saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 25/04/2011

Biar siapa pun kita... hidup biarlah beradab

JIKA minggu lepas, Selak memperkatakan tentang sikap mesra, minggu ini, penulis ingin menyentuh pula tentang satu lagi sikap manusia iaitu adab. Tentulah ulasan ini berkait rapat dengan titah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di Ipoh, Perak baru-baru ini.

Antara titah yang menarik perhatian ialah : ‘‘Adab dan budaya bangsa perlu dihormati, disanjung, dipertahankan dalam semangat di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung; Cara berpakaian yang sejajar dengan sesuatu acara adalah sebahagian daripada disiplin yang memperlihatkan ukuran ketinggian akal budi seseorang insan; Malah seseorang yang bertaraf raja sendiri wajib memperlihatkan disiplin berpakaian sejajar dengan sesuatu acara yang dihadiri’’. Dipendekkan cerita, biar siapa pun kita, perlulah ‘berdisiplin’.

Bagi yang tidak faham maksud adab, eloklah diperturunkan sedikit maknanya. Adab membawa maksud sopan. Beradab juga membawa maksud baik budi bahasa, bertertib, baik perangai dan kelakuan; bertamadun, berkebudayaan dan telah maju tingkat kehidupan. Lawan adab pula ialah biadab. Maknanya mereka yang tidak beradab ini ialah orang yang biadab. Orang yang tidak beradab ini juga boleh dikatakan tidak bertamadun. Tetapi hari ini, ramai yang tidak peduli soal adab sama ada adab ketika berkata-kata, berkelakuan atau berpakaian. Mereka bukannya tidak tahu soal adab ini tetapi ada sesetengahnya sengaja melanggar adab semata-mata mahu menunjukkan keegoan. Apa yang penting, mereka berjaya menunjukkan sikap tidak beradab di hadapan khalayak. Mungkin mereka ini mahu disanjung rakan-rakan kerana berani melanggar adab. Kata orang matlamat menghalalkan cara. Bagi mereka pedulikan soal adab kerana yang penting, sikap mereka itu mampu menunjukkan kepada khalayak bahawa mereka berani melanggar adab kerana adab bukan satu peraturan atau undang-undang yang wajib dipatuhi. Dan tentunya bagi mereka yang berpendirian seperti ini akan berasa lebih bertamadun.

Tetapi bagi orang Melayu, sudah tentu kita diajar untuk menghormati adat resam dan budaya. Maka tidak hairanlah orang Melayu sejak dari dulu diperingatkan apabila masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak iaitu menyesuaikan diri dengan masyarakat sekeliling atau masuk di dalam kawanan gajah, berdering (menyesuaikan diri dengan adat sekitaran), bukannya menjadi seperti rusa masuk kampung.

Menyentuh soal adab berpakaian seperti yang dititahkan Raja Dr. Nazrin, penulis tidak mahu mengulas mengenai siapa yang terasa pedasnya. Hanya mereka yang makan cili terasa pedas. Itu pun bagi yang sudah terbiasa dengan keadaan atau sikap keegoan mereka, cili api sekalipun tidak akan terasa pedasnya.

Pernah satu ketika, penulis berkunjung ke satu pameran antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. Penganjur menetapkan mereka yang berselipar dan berseluar pendek tidak dibenarkan masuk walaupun selipar dan seluar pendek itu berjenama terkenal. Itu baru adab masuk pameran.

Bagi wartawan, adab berpakaian ketika menghadiri majlis-majlis tertentu juga ditetapkan lebih-lebih lagi apabila liputan melibatkan majlis rasmi pembesar negara termasuk dari luar negara. Tetapi ada sesetengah tempat, adab berpakaian wartawan begitu ringkas. Ketika mengikuti lawatan Perdana Menteri, Najib Tun Razak ke New Delhi, India tidak lama dulu, sekumpulan wartawan tempatan hanya berpakaian biasa, tidak bertali leher malahan berseluar jeans ketika membuat liputan di pekarangan Istana Presiden.

Begitu jugalah ketika liputan di kediaman Perdana Menteri India, Manmohan Singh. Berbanding dengan wartawan Malaysia, mereka bagaikan Yang Berhormat. Mungkin di sana, itulah etika paling baik untuk mereka tetapi kalau di Malaysia acara rasmi begitu, sudah tentu mereka dihalau kerana cara berpakaian tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Bagi orang Islam pula, ketika solat juga kita diminta beradab dalam berpakaian. Bukanlah membawa maksud sehingga solat itu tidak sah. Jumaat lalu, ketika sedang menunggu khatib membaca khutbah di sebuah masjid sekitar Bangi, penulis terpandang dua jemaah yang bagaikan ‘papan iklan’ bergerak sedang bersembahyang. Ini kerana mereka memakai T-shirt yang di belakangnya bagaikan iklan.

Seorang berkain pelikat, memakai T-shirt berwarna tetapi tidak bersongkok. Cuma di belakang T-shirt itu terpampang satu kempen yang dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak lama dulu. Pastinya T-shirt itu dipakai semasa dia menyertai demonstrasi anjuran NGO itu di Kuala Lumpur.

Seorang lagi berseluar panjang, memakai T-shirt putih yang di belakangnya terdapat senarai panjang pelbagai jenis sukan yang membentuk satu bulatan. Juga tidak bersongkok.

Sekali lagi bukanlah maksud penulis menyatakan solat itu tidak sah kerana berpakaian begitu. Tetapi memakai T-shirt yang pelbagai corak, warna serta mengandungi tulisan dan lukisan boleh memalingkan tumpuan orang yang bersolat lebih-lebih lagi yang berdiri di belakang makmum berkenaan. Itu tidak termasuk T-shirt yang memaparkan lambang parti politik, minuman keras, gambar selebriti dalam dan luar negara serta pelbagai slogan sama ada lucu, sinis atau lucah.

Sebenarnya ketika bersolat, bagi lelaki, sudah memadai berkain pelikat tetapi Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang maksudnya: Janganlah seseorang kamu bersolat di dalam satu pakaian dalam hal tidak ada atas bahunya sesuatu. (Riwayat Bukhari) manakala dalam satu hadis lain pula, baginda bersabda: Apabila seseorang kamu bersolat dalam satu pakaian, maka berselimutlah jika kain itu besar. Jika kecil, maka ikatlah ia di pinggang.

Diriwayatkan Nabi SAW pernah bersolat dalam satu pakaian yang ada garisan-garisan. Garisan ini melalaikan sedikit sebanyak tumpuan. Oleh itu Nabi SAW meminta pakaian itu dikembalikan kepada orang yang menghadiahkannya kepada Nabi SAW. (Mafhum hadis riwayat Bukhari) Pada zaman nabi dulu, memang ada yang susah. Tidak banyak pakaian. Tetapi hari ini, masalah pakaian bukan lagi satu isu. Penuh dalam almari, cuma pandailah memilih yang sesuai, bukannya main sambar sahaja. Begitulah pentingnya, kita memahami adab berpakaian dalam kehidupan, biar di mana sahaja kita berada.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:00
Zohor 1:22
Asar 4:25
Maghrib 7:25
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.