saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 27/03/2011

Adik Syed Kechik persoal Zam


Tan Sri Senu Abdul Rahman (kiri) dan Tunku Abdul Rahman antara dua tokoh yang rapat dengan Syed Kechik.


ADIK kepada Allahyarham Syed Kechik Syed Mohamed tokoh besar usahawan dan jutawan Melayu, Syed Salim Albukhary yang kini menetap di Amerika Syarikat telah mempertikaikan beberapa fakta penulisan Zainuddin Maidin mengenai abangnya itu di dalam buku Hari Itu Sudah Berlalu.

Buku ini merupakan kompilasi dari tulisan-tulisan yang telah tersiar di Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia terbitan Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd.

Dalam suratnya kepada Zainuddin dan juga penerbit, Syed Salim menyatakan bahawa tidak benar Syed Kechik telah mengajak Khalid Abdullah (Tan Sri) untuk turut bersamanya ke Amerika Syarikat bagi mengikuti jejak langkah Senu Abdul Rahman (Tan Sri) dalam tahun 1949.

Menurutnya, Syed Kechik dan Senu Abdul Rahman tidak mengenali secara dekat antara satu sama lain kecuali sesudah diperkenalkan di California oleh Monte Zain anak Kedah yang lebih dahulu telah mengembara ke Amerika. Senu mengikut jejaknya.

Syed Salim memetik tulisan Zain dalam bukunya Out of Malaya yang diterbitkan pada tahun 1996 bahawa beliau telah memperkenalkan Syed Kechik sebagai Jim Bukhary kepada Senu yang dipanggilnya Ramon.

Syed Salim juga menafikan bahawa abangnya berhasrat untuk menjadi seorang bintang filem di Hollywood sebaliknya Monte Zain yang bercita cita untuk mengikuti jejak langkah Sabu yang menjadi popular dalam filem Hollywood Elephant Boy.

Dalam hal ini Syed Salim menyatakan bahawa Zainuddin Maidin telah terkeliru. Yang sebenar abangnya hanya mahu mempelajari bahasa Inggeris bagi persediaannya untuk memasuki sekolah dan Universiti di Amerika.

Sementara tujuan utama Monte Zain ke Amerika untuk membuat wang sebanyaknya bagi membawa pelajar-pelajar Melayu melanjutkan pelajaran ke Amerika.

Menurut Syed Salim lagi bahawa beliau masih ingat laporan beberapa media Melayu tentang abangnya yang memakai nama Jismet Bukhary ketika singgah di Singapura dalam perjalanan pulang dari Amerika tetapi tidak tahu mengenai beliau pernah di uji atau ditemu ramah oleh Shaw Brothers Singapura untuk menjadi bintang filem.

“Ayah kami adalah seorang kuat agama dan abang saya tahu bahawa nilai keturunan kami, tidak akan dapat menerima profesion dalam industri hiburan,” katanya.

Syed Kechik membuat keputusan untuk pergi ke Amerika dalam tahun 1949 untuk melanjutkan pelajaran kerana hasratnya bagi melayakkan dirinya menyertai perjuangan kemerdekaan Malaya apabila British kembali ke Malaya seperti yang disebutkan oleh Bruce Ross- Larson dalam bukunya Politics of Federalism.

Menyertai

Pemergian Syed Kechik ke Amerika Syarikat adalah dengan bekerja sebagai kelasi kapal dagang.

Bila tiba di New York dalam tahun 1949, beliau menaiki bas ke California untuk menyertai kawan rapatnya Mohammed Zain Tajudin (Monte Zain) dan seorang lagi anak Kedah Senu Abdul Rahman.

Beliau memulakan persekolahannya sehingga mendapat diploma di sekolah menengah untuk memasuki Los Angeles City College dan seterusnya membuat pengajian ekonomi dan sains politik di Universiti of California di Los Angeles.

Untuk membiayai pengajian, beliau bekerja mencuci pinggan mangkuk dan juga sebagai pelayan di beberapa restoran di sekitar Los Angeles.

Bagaimanapun apabila beliau kembali ke Malaya dalam tahun 1955, kelayakan pelajaran di Amerika tidak diiktiraf oleh Malaya yang mendorongnya pada tahun 1959 untuk melanjut pelajaran dalam undang-undang di United Kingdom.

Syed Salim juga memberitahu bahawa sebuah buku baru mengenai abangnya Allahyarham Syed Kechik akan diterbitkan tidak lama lagi. Buku ini akan mendedahkan tentang tindakan bersifat cemburu dan dendam sesetengah ahli politik Sabah terhadap Syed Kechik.

Penjelasan Zainuddin Maidin

SAYA mula bersahabat dengan Syed Kechik antara tahun 57 hingga 59 ketika beliau menganggur setelah kembali dari Amerika. Beliau sering datang menemui saya di sebuah bilik kecil yang merupakan pejabat saya sebagai pemberita sambilan Utusan Melayu di Pasar Yaacob Alor Star dan banyak bercerita tentang pengembaraannya ke sana.

Beliau tiba-tiba menghilangkan diri dan saya hanya mengetahui kemudiannya beliau telah berlepas sekali lagi dengan kapal laut untuk ke London bagi melanjutkan pelajarannya dalam bidang perundangan.

Sebelum kembali ke Kedah, saya telah pun membaca mengenainya di Mingguan Tunas terbitan Penerbit Harmy di Singapura yang menceritakan tentang anak muda Melayu yang merantau ke Amerika telah singgah di pulau itu dan mencuba nasib untuk menjadi bintang filem di Studio Show Brothers Jalan Ampas Singapura.

Saya telah diberitahu oleh beberapa orang pelakon filem Melayu di Singapura termasuk seniman Mustapha Maarof yang berpindah ke Kuala Lumpur bahawa Syed Kechik telah dinasihatkan supaya membatalkan hasratnya itu kerana kelayakan pelajarannya yang tinggi tidak sesuai dengan gaji yang sangat rendah sebagai bintang filem.

Bagaimanapun minatnya terhadap perfileman tidak pernah pudar. Ini terbukti bila beliau sendiri menubuhkan syarikat filemnya Syed Kechik Production di Kuala Lumpur yang menerbitkan beberapa buah filem Melayu sekali pun mungkin ini bertentangan dengan nilai budaya keluarganya.

Mungkin ingatan saya silap atau terkeliru dengan ceritanya sama ada beliau sendiri atau Monte Zain yang hendak menjadi Sabu tetapi dari segi logiknya tentulah cerita Zain yang benar.

Mengenai beliau mengajak Khalid Abdullah seorang aktivis politik di tahun 1949 untuk menyertainya ke Amerika telah diceritakan sendiri oleh Tan Sri Khalid (Bekas Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu) kepada saya.

Syed Kechik telah menjalin semula hubungan dengan saya setelah beliau kembali dari London dan berkerja dengan sebuah syarikat guaman di Kuala Lumpur di awal tahun 60-an dan saya bertugas sebagai wartawan Utusan di Kuala Lumpur.

Hubungan ini terus terjalin walaupun beliau berhijrah ke Sabah. Pertukaran nama Jesselton kepada Kota Kinabalu adalah dari idea beliau yang diberitahu kepada saya sebelum pengumuman dibuat oleh Ketua Menteri Sabah dalam ucapan yang disediakan olehnya.

Syed Kechik lebih gemar berkawan dengan rakyat biasa seperti para wartawan, penulis dan seniman. Semua mereka menghormatinya kerana moralnya yang tinggi, tidak pernah minum minuman keras, tidak suka berpoya-poya dan tidak mempunyai "kenakalan" sebagai seorang lelaki sekalipun orangnya tinggi, kacak, gagah dan segak.

Kali terakhir saya menemuinya ialah di kediamannya di Bangsar untuk memberikan kepadanya buku saya Tun Razak, Jejak Bertapak Seorang Patriot. Tetapi beliau hanya bercakap sepatah dua sahaja. Beliau menjadi demikian kerana keadaannya yang tidak sihat dan menyebabkan rakan-rakannya yang lain seperti artis terkemuka Ahmad Nawab dan wartawan Utusan ABI (Ahmad Idris) dan lain-lain berada dalam keadaan serba salah untuk menemuinya.

Saya berterima kasih kepada Syed Salim yang telah memberikan perhatian terhadap tulisan saya mengenai abangnya yang diharapkan akan dapat membangkitkan minat generasi baru terhadap orang Melayu seperti Syed Kechik yang mempunyai semangat tinggi untuk memperbaiki diri mereka dalam pelajaran di dalam keadaan kemiskinan bangsanya di zaman penjajahan dan mereka menjadi orang yang berjaya. Ini berbeza dengan generasi sekarang yang lebih mengharapkan biasiswa.

Saya percaya Yayasan Syed Kecik atau MPI sendiri mampu untuk menterjemahkan buku-buku mengenai Syed Kechik terutamanya yang ditulis oleh Monte Zain supaya pembacaannya meluas di kalangan anak anak Melayu untuk penghayatan dan pembangunan kesedaran mereka.

Apa pun dikatakan orang tentang Syed Kechik tetapi saya mempunyai pandangan yang sangat tinggi terutama dari segi pegangannya terhadap nilai peribadi yang baik.

Catitan: Allahyarham Senu Abdul Rahman adalah bekas Setiausaha Agung UMNO, menjadi Duta Malaysia yang pertama ke Indonesia dan juga Menteri Penerangan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.