saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 27/03/2011

Koleksi sastera di ambang kehancuran?

Sudah lebih seminggu, hal-hal yang melibatkan kepentingan sastera sebagai instrumen peradaban bangsa menjadi debat di kalangan para penggiat sastera Indonesia.

Kebimbangan mereka yang teguh jati diri disuarakan menerusi semua media - baru dan lama. Semuanya gara-gara keputusan pemerintah mengurangkan kos penyelenggaraan Pusat Dokumentasi Sastera (PDS) HB Jassin sehingga mencetuskan rasa kurang senang golongan yang tegar mempertahankan khazanah-khazanah yang tidak dapat dibandingkan dengan nilai wang.

Keputusan tersebut menyaksikan hanya Rupiah 50 juta (RM17, 400) diperuntukkan setahun bagi penyelenggaraan pusat perkembangan sastera terbesar Indonesia.

Kekecewaan pelbagai pihak adalah kerana khazanah berharga negara itu diturunkan ke tahap paling mengaibkan sedangkan nilai sastera seharusnya tinggi dalam kelas sosial masyarakat yang sedang membangun seperti Indonesia.

Persoalan yang timbul apakah peruntukan sebanyak itu cukup untuk memelihara khazanah yang telah banyak membantu melestarikan tamadun bangsa Indonesia selama ini?

Sebagai rekod, PDS HB Jassin merupakan gudang kesusasteraan yang terlalu berharga buat Indonesia dengan dokumen berharga yang terkandung di situ merangkumi 20,000 buku fiksyen, 12,000 buku bukan fiksyen selain 600 buku rujukan.

Itu belum lagi mengambil kira 800 naskhah drama, 16,000 keratan kesusasteraan dan koleksi-koleksi berharga lain seperti rakaman suara, naskhah-naskhah tulisan tangan serta surat-surat peribadi.

Menurut penulis dan pemerhati sastera, Linda Djalil, ada benarnya wang bukan segala-galanya untuk mempertahankan legasi berharga itu tetapi ketiadaan sokongan kewangan, ia amat mudah untuk mengguris hati para penggiat kesusasteraan.

Tahun lalu pula, pengelola pusat kebudayaan itu terpaksa akur apabila kos penyelanggaraan diturunkan kepada Rupiah 164 juta (RM60,000). Lebih malang pula, untuk tahun ini, dana yang ditawarkan jatuh kepada Rupiah 50 juta (RM17,400).

Keputusan tersebut dilihat para penggiat sastera Indonesia sebagai tamparan cukup besar buat gelanggang kesusasteraan. Ada benar pandangan dan pendirian mereka, nilai kesusasteraan harus dipelihara kerana ia adalah elemen penting dalam peradaban bangsa sesebuah negara.

Apa lagi bagi pusat perkembangan sastera yang diasaskan sejak tahun 1976 itu telah memainkan peranan cukup besar terhadap warisan dan kebudayaan nasional.

Memetik kenyataan penulis dan penyair Nirwan Dewanto kepada akhbar Kompas baru-baru ini, menerusi sastera, bahasa yang dimiliki sesuatu bangsa dihidupkan dan diperbaharui secara terus-menerus.

Selain itu, Nirwan dan rakan-rakan sealiran turut menarik perhatian pihak berwajib biaya pemeliharaan buku-buku yang mencecah Rupiah 40 juta.

Kos itu belum lagi mengambil kira gaji 14 pegawai yang setia berkhidmat di perpustakaan itu dengan gaji yang sangat minimum tetap masih bertahan dek didorong oleh kecintaan mendalam terhadap pusat ilmu itu.

Melalui catatan sejarah, HB Jassin disifatkan sebagai seorang pengarang ternama yang cukup teliti dan tekun mengumpulkan ribuan dokumentasi sastera sejak tahun 1932.

Jerih perih seniman itu tidak sia-sia mengumpil khazanah berharga dari zaman sebelum Perang Dunia II sehingga Indonesia merdeka termasuk dokumen-dokumen penting selepas Orde Baru 1966. Usaha besar beliau telah melahirkan Yayasan Dokumentasi HB Jassin yang terletak di kawasan Taman Ismail Marzuki pada 28 Jun 1976.

Selain ribuan buku, naskhah drama, keratan akhbar yang memuatkan karya-karya sastera koleksi HB Jassin yang disimpan di situ, ia turut menarik perhatian para intelektual Indonesia yang turut sama mahu memelihara warisan kesusasteraan mereka di PDS HB Jassin.

Antaranya koleksi buku Prof. Dr Damais, koleksi Haji Agus Salim, koleksi Mochtar Lubis yang terdiri daripada akhbar Indonesia Raya yang dijilid dari tahun 1968 hingga 1974, koleksi Wiratmo Soekito dalam bentuk naskhah keratan akhbar dan majalah, koleksi Dr Boen Soemarjati dan lain-lain.

Bahkan, tulisan-tulisan tangan sasterawan tersohor, WS Rendra ketika menulis konsep puisinya, tulisan tangan Chairil Anwar, Sutan Takdir Alisjahbana, Sitor Situmorang, naskhah novel Ziarah milik Iwan Simatupang dan banyak lagi masih elok dijaga di perpustakaan itu.

Kerana itu, kebimbangan yang sedang menghantui para pejuang sastera Indonesia hari ini ialah, andai tiada usaha meningkatkan kos pembiayaan pusat perkembangan sastera itu ia hanya menunggu masa kehancuran.

Tidak dapat siapa yang boleh membayangkan apabila dokumentasi sastera terlengkap di Indonesia atau di dunia ini akhirnya lenyap begitu saja.

HB Jassin seperti yang direkodkan pernah bermimpi seperti ini saat ia masih hidup: "Andai di lantai satu gedung perpustakaan sastera Indonesia ini khusus untuk koleksi sastera Indonesia dan berbagai daerah lain. Lantai dua pula untuk sastera Asia manakala lantai empat sastera Eropah. Semua terdiri daripada sastera moden atau sastera lama."

Idea dan mulia cita-cita sasterawan hebat Indonesia ini tidak seharusnya dibiar berlalu tanpa diendahkan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.