saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 23/03/2011

Jaguh Kampung bukan sembarangan


KELETAH Ogy dan Jaafar Onn sudah pasti akan menghidupkan program Jaguh Kampung yang akan ditayangkan bermula 26 Mac ini.


MULA menakluk pasaran televisyen tempatan sejak lebih sedekad yang lalu, stesen berbayar terulung negara, Astro tidak pernah ketandusan idea untuk memberikan yang terbaik buat pelanggan setia mereka.

Jika disingkap senarai program yang telah disiarkan menerusi saluran yang ditawarkan, memang tidak terhitung jumlahnya dan menariknya, semuanya mempunyai pendekatan yang berbeza.

Mahu atau tidak, memang harus diakui, Astro merupakan perintis kepada perkembangan penerbitan program realiti di negara ini dan semuanya bermula dengan Akademi Fantasia pada tahun 2003.

Dengan munculnya beberapa saluran baru, Astro dengan pantas menerbitkan pelbagai program realiti demi mendekatkan mereka dengan penonton seperti Sehati Berdansa, Mari Menari, Raja Lawak dan Imam Muda.

Menyedari kehendak dan keinginan penonton yang sentiasa dahagakan sesuatu yang baru serta segar, Astro tidak berfikir lama untuk melahirkan sebuah lagi program realiti terbaru iaitu Jaguh Kampung.

Bukan calang-calang program, Jaguh Kampung boleh dikatakan sebuah rancangan yang unik di mana ia mempamerkan kehebatan masyarakat luar bandar memasak masakan tradisional yang barangkali sudah hampir dilupakan khususnya generasi muda hari ini.

Ditambah dengan keghairahan penonton tempatan yang begitu meminati program realiti masakan dari Barat seperti Top Chef, MasterChef US dan Junior MasterChef Australia, nampaknya kehadiran Jaguh Kampung tepat pada waktunya.

Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani memberitahu, pihaknya telah melakukan penyelidikan yang menyeluruh.

Hasilnya memang agak mengejutkan apabila program masakan merupakan antara rancangan yang cukup diminati oleh penonton tempatan tanpa mengira latar belakang dan usia.

"Kalau diperhatikan rancangan realiti masakan yang ada sekarang ini semuanya adalah dari Barat yang ada kalanya tidak begitu menepati selera kita sebagai rakyat Malaysia.

"Bagaimanpun, ia memberi kami ilham dan idea untuk menerbitkan Jaguh Kampung yang bukan hanya sekadar sebuah program masakan biasa tetapi dalam masa yang sama memartabatkan masakan tradisional yang sememangnya tidak lapuk dek hujan.

"Alhamdulillah, kami amat berpuas hati dengan sambutan daripada mereka yang hadir ketika uji bakat. Sebanyak 16 pasukan telah terpilih untuk musim pertama ini dan mereka merupakan antara yang terbaik serta menepati kriteria seperti mana yang dicari," ujarnya pada sidang akhbar yang berlangsung di Restoran Felda D'Saji, Jalan Maktab, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam majlis itu juga, Nizam turut memperkenalkan hos dan juri tetap Jaguh Kampung iaitu Fauziah Ahmad Daud atau Ogy dan Jaafar Onn.

Sebelum ini, Astro Prima pernah menerbitkan program realiti masakan iaitu Perang Kuali yang menampilkan penghibur terkenal, Anita Sarawak sebagai pengacaranya.

Mengulas lanjut tentang Jaguh Kampung, Nizam menjelaskan, pihaknya memfokuskan pencarian bakat dari kampung-kampung di Semenanjung Malaysia yang mewakili empat zon iaitu zon utara, selatan, barat dan timur.

"Astro telah menjelajah ke setiap zon untuk mencari calon yang layak untuk Jaguh Kampung dan apa yang kami mahukan ialah mereka yang bukan hanya pakar memasak dalam memikat hati serta selera juri semata-mata dengan juadah unik yang disediakan.

"Tetapi, mereka juga mampu menghidupkan suasana ketika rakaman dengan celoteh yang menghiburkan sambil memasak.

"Apa yang boleh saya katakan, rancangan ini berjaya menampilkan keunikan yang tersendiri dan saya sendiri kagum dengan pelbagai jenis juadah yang disediakan sehingga ada sebahagiannya tidak pernah didengar sebelum ini," jelasnya lagi.

Dalam masa yang sama, Nizam memberitahu Jaguh Kampung juga tidak terlepas daripada cabaran dan rintangan dalam menyempurnakan setiap episod terutama aspek cuaca serta kepantasan peserta sewaktu memasak dalam tempoh 1 jam.

Ketika ditanya tentang fokus Jaguh Kampung yang hanya tertumpu kepada kampungkampung di Semenanjung sahaja dan tidak menyeluruh sehingga ke seluruh pelosok negara, Nizam menjelaskan ia adalah strategi Astro untuk melihat sambutannya terlebih dahulu.

Seandainya musim pertama Jaguh Kampung diterima dengan baik oleh penonton, tidak mustahil untuk Astro mencari bakat baru di Sabah dan Sarawak untuk musim seterusnya.

Mengulas tentang pemilihan Ogy dan Jaafar, Nizam tanpa ragu memberitahu kedua-dua personaliti popular itu memiliki karisma tersendiri dalam mengendalikan sesebuah rancangan.

Atas alasan itu, kata Nizam, Astro memang tidak teragak-agak mengambil mereka berdua sebagai teraju Jaguh Kampung selain mampu menghidupkan rancangan tersebut dengan keletah mereka.

"Kalau kita perhatikan, Ogy sendiri memang sudah lama tidak muncul di kaca televisyen sebagai hos dan Jaafar pula memiliki kredibiliti yang tidak boleh dipertikaikan apabila memperkatakan tentang masakan.

"Jadi, pilihan Astro adalah tepat sekali untuk menggandingkan mereka berdua dalam program masakan ini," jelasnya bersungguh-sungguh.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.