saya nak baca ..

REKREASI


ARKIB : 23/04/2011

Ekspedisi ‘sondol’ gunung Sumalayang


Antara peserta Ekspedisi Sondol, Team Tebas & Redah yang berjaya menawan gunung Sumalayang.


SELEPAS kejayaan beberapa siri Ekspedisi Sondol di sekitar Johor seperti Gunung Chemendong, Gunung Muntahak dan Gunung Gua Rimau, kali ini Team Tebas & Redah memilih gunung Sumalayang di Ulu Sedili, Kota Tinggi untuk ‘disondol’.

Menariknya semua gunung yang disondol itu tiada trek khusus untuk ke puncak dan jarang didaki.

Bagaimanapun, Team Tebas & Redah yang hanya bersenjatakan peta, kompas dan alat Penentu Arah Global (GPS) berjaya menawan puncak gunung setinggi 2017 kaki (615 meter) dari paras laut (dpl) itu.

Rata-rata ahli kumpulan tersebut berkata, Ekspedisi Sondol ke gunung Sumalayang dipilih kerana gunung itu mempunyai banyak rahsia yang belum disingkap, bahkan mungkin ada yang tidak tahu di mana letaknya gunung tersebut.

Kedudukannya yang agak terpencil di kawasan Ulu Sedili, ditambah lagi tiada jalan perhubungan yang baik menyebabkan kawasan gunung itu jarang dimasuki orang.

Hanya kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang sesuai digunakan untuk masuk ke kaki gunung Sumalayang memandangkan jalan balak lama yang dibuka pada 1970-an mengalami banyak kerosakan, berlubang-lubang, berlurah akibat hakisan air, selain jambatan kayu yang runtuh dan dihanyutkan air sungai.

Berikut catatan pengalaman penulis dalam Ekspedisi Sondol Gunung Sumalayang pada 21 hingga 23 Januari lalu.

Hari pertama: Kesemua peserta Team Tebas & Redah seramai 15 orang (12 lelaki dan tiga perempuan) dari sekitar Johor berkumpul di stesen minyak Esso, Jalan Kota Tinggi, Mersing.

Kami menunggu kedatangan 4WD yang telah ditempah untuk membawa kami ke kawasan berdekatan kaki gunung.

Pemandu 4WD yang berpangkalan di Kota Tinggi itu merupakan ahli kumpulan Cantas yang telah biasa masuk ke gunung Sumalayang.

Selepas memunggah haversack serta peralatan perkhemahan ke dalam kenderaan, kami mula bergerak secara konvoi menuju ke Batu 21, Jalan Kota Tinggi yang merupakan laluan utama masuk ke gunung tersebut.

Perjalanan sejauh 15 kilometer menempuh jalan tanah merah menuju ke kaki gunung. Sebaik sahaja masuk ke jalan tersebut, cabaran demi cabaran sedia menunggu. Mujurlah pemandu 4WD cekap mengawal kenderaan.

Antaranya, cabaran melalui lopak air yang dalam, kayu balak merentangi jalan, parit besar yang hanya diletak beberapa kayu kecil sebagai jambatan, jalan yang licin dan berselut. Semuanya dilalui tanpa sebarang masalah besar.

Penulis selaku penunjuk arah memutuskan untuk berjalan kaki dari situ menuju ke tapak perkhemahan yang terletak di tepi sungai berjeram.

Kesemua peserta ekspedisi meneruskan perjalanan melalui jalan balak lama sejauh setengah kilometer sebelum memasuki laluan hutan.

Pada masa yang sama, penulis terpaksa membuka trek baru berpandukan arah kompas kerana tidak ada sebarang trek yang boleh diikuti untuk ke tapak perkhemahan.

Sementara penulis membuka trek baru, rakan lain yang berada di belakang menebas sambil membuat tanda pada batang pokok bagi memudahkan perjalanan balik.

Kami sampai di tepi sungai berair jernih dan berjeram setelah satu jam berjalan dari penghujung jalan balak lama. Tanpa berlengah, kami mencari kawasan rata dan lapang untuk mendirikan khemah kerana hari mulai beransur gelap.

Sebuah kawasan yang rata bersebelahan air terjun kecil menjadi lokasi tapak perkhemahan kami.

Hari kedua: Selepas sarapan, kami mula bergerak melalui ‘susur bukit’ yang landai mengikut bearing 120 darjah.

Jam pertama pendakian terasa mudah kerana laluan agak landai dan tidak terlalu bersemak, cuma pokok rotan berduri yang menjadi masalah di beberapa tempat.

Pada ketinggian 700 kaki dpl keadaan laluan beransur curam hingga tiba di puncak bukit pada ketinggian 950 kaki dpl.

Di situ, kami mula diuji dengan jalan curam sehingga 90 darjah dan mustahil untuk kami daki batu dinding tersebut kerana tidak membawa tali dan peralatan yang sesuai untuk mendaki dinding batu.

Walaupun agak curam dan tanahnya mudah menggelongsor, penulis cuba naik dan berjaya juga sampai ke atas. Peserta lain mengikut dari belakang seorang demi seorang.

Sepanjang laluan, kami menjumpai banyak pokok Periuk Kera dan paku-pakis gunung dipteris conjungata' atau disebut juga pokok Payung Ali.

Puncak gunung Sumalayang yang kami sasarkan berjaya dijejaki selepas lima jam berjalan bermula dari tapak perkhemahan. Puncak gunung agak luas. Tidak ada pemandangan indah dapat dilihat dari puncak kerana dihalang oleh pokok-pokok kayu yang tinggi serta terdapat banyak rumpun buluh tumbuh subur.

Walaupun begitu, kami berpuas hati kerana usaha kami meredah dan menyondol semak dan hutan akhirnya berhasil.

Hari ketiga (terakhir): Sebahagian peserta memutuskan untuk meneroka air terjun, sementara peserta yang masih belum hilang penat hanya berehat di tapak perkhemahan.

Kenderaan 4WD hanya akan mengambil kami pada pukul 2 petang, jadi masa yang ada kami gunakan untuk menerokai keindahan air terjun yang terdapat di hulu sungai.

Terdapat sembilan tingkat air terjun yang tidak terlalu tinggi dan besar, bagaimanapun terdapat kolam-kolam semula jadi yang jernih dan sejuk sesuai untuk berendam di dalamnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.