saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 15/03/2011

Perjalanan Ramli Sarip


RAMLI Sarip teguh sebagai penyanyi yang tidak ditelan zaman.


SELAMA 40 tahun insan seni bernama Ramli Sarip mendambakan diri dalam industri hiburan biarpun dia bukan anak Malaysia.

Dilahirkan di Singapura pada 15 Oktober 1952, insan berzodiak Libra ini memulakan langkahnya untuk menjadi penyanyi bersama-sama kumpulan Sweet Charity.

Langkah pertama bersama Sweet Charity pada tahun 1979 menerusi album sulung, bukan hanya sekadar satu pengenalan muzik genre rock, slow rock atau balada rock kepada peminat.

Sebaliknya, album demi album yang dilahirkan bersama Sweet Charity seperti Pelarian (1980), Sejuta Wajah (1981), Penunggu (1982) Batu (1983), Koleksi (1984) dan Berita Gempa (1985) terus mengulit halwa telinga peminat di tanah air.

Kekuatan lagu-lagu dendangan Ramli yang menjadi ikon irama rock kerana suaranya yang parau dan seksi itu membuatkan ramai di kalangan kita yang membesar dengan lagu-lagu dari kumpulan Sweet Charity.

Langkah yang diatur oleh Ramli yang bergelar Papa Rock tidak pernah terhenti sebaliknya terus maju sehingga melangkau ke alaf milenium.

Setelah melahirkan tujuh album bersama kumpulan tersebut, Ramli mengorak langkah sebagai penyanyi solo.

Mungkin merasakan sudah tiba masanya, Ramli mengetengahkan dirinya sebagai seorang penghibur, 12 album solo telah dilahirkannya sehingga tahun 2002, Kalam Kesturi.

Kehebatan Ramli menghiburkan peminat tidak pernah terhenti sebaliknya apabila dia berpadu suara bersama Khaty Ibrahim (Datuk Khadijah Ibrahim) menerusi lagu Doa Buat Kekasih, Ramli adalah lagenda rock yang masih bertenaga setiap kali mengadakan persembahan.

Ramai yang tertanya-tanya, setelah sekian lama menyanyi dan menghiburkan peminta di atas pentas, apakah yang dicari oleh lelaki berimej rambut panjang itu?

Tidakkah dia pernah merasa puas dengan pencapaian yang telah dikecapinya selama 40 tahun dalam bidang seni?

Lontaran soalan itu diajukan kepada Ramli ketika berpeluang bersua secara empat mata dengannya baru-baru ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Biarpun nawaitu asal pertemuan itu adalah untuk menghebahkan kepada para peminat Papa Rock yang dia akan mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha di Dewan Merdeka, PWTC pada 20 dan 21 April ini.

Namun tidak sah jika Hits tidak mendekati Ramli untuk berbual sedikit panjang dengannya yang sememangnya tidak pernah berubah apabila menyusun butir bicaranya.

Mesra membahasakan diri sebagai abang dan memanggil wartawan hiburan dengan panggilan adik, Ramli berkias apabila diajukan soalan, apakah pencarian yang masih belum diketemu oleh Ramli dalam muzik yang diperjuangkannya itu.

Kerinduan datang sendiri

"Industri muzik dari kaca mata saya umpama satu alam yang menuntut kita supaya duduk, lihat, pandang dan dengar.

"Maka itulah, tidak banyak yang saya nak gusarkan tentang perjalanan muzik yang saya bawa dari dulu sehingga hari ini dan akan datang.

"Bagi saya, segala yang berlaku adalah satu kehidupan yang kita kena lalui... Ada pasang surut, ada timbul dan tenggelam.

"Hanya mereka yang tidak dapat mencapai apa yang tersimpan dan terselit di dalam hati, dihimpit dengan kegusaran.

"Hanya mereka yang masih belum tercapai apa yang ingin dicapai, akan merasakan perasaan itu," katanya memulakan perbualan.

Ramli yang memiliki 12 album solo, bermula pada tahun 1985, antaranya, Ramli Sarip, Bukan Kerana Nama (1986) dan Perjalanan Hidup (1987) berkata, kepuasan akan datang apabila perasaan bersyukur lahir dalam hati.

Oleh itu, katanya, bukan mahu bernada sinis terhadap sesiapa pun, cuma kata Ramli, mereka yang tidak tahu mengucap syukur sahaja yang terus-terusan merasa tidak puas dengan pencapaian.

Kata pelantun lagu berhantu, Kamelia ini, dia menyedari ada kalanya peminat bertanya, mengapakah dia senyap tanpa publisiti di dada akhbar atau majalah.

Jawapan yang diberikan oleh pemilik album Istilah (1988) ini cukup mudah dan membawa makna yang tersirat.

"Dulu, rakan-rakan seperjuangan diterima peminat dan mereka, seperti juga saya, pernah merasai zaman kegemilangan kerana ketika itu, usia juga masih muda.

"Apabila tiba saat dan ketika kita merasakan tidak diingati, kita akan terasa seperti rendah diri sedangkan perasaan itu tidak seharusnya ada.

"Percaya dengan apa yang kita lakukan, yakin dengan apa yang kita genggam, maka jalanlah dengan elok dalam ruang industri muzik ini.

"Apabila kita tidak selalu bertemu, pasti akan ada kerinduan. Kerinduan itulah yang membuatkan kita bertemu sekali lagi.

"Seperti adik (Hits) dengan abang yang sudah lama tidak bertemu tetapi tetap ada rasa kerinduan dalam hati.

"Hari ini, kita bertemu dan pertemuan kita adalah kerana rasa rindu yang sentiasa ada. Itulah yang saya katakan kepada diri dengan peminat kerana di antara kami, selalu ada rasa rindu," ujarnya.

Kata Ramli, bukan dia seorang sahaja yang memperjuangkan genre rock supaya irama itu terus kekal dalam genre-genre muzik lain.

Sebaliknya ramai lagi rakan-rakan artis yang tampil sebagai penyanyi rock, turut memperjuangkan irama itu supaya tidak pupus ditelan zaman.

Bagaimanapun, kata Ramli, hidup atau matinya sesuatu irama atau muzik itu terletak di tangan peminat.

"Inilah elemen kuasa rakyat kerana kuasa sebenar, ada di tangan peminat. Golongan ini juga pemegang kuasa beli kerana album seseorang artis itu, mungkin dibeli atau tidak oleh peminat.

"Kuasa rakyat (people's power) tidak hanya berlaku kepada artis tetapi ia turut terjadi ke atas ahli politik sama ada jatuh atau bangun mereka itu dalam bidang politik.

"Justeru, prinsip diri perlu mudah iaitu kita buatlah yang terbaik kerana benih baik yang disemai itu, akan memberikan buah atau hasil yang baik," kata Ramli sambil melemparkan satu pandangan yang jauh.

Melihatkan perubahan yang berlaku dalam industri muzik tanah air, Ramli beranggapan, muzik kolaborasi mampu memanjangkan jangka hayat seseorang penyanyi atau genre muzik pilihan.

Maka itulah, katanya, setiap artis yang lahir untuk menjadi seorang penyanyi, harus bijak dalam membina masa depan mereka.

Katanya, pengalaman mendewasakan dan juga mematangkan kita semua.

Kematangan dan kedewasaan seseorang itu, jelas Ramli, boleh diukur dengan pelbagai cara. Begitu juga dengan kematangan yang ada dalam arus muzik tempatan.

"Saya bermula dengan kumpulan Sweet Charity. Ketika itu, kita menyanyi di bawah-bawah khemah orang kahwin.

"Pernah saya hadir pada satu majlis perkahwinan. Waktu itu, ada satu grup yang menghiburkan hadirin.

"Melihatkan kehadiran saya, penyanyi itu menyanyi dan terus menyanyi tanpa merasai, apakah yang dinyanyikannya.

"Nyanyian sepatutnya masuk ke dalam jiwa, tanamkan perasaan supaya mampu menembusi anak-anak muda kerana itu lebih meninggalkan kesan," katanya yang sememangnya benar kerana lagu-lagu seperti Teratai, Sejuta Wajah dan Bukan Kerana Nama masih membuai perasaan jika mendengarnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.