saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 22/03/2011

Man cuti tiga bulan demi Raja Lawak


Gelagat Man sewaktu tampil bercerita tentang kisah kongsi gelap untuk tema gaya bebas pada pertandingan akhir Raja Lawak.


IKHLAS, yakin diri dan buat persembahan yang terbaik demi keluarga, majikan dan orang ramai yang menyokongnya selama ini agar mereka tidak malu.

Itulah kata-kata jujur daripada Man, juara program realiti Raja Lawak Astro musim kelima yang berakhir pada Jumaat lalu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam.

Man atau Abdul Rahman Kassim, 34, berkata, niatnya hanya satu sewaktu melangkah ke pentas akhir pertandingan Raja Lawak musim ini, iaitu untuk hibur orang ramai.

“Bagi saya nombor satu, dua atau tiga adalah pemenang. Kalau dapat nombor satu adalah bonus. Apa yang penting bila berada di pentas, lakukan yang terbaik biar orang Malaysia menilai persembahan saya.

“Saya percaya kalau kita buat yang terbaik dan penonton terhibur pasti mereka akan pilih orang itu. Alhamdulillah, malam ini rezeki saya,” katanya merendah diri.

Man berjaya mencuri hati penonton dengan gayanya yang selama sewaktu membuat persembahan komedi muzikal dengan menampilkan topik mat rempit.

Katanya, dia memang suka menunggang motor dan kenderaan itu memang sinonim dengan tugas posmen yang merupakan tanggungjawabnya sebelum ini.

Menurut suami kepada Azlina Awaluddin, 34, topik itu menjadi pilihan kerana selain menghibur, dia ingin memberi nasihat kepada anak muda yang gemar menunggang motosikal tanpa menghirau nyawa orang ramai.

“Bab-bab menukar lirik lagu, serah pada saya kerana itu memang hobi. Rakan-rakan di tempat kerja, sudah tahu perangai saya yang sesuka hati tukar lirik lagu.

“Saya memang suka bergurau senda dengan rakan-rakan setugas tapi kalau ada kerja yang tak betul, saya tegur juga dengan cara berhemah. Lagipun kita nak kerja dalam suasana gembira,” katanya yang bertugas sebagai Penyelia Operasi Kanan di unit pembungkusan dan surat menyurat, di pejabat pos Shah Alam.

Man yang mendapat wang kemenangan sebanyak RM100,000 berserta barangan elektrik dan trofi berkata, selain menyimpan untuk masa depan dia akan guna wang tersebut untuk membayar hutang.

Menurut ayah kepada dua orang anak itu, dia amat berterima kasih kepada pihak atasan kerana telah menaja 50 helai kemeja-T yang menampilkan wajahnya untuk promosi.

“Saya juga dimaklumkan, bos besar telah menghantar e-mel ke seluruh pejabat pos memaklumkan supaya menyokong saya. Bukan setakat itu sahaja, cuti saya yang dimohon dua bulan juga dilanjutkan menjadi tiga bulan.

“Memang mengharukan kerana majikan menyokong perjuangan saya. Bagi saya kemenangan ini juga sekali gus menaikkan nama Pos Malaysia,” katanya yang berasal dari Kuala Lumpur itu.

Man yang berminat untuk mengembangkan bakatnya dalam dunia lakonan itu berkata, setakat ini beliau belum membuat sebarang perancangan kerana semua itu bergantung kepada pihak Astro.

Dia yang bakal menyertai pertandingan Maharaja Lawak bermula 1 April ini turut mendapat pujian daripada pengkritik tetap Sathiya dan Afdlin Shauki.

Sathiya antara lain berkata, “persembahan yang hebat, kita tukar nama awak dari Man kepada ‘Seniman’. You’re magic man. Harap jadi juara.”

Sementara komen Afdlin pula, “dalam ramai-ramai orang yang buat komedi muzikal, ini yang terbaik. Saya menaruh harapan setinggi gunung terhadap awak. Pada saya, awak sudah menjadi juara,”.

Komen-komen itu dilontarkan sewaktu Man membuat persembahan dengan tema gaya bebas (isu kongsi gelap) dan komedi muzikal (mat rempit).

Ternyata Man yang mendapat undian 45 peratus bukan sahaja berjaya mencuri hati penonton, malah para juri juga sudah dapat menilai bakatnya.

Sementara itu, Kumpulan Balas yang dianggotai oleh Mohammad Shukri Mohamed Sahar (Shuk), 24, dan Fandi Muhammad (Fendi), 25, dari Pulau Pinang yang menduduk tempat ketiga, turut mengakui kehebatan Man.

Kata Shuk, Kumpulan Balas sudah buat yang terbaik tapi apakan daya bukan rezeki dan mereka hanya mampu membawa pulang wang kemenangan RM30,000 serta barangan elektrik dan trofi untuk tempat ketiga.

“Melihat pada persembahan Man, kami akui dia lebih hebat. Kalau Man tidak hebat, mana mungkin oran ramai memilihnya,” katanya yang mendapat undian sebanyak 22.6 peratus.

Antara komen yang diberikan oleh David Teo untuk persembahan pertama Kumpulan Balas adalah, “kalau persembahan seperti ini, pasti awak boleh jadi nombor satu.”

Manakala untuk persembahan komedi muzikal Kumpulan Balas, Sathiya mengungkap sebagai persembahan cun (menarik).

Dalam pada itu kumpulan adik-beradik, R2, Rahim Mat Ali (Aim) 40, dan Ridhzuan (Lopez), 21, dari Klang yang menduduki tempat kedua menganggap kejayaan itu adalah kemenangan bersama.

Mereka yang memperoleh wang tunai RM50,000 beserta barangan elektrik dan trofi sumbangan Astro berkata, sebelum ini hanya Rahim yang sering menyertai uji bakat Raja Lawak.

“Ini semua atas cadangan adik saya. Sebelum ini saya sahaja yang suka menyertai uji bakat, kali ini adik cadangkan kami bergabung.

“Tak sangka gandingan ini membawa tuah kepada kami. Walaupun tempat kedua, R2 tetap gembira kerana ia merupakan satu pengalaman paling indah untuk kami,” kata Rahim.

Sementara itu Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, sambutan yang diberikan oleh penonton untuk program kali ini amat memberangsangkan.

Katanya, persembahan bertenaga daripada para peserta sekali gus membuatkan penonton tidak jemu mengikuti program tersebut daripada awal hingga akhir.

“Kita tahu, Raja Lawak ini mendapat sambutan berdasarkan sokongan yang diberi oleh orang ramai yang bermula daripada uji bakat sehinggalah persembahan gelanggang raja lawak.

“Penonton yang mengikuti persembahan para peserta tahu siapa yang layak untuk dipilih sebagai juara. Dari situ membuktikan bahawa program ini mendapat perhatian ramai,” katanya.

Turut diundang pada malam itu adalah Raja Pop, Jamal Abdillah, Joe Flizow dan pelawak Mat Sentul atau nama sebenarnya Abdul Rasit Yahya yang turut menyampaikan hadiah di samping Nizam.

Pertandingan akhir itu juga dimeriahkan oleh gelagat pengacara bersama Johan dan Zizan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.