebelahi kumpulan tertentu bagi memperkukuhkan kedudukan politik dan jawatan.

MIED perlu diperkasa, diperkukuh dan diperhebatkan lagi fungsinya. Pengaruh MIED berupaya melakukan transformasi pendidikan besar di negara ini. Misi dan visi MIED hanya dapat dicapai sekiranya ia sehaluan dengan kepimpinan tertinggi. Campur tangan dan ‘kacau daun’ pihak ketiga perlu dibendung.

Jangan sesekali isu MIED mencetuskan satu lagi sentimen marah, bosan dan menyampah di kalangan masyarakat India. MIC dan MIED perlu bergerak ‘seiring’.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:59
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.