saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 15/05/2011

Ijtihad

SKRIN komputernya merenung kembali. Sudah berjam-jam mereka berpandangan begitu. Mazidah betul-betul mengalami satu sekatan pemikiran. Tiada idea pun yang timbul. Biasanya mereka berenang-renang riang bak anak-anak ikan di kali.

Mazidah, ahli korporat pada usia lewat tiga puluhan adalah juga seorang aktivis terkenal yang mempunyai minat yang pelbagai. Dari isu-isu budaya yang semakin terancam kepada isu-isu perang tanpa sempadan, Mazidah sentiasa mengikuti perkembangan semasa dunia. Dia tidak percaya hidup seorang ahli korporat yang berjaya sepertinya harus berkisar tentang ringgit dan sen dan memikirkan berapa keuntungan syarikat setiap bulan atau sama ada syarikat akan kekal disenaraikan di bursa saham atau tidak. Kehidupan satu hala begitu amat-amat membosankannya.

Kerana itu, dia sering menyibukkan diri dengan perbincangan-perbincangan dan forum pelbagai isu di alam maya. Media sosial adalah rumah keduanya setiap kali pulang dari kerja. Selepas bercerai dengan Yusof Chong, seorang saudara baru dari Singapura, Mazidah tidak lagi berminat untuk mempunyai apa-apa hubungan romantis dengan sesiapa lagi. Hidupnya hanya kerja, khidmat masyarakat dan penjana pemikiran di alam maya.

Di sana, dia bertemu Mahmud, juga seorang ahli korporat tetapi bukan aktivis sepertinya. Mahmud antara suara-suara yang lantang berdebat tentang pelbagai isu dalam dan luar negara. Kadangkala tidak cukup mereka berdebat di ruang forum, mereka sambung di facebook. Tidak cukup ruang di facebook, mereka sambung di e-mel.

Bagaimanapun, e-mel Mahmud petang kelmarin betul-betul menganggu fikirannya.

Isu terbaru dan terhangat yang dikejar Mahmud ialah isu NATO menyerang Libya (yang mula ditimbulkan oleh Mazidah yang mengecam serangan itu). Tetapi Mahmud yang sentiasa mempunyai pemikiran alternatif menyanggah pendapat Mazidah yang dituduhnya emosi dan tidak cerdik.

Kata Mahmud, tiada salahnya Amerika, Perancis, Belanda dan ahli-ahli NATO yang lainnya mengebom Libya. Pemerintah kuku besi mesti dihapuskan.

Puas Mazidah mencari hadis yang menggambarkan bahwa kadangkala mempunyai pemimpin yang tidak sempurna itu lebih baik dari negara tiada mempunyai pemimpin langsung (kerana bimbang pengganti rejim yang ditolak akan membinasakan negara dengan yang lebih teruk). Yang paling hampir ialah hadis nombor 9 yang disenaraikan oleh jirannya, seorang Pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah yang memetik sabda Rasulullah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang membawa maksud bahawa sesiapa mentaati Rasulullah, dia mentaati Allah dan sesiapa yang tidak mentaati baginda, dia tidak mentaati Allah. Barang siapa yang mentaati pemimpinnya, dia mentaati Rasulullah dan barang siapa yang tidak mentaati pemimpinnya, dia tidak mentaati junjungan besar Rasul. Sesungguhnya pemimpin itu perisai kepada peperangan demi kemenangan. Jika pemimpin itu adil dan mempertahankan keimanan, maka dia akan mendapat balasan yang baik dari Allah. Jika dia berbuat sesuatu yang tidak betul, ia akan dipertanggungjawabkan oleh Allah.

Kekejaman

Bagaimanapun, Mahmud berkata hadis itu masih tidak mengiyakan kekejaman sesuatu rejim dan katanya banyak hadis lain yang meminta pengikut agar jangan menyokong pemimpin yang dusta akan perjuangan dan ajaran Islam.

Mengapa, tanya Mahmud di dalam e-melnya, hanya kerana pihak luar yang ingin menghapuskan sesebuah rejim itu dari bangsa dan agama yang berlainan, maka mereka dilihat sebagai penceroboh dan penjajah tetapi jika kelompok dari bangsa dan agama yang sama melakukan lebih banyak pembinasaan ke atas rakyatnya sendiri, ini tidak mengapa?

Oh Mahmud, keluh Mazidah di dalam kepalanya, tidakkah kau tahu penceroboh Barat itu mempunyai niat yang tidak suci? Tidakkah juga kau tahu, merekalah yang membekalkan senjata-senjata api kepada pengganas-pengganas yang mereka telah latih sejak azali dan mereka juga telah menjanjikan bahawa akan ada habuan yang lebih besar dari wang Amerika sebanyak 32 bilion itu hasil dari pembekuan kerajaan rejim yang mereka cerobohi di samping saham dari pendapatan minyak negara itu?

Bagaimana Mazidah mahu menerangkan semua ini kepada Mahmud? Mereka memang tidak boleh bersekemuka. Mahmud A, Mazidah Z. Mahmud B, Mazidah C.Mahmud ke kanan, Mazidah ke kiri. Politik mereka tidak seiring.

Sam, kawan baik kedua mereka, selalu menasihatkan, "Kamu jangan takut akan perbezaan pendapat. Perbezaan pendapat membawa berkat, membawa rahmat. Kita perlu pelbagai suara agar kita boleh berfikir secara lebih kritis dan dengan izin Allah, akan keluar jalan penyelesaian kerana kita tidak takut berfikir dan bercanggah pendapat."

Kedua-dua Mazidah dan Mahmud menggulungkan anak mata hitam mereka ke atas.Siapa Sam ingin menasihatkan mereka? Madu tiganya pun tidak terurus, bisik Mahmud.

Mazidah membaca balik temuramah Noam Chomsky dengan Saswat Pattanayak di dalam Kindle India awal March 2011. Chomsky telah diminta pandangannya tentang kekacau-bilauan di Mesir, Tunisia dan seluruh Timur Tengah.

Ah, kata Pak Chomsky, ini bukan perkara baru.Ini telah berlaku sejak zaman Presiden Eisenhower lagi di dalam tahun 1950-an.Waktu itu, Eisenhower pun bertanya soalan yang sama yang ditanya oleh pemimpin-pemimpin Barat hari ini: mengapa dunia Arab begitu membenci kita? Satu memorandum telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Kebangsaan waktu itu yang mengatakan kebencian Arab kepada Barat terutamanya Amerika ialah kerana Amerika memberi sokongan kepada diktator-diktator, menyekat demokrasi dan pembangunan kerana ingin menguasai sumber alam tempatan terutamanya minyak.

Mazidah tahu kalau Mahmud diajak berbincang tentang hal ini akan cepat-cepat menjawab, jadi mengapa Amerika tidak menolong diktator-diktator yang mereka lantik pada saat mereka ditolak rakyat sendiri. Mazidah tahu Mahmud tidak akan percaya kepada sebarang teori konspirasi.

Mazidah merenung skrin komputernya buat jam ketiga. Sudah tiga jam dia di situ. Cuba mencari ayat, perkataan yang sesuai untuk e-mel Mahmud.

Mereka bukan orang asing. Sama-sama di universiti. Sama-sama sekampung. Sama-sama sepupu. Tetapi Mahmud dibesarkan di Washington DC, Amerika, Mazidah di Kuala Lumpur, Malaysia.

Antara DC dan Kuala Lumpur, pernah mereka hampir dijodohkan. Datuk mereka percaya hanya hanya itu cara untuk merapatkan kekeluargaan yang semakin renggang. Puas Mazidah mencari hadis yang tidak menggalakkan perkahwinan dengan ahli keluarga yang hampir. Tetapi itu semua tidak perlu kerana Mahmud sendiri memberontak. Dia terlalu liberal dan global untuk kembali kepada keluarga. Akhirnya Mahmud berkahwin dengan seorang gadis Afrika-Amerika yang beragama Islam. Satu kampung sukakan Rasheeda, seorang graduan Sejarah dari Universiti Harvard. Dia sangat bijak dan Mazidah dan Rasheeda menjadi rakan akrab yang tidak mungkin berlaku antara dia dan sepupunya, Mahmud.

"Oh don't mind Mahmud. He's of a different planet, really" kata Rasheeda di majlis sambutan hariraya pada tahun lepas.

Petang itu Mazidah di bilik perpustakaan di rumah Mahmud. Rasheeda yang mengizinkan Mazidah menggunakan komputer riba sepupunya. Di komputer itulah Mazidah cuba membalas emel Mahmud kerana bercanggah pendapat di alam maya lebih mudah dari berhadapan dengan Mahmud di alam realiti.

Sementara menunggu inspirasi tiba, Mazidah terpandang satu dokumen bertajuk "Puisi-puisi Mahmud". Mazidah terperanjat. Mahmud seorang pemuisi? Dan menulis di dalam bahasa Melayu? Tidak mungkin! Dia membuat sesuatu yang dia tidak pernah buat dan tidak pernah terfikir untuk membuatnya. Dia menceroboh macam askar-askar NATO di Libya.

Puisi untuk

sepupuku, Mazidah

Kalau kau bertanya

Aku di mana

Pastinya di mana-mana

Antara bumi dan angkasa

Antara realiti dan maya

Tidak henti

Kita bercanggah

Apakah kau tahu

Aku sengaja mengusikmu

Mengatakan A bila kau pilih Z

Pusing ke kiri bila kau belok

ke kanan

Kerana aku takut

Sekiranya jalan kita seiring

Kita akan bersama

Dan kau akan ketawakan

Cinta aku yang dalam

tidak bertepian

Buat sepupu yang tiada tolok

bandingnya.

Mazidah hampir pitam.

Oh my god! Oh my god! Katanya berulang kali ("Ya Allah! Ya Tuhanku! Yang Esa! Yang Satu! Yang Tidak Beranak dan Tidak Diperanakkan!")

Kabur. Pemandangannya kabur. Bagaimana ini boleh berlaku? Mengapa Mazidah tidak pernah perasan Mahmud mempunyai perasaan sedemikian terhadapnya. Budaya mereka cukup berbeza kerana Mahmud dibesarkan di dalam suasana budaya Barat. Mazidah lahir di Timur, membesar di dalam suasana kebaratan tetapi pada masa yang sama, dia masih berpegang teguh kepada akar ketimurannya.

Di dalam kekalutan pemikirannya, Mazidah akhirnya mendapat ilham untuk membalas e-mel Mahmud. Dia mula menaip satu persatu dan mengatur ayat demi ayat dengan penuh teliti. Sekali sekala, jari telunjuknya menggosok-gosok mata kanan yang tidak gatal:

As salam sepupuku Mahmud yang dihormati,

Mazidah ingin memohon gencatan senjata akan pertelingkahan kita tentang isu NATO dan pencerobohan ke atas Libya. Mazidah percaya bahawa kita perlu ijtihad dan berfikiran lebih terbuka di dalam menilai perkara ini. Mazidah fikir kita lebih baik bersetuju untuk tidak bersetuju dan menghormati pemikiran masing-masing. Dan betul kata Sam, sesungguhnya perbezaan pendapat itu sesuatu yang sihat dan tidak perlu kita bimbangi. Kita adalah manusia-manusia yang dewasa dan matang dan tidak harus berkelakuan seperti kita masih anak-anak di mana Mazidah ingin sentiasa menang dan Abang Mahmud sering ingin dinobatkan sebagai juara oleh keluarga kita terutama Atok. Itu semua sudah berlalu dan Mazidah ingin menjadi seorang individu yang dihormati pemikirannya dan Mazidah juga akan melihat Abang Mahmud sebagai individu yag harus dihormati juga. Dengan ini, Mazidah isytiharkan gencatan senjata dan ingin berdamai.

Salam hormat,

Mazidah

Perlahan-lahan Mazidah menutup komputer riba Mahmud. Dia berasa sedikit bersalah kerana menceroboh dunia peribadi Mahmud. Sedikit kesal di atas kekasarannya semasa berdebat dengan Mahmud dan memikirkan yang bukan-bukan tentang sikap liberal dan kadang-kala seperti tidak Islamik Mahmud ini.

Terdengar tapak kaki memanjat tangga menuju ke perpustakaan. Nyata bukan tapak kaki Rasheeda kerana bunyi yang agak kasar. Mazidah tidak sempat lari.

"Abang Mahmud!"

"Mazidah! Apa kau buat di sini?"

"Er..Rasheeda kata Mazidah boleh pinjam komputer riba Abang."

"Hmmph, jumpa apa-apa menarik?" Sinis bunyi Mahmud.

"Tidak banyak, Mazidah terpaksa siapkan satu tugasan. Tak sempat nak pulang ke rumah. CEO kata nak petang ni juga." Menipu sunat.

"Apa yang tidak menyempat sangat bos kamu tu? Keadaan ekonomi dunia tidak akan pulih dalam masa dua jam jika laporan kamu tidak masuk." Mahmud ketawa. Sindirannya tajam seperti biasa.

"Dan oh, Abang Mahmud! Harap baca e-mel balasan saya tentang NATO. Maaf, saya kena pulang sekarang." Bergegas keluar. Muka agak merah padam.

Malam itu Mahmud mengirim pesanan di facebook selepas Mazidah tidak timbul di ruangan forum seperti biasa dan tidak juga membalas e-mel Mahmud seperti selalu.

"Kamu dah tahu. Kamu jumpa puisi aku!"

Mazidah telah letak senjata. Dia tidak akan menjawab. Sampai bila-bila.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.