saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 03/04/2011

Muzium jadi darah daging

TERSENTUH melihat keikhlasannya memenuhi permintaan untuk ditemuramah. Walaupun baru menjalani pembedahan kecil di mata namun bekas Ketua Pengarah Muzium Negara, Datuk Shahrum Yub tidak mahu menghampakan sesiapa.

Itu sebahagian daripada prinsip hidupnya. Lagi pun menurut Shahrum sudah 11 kali beliau menjalani pembedahan seumpama itu.

Beliau yang bertongkat sampai lebih awal di tempat pertemuan kami iaitu di kantin Muzium Negara. Penampilannya masih seperti dulu. Berkemeja hijau lembut dipadankan dengan bow-tie berwarna merah. Jaket kelabu serta sapu tangan juga berwarna merah tersisip rapi di poket kemeja. Itu adalah trade mark Shahrum yang tidak mampu ditiru oleh sesiapa pun. Anak kelahiran Tanjung Malim, Perak itu pernah melakar sejarah tersendiri. Koleksi lebih 500 bow-tie selain kegemarannya tampil dengan pakaian serba putih, menjadikan Shahrum segar di dalam ingatan rakyat Malaysia.

Dalam usia menjangkau 77 tahun pada 21 April ini, ingatan Shahrum terhadap catatan perjalanan hidupnya masih kuat. Biarpun sesekali bergurau dengan ayat-ayat berbaur kematian, namun Shahrum tidak menganggap lontaran kata-katanya itu sesuatu yang serius. Beliau berkali-kali mengingatkan supaya jangan ditanya tentang perkembangan muzium sekarang; jangan juga dibuat perbandingan antara dirinya dan sesiapa pun. Lantaran bagi Shaharum, setiap manusia ada kebolehan dan cara tersendiri; setiap manusia juga boleh melakukan apa yang mereka inginkan.

Sepanjang perbualan, Shahrum sentiasa menyebut perihal isterinya. Nasihat beliau, sayangi isteri. Isteri sanggup berkorban, isteri juga menyediakan makanan, isteri menjaga anak-anak - justeru dalam banyak hal bapa kepada tiga puteri itu seboleh-bolehnya mengurangkan beban isteri. Beliau membasuh dan menggosok pakaian sendiri. Adakalanya mencuci pinggan, makan pun tidak cerewet. Asal ada sambal belacan, ikan kering sudah cukup menyelerakan.

Biarpun pernah bergelar Ketua Pengarah Muzium Negara, namun kehidupan Shahrum 'diikat' rutin kesukaran hidup semasa kecil.

''Bayangkan hidup dengan sehelai kain. Bersekolah dengan sepasang kasut. Kesusahan hidup menyebabkan saya terbawa-bawa sehingga ke hari ini. Walaupun ada berhelai baju atau kain, saya akan pakai baju atau kain yang sama sebab sudah terbiasa,'' katanya.

Shahrum biasa membantu nenek dan datuknya berladang semasa tinggal bersama mereka di Tanjung Belanja dan kemudiannya berpindah ke Pulau Tiga. Beliau yang kematian ibu ketika berusia dua tahun dibesarkan ibu tiri yang tidak membenarkan Shahrum bermain seperti mana kanak-kanak lain. Beliau disuruh duduk di rumah dan membuat kerja-kerja seperti membasuh pakaian. Bagi Shahrum ada hikmahnya zaman kanak-kanaknya diisi begitu yang menjadikan beliau rajin membaca. Kerajinan itu berlarutan sehingga Shahrum terpilih belajar di Anderson School dan lulus Cambdridge Overseas School Certificate dengan kredit Bahasa Inggeris.

''Saya teringat pesan opah supaya belajar sampai ke negara China, masa itu saya tak fikir belajar tinggi sebab nak buat duit, saya cuma hendak kerja,'' katanya.

pengajian

Terpilih sebagai penerima biasiswa kerajaan negeri Perak, Shahrum memilih antropologi apabila melanjutkan pengajian di Universiti Leeds di England. Siapa sangka perjalanan awal hidupnya di London pada 1955 rupanya membawa kepada pertemuan dengan Maureen Shakesby. Wanita yang disifatkan Shahrom sangat cantik itu dan sentiasa menjadi sebutannya semasa ditemubual dinikahi pada tahun 1959. Perkahwinan mereka menjangkau usia 52 tahun dengan anak pertama Yasmin dilahirkan di Leeds akhir tahun 1959. Dua lagi anak Shahrum dilahirkan di Kuala Lumpur iaitu Sarah dan Deborah masing-masing pada 1963 dan 1965.

Shahrum mengikat dirinya dengan Muzium Negara pada tahun 1962 sebaik saja beliau menamatkan pengajian dan kembali ke tanah air.

''Saya masih ingat Tan Sri Abdul Mubin Sheppard datang ke British Museum mencari anak Melayu yang berminat bekerja dengan beliau yang ketika itu Pengarah Arkib Negara. Semasa itu saya sedang menjalani latihan di muzium itu untuk mendapat diploma dari Museum Association of Britain.

''Tak ada anak Melayu yang minat. Kebanyakannya nak jadi peguam atau doktor, jadi apabila saya balik ke tanah air saya terus menyertai pasukan Sheppard untuk menubuhkan Muzium Negara. Saya menjadi Kurator Etnologi,'' katanya.

Shahrom bersama pasukan kecil yang diketuai Sheppard bertungkus lumus menjayakan idea penubuhan Muzium Negara. Mereka mencari segala artifak dan bahan untuk koleksi muzium. Shahrum bertanggungjawab mendaftarkan setiap barangan yang diperoleh.

''Bayangkan ketika bangunan lama muzium dirobohkan pada tahun 1945 dan bangunan kecil hanya siap didirikan tujuh tahun selepas itu, kita tidak mempunyai muzium di ibu negara,'' katanya.

Shahrom menjadi anak Melayu pertama memegang jawatan Pengarah muzium selepas Sheppard bersara dan digantikan oleh Lowry (1963-1967). Pada 1964, beliau dilantik sebagai pemangku Pengarah dan menjadi Pengarah sepenuhnya pada tahu 1967. Shahrum kemudiannya dinaikkan Ketua Pengarah Muzium Negara pada Januari 1972.

Menjelajah ke serata dunia untuk mempelajari tentang muzium dan bagaimana menarik orang ramai datang ke muzium menjadi amalan Shahrum.

Bayangkan, beliau bersama pasukannya pernah menganjurkan 24 pameran setahun dalam usaha menarik kehadiran orang ramai. Shahrum percaya bahawa pameran tetap tidak cukup untuk meraih minat pengunjung. Tentunya tugas tersebut tidak mudah, namun prinsip hidup Shahrom - kerja sepenuh hati tanpa mengira masa serta minat - menyebabkan sentuhannya sentiasa menjadi. Pameran ular, permainan tradisonal, wayang kulit dihidupkan dengan persembahan secara langsung manakala pada tahun 1969, berlangsung program 70 hari mendidik umat Islam tentang persediaan menunaikan haji.

''Cabaran semasa dilantik menjadi pengarah, ramai yang tidak bersetuju. Tapi saya membuktikan bahawa saya boleh melakukannya. Saya seronok bekerja dan muzium adalah bdang saya, sebab itu saya minta jangan bandingkan saya dengan sesiapa,'' katanya.

Tentu ramai yang masih ingat pameran tengkorak dan mumia yang diilhamkan oleh Shahrum. Biar pun ada bantahan namun beliau percaya setiap pekerjaan yang diyakini betul akan berhasil.

''Saya belajar daripada Tan Sri Sheppard supaya kita tidak berputus asa sebaliknya berusaha bersungguh-sungguh melakukan apa yang kita inginkan,'' katanya.

Ditanya tentang kegemarannya memakai bow-tie, Shahrum memberitahu, stailnya itu bermula semasa beliau di London. Harga yang lebih murah berbanding tali leher menyebabkan bow-tie menjadi pilihan Shahrum yang sememangnya terlalu bersederhana dalam banyak hal.

Jawatan Ketua Pengarah tidak pernah menjadikan Shahrum manusia yang berbeza. Beliau ke luar negara dengan tiket kelas ekonomi, membeli rumah yang sangat sederhana dan sehingga sekarang memiliki hanya sebuah kereta nasional.

Kantin Muzium Negara masih menerima kunjungannya selain tempat-tempat seperti Chow Kit, Jalan Masjid India serta Jalan Brickfields. Beliau tidak pernah melancong ke luar negara. Anak kedua beliau, Sarah kini bertugas di Muzium Mata Wang Bank Negara Malaysia - mungkin mewarisi 'darah muzium' yang ada dalam diri bapanya. Ruangan ini tidak mampu memuatkan keistimewaan dan kesederhanaan Shahrum. Terlalu banyak dan terlalu luas seperti mana luas dan banyaknya jasa Shahrum 'menghidupkan' Muzium Negara.

Timbul rasa sebak ketika mahu mengakhiri temu bual lantaran hakikatnya 'kesederhanaan' hidup bekas Ketua Pengarah Muzium Negara itu berada pada paras keterlaluan. Tokoh yang mengangkat nama Muzium Negara sehingga berjaya menarik berjuta pengunjung satu masa dulu kini menghabiskan sisa hidupnya dengan cara yang amat ringkas.

Tiada rumah dan kereta mewah. Namun Shahrum tidak merungut jauh sekali kesal.Beliau sesungguhnya tahu bahawa bekerja untuk muzium adalah sesuatu yang amat berharga berbanding wang.Sepanjang perjalanan menghantar beliau pulang ke kediamannya, Shahrom berkali-kali menuturkan nasihat:

''Simpan duit untuk hari tua. Buat baik kepada orang sebab peluang berbuat baik tidak akan berulang. Jangan terlalu dikejar duit kerana tak mustahil duit yang dikejar habis untuk membela kita di mahkamah.''

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.