saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 14/04/2011

Hidup Badlisham kini ceria

AWAL Mac 2009, di sebalik rimbunan pepohon hijau yang melatari keindahan dusun buah-buahan di Hulu Langat, di sana terselit cerita sebuah kehidupan. Lebih tujuh tahun lamanya cerita itu tersimpan rapi dan baru hanya dibuka helaian demi helaiannya dua tahun kebelakangan ini.

Itulah cerita sebuah keluarga daif, Badlisham Ismail, 33, dan isterinya Rasida Ishak, 27, serta dua anak kecil yang comel Siti Arfah, 8 dan Shahrulamin, 6.

"Dahulu kami hidup seperti keluarga lain, bermasyarakat dan bekerja. Saya bekas juruteknik kilang. Malangnya saya ditimpa kemalangan terkena renjatan elektrik.

"Akibatnya sendi saya sering sakit dan selalu mengambil cuti. Dek kerana selalu cuti, akhirnya majikan memberhentikan saya. Dari situ, episod luka kehidupan kami sekeluarga bermula," kata Badlisham.

Badannya yang cengkung dan raut wajahnya jelas menggambarkan kesengsaraan yang dipikul.

Sudah jatuh ditimpa tangga, demikianlah pepatah Melayu. Itulah yang berlaku kepada Badlisham sekeluarga. Selepas dibuang kerja, dia dihalau pula dari rumah sewaannya.

Menurut Badlisham, dia ditipu oleh kawan yang juga saudaranya sendiri, apabila wang sewaan yang diberi untuk dijelaskan kepada tuan rumah dilarikan.

Menyedari dia sudah tidak mampu mencari wang bagi menjelaskan tunggakan sewa rumah, akhirnya Badlisham mengangkat kaki dan membawa keluarganya pergi menyendiri di sebuah tanah dusun.

Di sana, kata isterinya Rasida, mereka lebih aman dan tenteram, kerana tidak ada lagi mulut-mulut manusia yang menghina dan mata yang memandang jelek wajah mereka.

Menyedari hakikat keperluan hidup, Badlisham cuba berdikari. Dia tidak betah duduk diam di rumah sedang dalam masa yang sama anak-anak kian membesar dan keperluan keluarga kian meningkat.

Dengan saki-baki kederat itulah, Badlisham menggagahkan dirinya mengambil upah memotong kayu, mencari ulam dan pucuk kayu.

Bahkan dia sanggup mencari dan menjual katak kepada orang Cina bila diminta berbuat demikian.

Semuanya hanya kerana memikirkan mulut si anak yang perlu disuap dan dapur yang perlu berasap.

Rasida juga bukanlah wanita yang hanya tahu membebel apabila beras di dalam tong habis selama dua minggu.

Dia menyedari keterbatasan suaminya, lalu di Kota Damansara dia bekerja menjadi pencuci pejabat. Biar pun jauh namun dapat juga tiga empat ratus ringgit sekadar buat keperluan keluarga. Tidaklah mewah tapi cukup untuk mengelak daripada meminta sedekah.

Nasib keluarga terpinggir itu memang terpendam agak lama. Mungkin kerana mereka selesa tidak bersua dengan dengan dunia luar yang dirasakan pernah 'menghukum' mereka.

Pondok kecil itulah 'istana'. Beratap zink dan plastik biru, buluh menjadi dinding dan lantai sementara kanvas buat menutup pintu.

Semuanya bagai sudah sempurna. Namun, apa hal pula dengan dua cahaya mata yang baru belajar mengenali dunia? Adakah wajar mereka diheret sama ke 'syurga' ciptaan ibu ayah sedang dunia luar lebih menjanjikan masa hadapan yang lebih cerah?

Mujurlah ada nazir masjid berdekatan yang peka tentang anak kariahnya, lalu mengadu ke Pejabat Cawangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) berdekatan.

Ustaz Badaruddin, pegawai zakat yang sememangnya peka deria rasa itu terus membuat penyiasatan. Nyatalah, keluarga malang itu hanya hidup menumpang di tanah orang. Tanpa pendapatan tetap dan hidup dalam kemelaratan.

Mereka hanya mengambil air untuk makan minum dari masjid berdekatan. Apabila malam, pelita karbaid melawan kegelapan.

Insaf akan tugas sebagai amil, nama keluarga itu terus dimasukkan ke dalam senarai fakir yang tercicir. Hasilnya, menjelang Ramadan dan Aidilfitri 2008, mereka mula mendapat bantuan LZS.

Sejak itu, LZS tidak lagi meminggirkan keluarga ini. Awal Februari 2009, rombongan Pengurus Besar LZS sendiri turun padang melihat kedaifan keluarga Badlisham.

Dilema timbul apabila keperluan memindahkan mereka kian mendesak sedang mereka seakan cuba mengelak. Alasan diberi kononnya mereka selesa di situ. Masalah juga timbul apabila mereka tidak ada tanah untuk disalurkan bantuan rumah.

Akhirnya, keputusan dibuat, mereka wajib berpindah demi kepentingan anak-anak yang baru bersekolah.

Mujurlah sikap proaktif LZS dengan membeli beberapa unit rumah kos rendah di Taman Bangi Impian, Bangi masih ada kekosongan. Lalu, keluarga Badlisham dipindahkan ke sana.

Tanggal 8 Mac 2009, sepasukan pegawai LZS dengan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tiba dan bermulalah sejarah baru buat mereka sekeluarga. Tidak ketinggalan wakil-wakil media yang turut merakamkan detik manis itu.

Badlisham yang pada awalnya menolak pelawaan LZS untuk berubah angin di rumah baru, tidak dapat menyembunyikan lagi emosinya yang terharu. Dia bagaikan teruja dengan sokongan moral LZS dan JKM yang bersungguh-sungguh dan prihatin membantu.

Kepada wartawan, dia mengucapkan jutaan syukur dan terima kasih di atas pertolongan yang dihulur. Dia senyum dalam sedikit sebak, senyum membayangkan rumah yang serba lengkap; sebak kerana bakal meninggalkan sebuah pondok yang menyimpan sejarah yang tidak bisa diungkap.

Saat barang-barang sudah dimuat, sedang enjin van sudah berasap, adik perempuan Badlisham yang hadir gagal menahan sebak di dada. Dahulunya, dia juga seperti Badlisham merempat di tanah orang dan dipindahkan oleh LZS, kini rupanya sejarah yang sama berulang kepada abangnya.

Ya, di tubuh abangnya yang sama darah daging dengannya. Mereka berpelukan dalam tangis, memohon maaf dan dihalalkan segala kekurangan dan kelebihan.

Alhamdulillah. Demikianlah nikmatnya hidup dalam Islam. Zakat yang disyariatkan Allah adalah jalan penyelesaian segala masalah sepanjang zaman. Indahnya Islam jika diambil sebagai panduan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:19
Asar 4:33
Maghrib 7:25
Isyak 8:35



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.