saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 24/03/2011

Wakaf mampu pertahan geoekonomi orang Melayu

BEBERAPA minggu lalu Cuit menulis mengenai kedudukan geopolitik orang Melayu di negara ini. Ada yang menafikan apabila angka-angka yang diberikan mengenai jumlah daftar pengundi yang diusahakan oleh pembangkang melebihi daripada yang dilakukan oleh pihak UMNO dan BN.

Ada yang marah, nafi, melenting kerana kononnya angka itu tidak tepat. Tapi saya berpegang kepada angka itu, kerana ia datangnya dari sumber yang sahih.

Begitu juga apabila saya menulis lagi mengenai kedudukan geopolitik berhubung tanah-tanah berkependudukan Melayu yang dibangunkan dengan kondo-kondo yang mahal-mahal di Kuala Lumpur. Saya membangkitkan soal mengenai kedudukan beberapa kampung setinggan Melayu yang kini sedang mengalami proses transformasi, yang saya yakin tidak mampu didiami lagi oleh orang Melayu asal di situ. Dengar kata ada juga yang marah-marah dengan tulisan itu.

Apa yang saya tulis itu tiada niat lain selain untuk merangsang minda kita, orang Melayu dan politik Melayu supaya berfikir sejenak, sebelum terbabas lebih jauh. Niat saya mungkin baik, tapi ia dianggap sebaliknya dan dilihat dalam konteks yang berbeza.

Namun minggu ini, saya mahu menyentuh lagi mengenai isu pemilikan aset orang Melayu pula. Sama seperti geopolitik juga, tapi kali ini ialah mengenai soal geoekonomi atau geografi ekonomi pula.

Apa itu geoekonomi? Secara kasar ia membawa maksud kajian mengenai aspek politik ekonomi dan sumber-sumbernya. Geoekonomi menurut Wikipedia yang memetik seorang ahli ekonomi Amerika, Edward Luttwak adalah salah satu cabang kepada geopolitik.

Jadi kedua-duanya mempunyai kaitan yang rapat. Saya mahu menitikberatkan mengenai geoekonomi orang Melayu, yang jika tidak diambil berat juga akan membawa musibah untuk jangka masa panjang.

Ia mungkin membabitkan pegangan strategik sesuatu aset, perniagaan atau harta yang dimiliki oleh sesuatu pihak. Dalam konteks ini, pegangan itu dimiliki oleh orang Melayu.

Pagi Sabtu dua minggu lalu saya menghadiri satu persidangan dikenali sebagai Persidangan Kebangsaan Program Transformasi Melayu Muslim dan Wakaf Korporat yang diadakan di Putrajaya.

Jarang-jarang saya mahu menghadiri persidangan seperti ini, terutamanya yang membabitkan orang Melayu. Ada kata-kata sinis yang pernah diucap mengatakan persidangan seumpama itu hanya membuang masa sahaja. Terlalu banyak kongres, persidangan, seminar, wacana mengenai ekonomi orang Melayu sejak puluhan tahun dulu yang jika dikumpulkan kertas kerjanya boleh dibuat pulau, kata seorang pengkritik.

Namun pagi itu, situasinya berbeza. Ia dihadiri oleh kira-kira 300 peserta yang rata-rata saya lihat terdiri daripada Melayu ternama dan berkedudukan dalam dunia korporat dan perniagaan. Pendek kata tetamu yang hadir cukup berkualiti.

Antara penceramah yang menarik perhatian semua ialah Tan Sri Muhammad Ali Hashim. Sekali pandang Ali mirip seperti Colonel Harland Sanders pengasas ayam goreng KFC di Amerika Syarikat. Itulah pertama kali saya melihatnya dari dekat. Rambutnya putih, misainya juga putih. Betul-betul ala Sanders, pencipta KFC itu.

Ali ialah bekas Presiden dan CEO Johor Corporation (JCorp) yang diterajuinya selama 30 tahun. Beliau kini sudah bersara daripada syarikat korporat terkemuka milik kerajaan negeri Johor itu.

Di bawah terajunya, JCorp berjaya memiliki syarikat KFC yang diusahakan di Malaysia daripada seorang pengusaha Cina pada waktu itu. Hasil gigihnya KFC Malaysia mengembangkan sayapnya ke seluruh pelosok negara, termasuklah ke Singapura, Brunei, India dan terbaru ke sebuah negara Indo-China.

Namun pada pembentangannya di pagi itu, semua tetamu yang hadir senyap. Semua tertumpu kepada penerangannya mengenai satu pendekatan baru mengenai wakaf.

Jika selama ini kita hanya mendengar mengenai wakaf tanah kubur, wakaf tanah surau, masjid, madrasah atau sekolah pondok, kini pendekatannya diangkat ke tahap yang lebih tinggi. Wakaf yang yang dibawanya ialah wakaf korporat atau wakaf syarikat, saham, aset, wang selain harta.

Beliau mempunyai alasan yang kukuh apabila memperkenalkan pendekatan itu iaitu: Bagi mengelakkan aset-aset milik orang Melayu Islam (di negara ini) jatuh ke tangan pihak lain.

Ia berkaitan jihad bisnes membabitkan soal maruah dan strategik bangsa dan agama.

Semua yang hadir, yang ada antaranya terdiri daripada usahawan besar negara tertarik dengan pendekatan itu.

Dalam sesi soal jawab kemudian, rata-rata bersetuju supaya mana-mana aset yang dipegang oleh orang Melayu Islam di negara ini tidak dijual kepada orang lain. Jika perlu dijual sekali pun, juallah kepada lingkungan yang sama atau diwakafkan.

Alasan mereka ialah membabitkan soal geoekonomi orang-orang Melayu yang mungkin akan hilang.

Justeru, Majlis Perundingan NGO-NGO Melayu (MPM) yang menganjurkan persidangan itu telah melantik Yayasan Iqra’ sebagai penyelaras bagi membentuk wakaf korporat itu. Iqra’ akan distrukturkan bagi memenuhi tuntutan menyempurnakan sepenuhnya amanah mutawwali sebagai sebuah badan pengurusan wakaf.

Melalui penerajunya Datuk Seri Idris Jusoh, yang juga Pengerusi Mara, beliau segera menggerakkan beberapa tokoh profesional, termasuk Ali Hashim sendiri untuk membantu merealisasikan ‘jihad busines’ itu.

Ali semasa perkhidmatannya dalam JCorp berpengalaman menggerakkan wakaf korporat melalui penubuhan Waqaf An Nur Corporation Berhad (WANCorp).

Kita berharap Yayasan Iqra’ yang akan menggerakkan jihad ini dapat menyelamatkan syarikat-syarikat strategik milik Melayu dan Islam daripada jatuh ke tangan orang lain.

Badan wakaf ini juga diharap menjadi pemangkin untuk membantu mengumpul pegangan 30 peratus ekuiti bumiputera bernilai RM400 bilion menjelang dan selepas 2020, tercapai.

Sebelum menamatkan tulisan ini, saya ingin berkongsi pendapat seorang pembaca dalam majalah Newsweek edisi terbaru (14 Mac 2011) mengulas cadangan seorang profesor ekonomi Niall Ferguson yang mengesyorkan Amerika Syarikat menswastakan aset-aset negara itu bagi menyelesaikan hutang negara itu.

Ini kata surat pembaca itu:

‘‘Dalam cadangan untuk menswastakan aset-aset negara itu, Ferguson telah meletakkan Grand Canyon dan Yellowstone sebagai hadnya. Mengapa dihadkan kepada aset bernilai itu? Cuba fikirkan berapa banyak Disney sanggup bayar jika Yellowstone dibenarkan untuk jualan! Apa yang kita boleh peroleh daripada Pentagon? Pangkalan-pangkalan tentera kita sudah tentu amat bernilai kepada China (jika boleh dijual kepada mereka)...”

Bagi pembaca majalah itu, Grand Canyon, Yellowstone dan Pentagon ialah aset-aset strategik Amerika yang tidak boleh dijual beli sama sekali, atau dipindah tangan. Ia adalah geoekonomi politik Amerika.

Akhir kata, jika dulu kita berhempas pulas dan bermegah memiliki Malayan Banking, Malayan Finance, Kwong Yik Bank, Dunlop, Guthrie dan banyak lagi daripada tangan orang lain, maka pertahankanlah ia.

Ia adalah geoekonomi politik kita.

(Nota: Cuit akan disiarkan seperti biasa Rabu depan)

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:19
Asar 4:31
Maghrib 7:24
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.